Thursday, November 24, 2011

Usah guna `bidan terjun' ajar Bahasa Arab




CADANGAN Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk
mewajibkan pelajar mempelajari Arab dan khatam al-Quran di sekolah rendah
lagi amatlah dialu-alukan.
  Sebagai bekas pelajar aliran agama dan kini mengikuti pengajian di
bidang teknikal, saya ingin mengemukakan beberapa komen mengenai bidang
pengajian Islam di sekolah kita.
  Budaya menghafal yang diamalkan sebahagian besar pelajar di sekolah
agama untuk menjawab peperiksaan pensijilan agama (contohnya sijil
menengah agama) harus diubah.
  Ini bukan saja gagal melahirkan lulusan agama yang mahir dalam Bahasa
Arab, malah menghalang pertumbuhan minda yang cerdas hasil daripada
bergantung harap kepada teknik hafalan dari tingkatan satu ke tingkatan
lima.
  Hasilnya, walaupun cemerlang dalam mata pelajaran berasaskan hafalan
(contohnya hadis, tafsir, tauhid, feqah), keputusan bagi mata pelajaran
teknikal (contohnya Matematik dan Sains) kurang memberangsangkan.
  Budaya menghafal ini berterusan hingga ke peringkat universiti apabila
mengikuti pengajian di dalam bidang agama kerana sudah terbiasa dengan
kaedah ini.
  Akibatnya, apabila mereka kembali berkhidmat sebagai guru contohnya,
mereka membiarkan saja budaya menghafal diamalkan oleh pelajar.
  Oleh itu guru yang benar-benar berkebolehan untuk mengajar Bahasa Arab
amatlah diperlukan.
  Sewaktu menuntut di sekolah menengah, seingat saya hanya dua guru yang
benar-benar memberikan teknik berkesan dalam memahami nahu Bahasa Arab dan
kedua-duanya lepasan institusi pengajian luar negara.
  Malangnya kedua-dua guru itu hanyalah guru sementara dan selepas itu
saya tidak bermotivasi untuk memahami Bahasa Arab kerana ketiadaan guru
berkaliber dan ditambah buku teks yang kurang menarik.
  Saya ingin mengemukakan beberapa cadangan bagi meningkatkan kualiti
bidang pendidikan agama:
  1) Menawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar
negara dalam bidang agama khususnya bidang Bahasa Arab bagi pelajar
cemerlang lepasan SPM.
  Kini Kementerian Pendidikan menawarkan biasiswa bagi mengikuti pengajian
di dalam bidang teknikal di luar negara dan pelajar akan terikat dengan
kementerian pendidikan.
  Oleh itu saya mencadangkan agar skim ini diperluaskan kepada pengajian
di dalam bidang agama agar dapat melahirkan guru agama yang bijak dan
cemerlang.
  2) Memberi bantuan pendidikan bagi melanjutkan pengajian pada peringkat
sarjana/PhD di dalam bidang agama.
  Mulai tahun ini, PTPTN tidak lagi menawarkan pinjaman pada peringkat
pasca siswazah manakala Mara tidak lagi menawarkan pinjaman bagi Pengajian
Islam. Mereka ini yang sebahagian besar bakal bergelar pendidik merasa
terganggu dengan masalah kewangan kerana ketiadaan penaja.
  3) Guru agama terutama yang berkhidmat di sekolah di kawasan bandar
perlu lebih aktif dalam menerap ajaran Islam seawal yang boleh. Perlu
diingat, gejala sosial yang kronik pada masa kini dilakukan oleh mereka
yang bertahun-tahun pernah mempelajari pendidikan Islam di peringkat
rendah dan menengah.
  Saya amat berharap, sekiranya Bahasa Arab diwajibkan, tidak wujud
situasi `bidan terjun', iaitu graduan yang tidak mengikuti pengajian
Bahasa Arab di universiti ditugaskan mengajar Bahasa Arab sedangkan mereka
tidak tahu teknik mengajar bahasa itu dengan baik.
  Ini bukan saja menggagalkan usaha dan wang kerajaan dalam melaksanakan
usaha murni ini, malah menyumbang ke arah melahirkan umat yang lesu yang
tidak menguasai bahasa al-Quran.
  SARAH ABDULLAH,
  Kuantan Pahang.
                               (END) Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment