Friday, November 25, 2011

500 guru Bahasa Arab akan dilatih





KUALA LUMPUR 14 April _ Kementerian Pendidikan akan melatih 500 orang 
guru Bahasa dan Kesusasteraan Arab bagi memantapkan pengajaran 
Bahasa Arab di semua sekolah kebangsaan di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin berkata, program 
melalui Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Program Khas 
Pendidikan Guru (PKPG) bagi tempoh 2004 hingga 2008 akan turut 
dijalankan bagi memenuhi keperluan tenaga pengajar Bahasa Arab di semua 
institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terutama Universiti Islam 
Antarabangsa (UIA) dan Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM).

"Rakyat mungkin tertanya-tanya sejauh mana usaha kerajaan menentukan 
pengajaran Bahasa Arab dapat diterapkan di sekolah rendah, menengah dan 
universiti.

"Oleh itu kita memainkan peranan dengan melatih sekurang-kurangnya 100 
orang guru yang fasih berbahasa Arab setiap tahun bagi tempoh 2004 
hingga 2008,'' katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, pada ketika ini UIA memerlukan kira-kira 171 pensyarah 
Bahasa Arab manakala KUIM mengalami kekurangan sejumlah 30 orang 
tenaga pengajar untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran bahasa itu.

Bagaimanapun, katanya, ketika ini sudah terdapat sejumlah guru yang 
sedang dilatih termasuk di peringkat sarjana dan Ijazah Kedoktoran Falsafah 
(Ph.D) di beberapa IPTA.

Jelas Abdul Aziz, program latihan guru Bahasa Arab itu akan membabitkan 
peruntukan tambahan namun beliau tidak dapat menyatakan jumlahnya 
secara spesifik.

"Rakyat mesti yakin usaha kerajaan menentukan setiap anak yang berminat 
dalam agama mempunyai tempat dan masa depan.

"Memang ada kita lakukan melalui sekolah menengah agama kebangsaan, 
Bahasa Arab sudah diajar dan tambahan pula ditubuhkan sekolah integrasi, 
sekurang-kurangnya pelajar didedahkan dengan subjek Bahasa Arab 
Komunikasi,'' ujarnya.

Terdahulu ketika mencelah terhadap ucapan Senator Jamilah Ibrahim pada 
sesi perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang 
Dewan Negara, Abdul Aziz berkata, apabila kerajaan berjaya 
mengadakan sekolah satu sesi, para pelajar akan didedahkan dengan 
pembelajaran pelbagai bahasa termasuk Mandarin dan Tamil bagi 
membolehkan mereka meningkatkan ilmu pengetahuan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan tetap dengan pendirian 
menarik balik bantuan perkapita kepada sekolah agama rakyat (SAR) 
walaupun dikecam oleh pelbagai pihak.

Beliau berkata, kerajaan membuka pintu seluas-luasnya supaya para pelajar 
memasuki sekolah aliran kebangsaan dan memberi segala kemudahan 
kerana tidak mahu pendidikan anak-anak terabai. 

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment