Thursday, November 24, 2011

Bahasa Arab Bahasa perpaduan dan kemajuan Islam sejagat


SURAT

Pada 29 Oktober 2003 bersamaan 3 Ramadhan 1424 lalu, program al-
Kuliyyah disiarkan secara langsung lebih kurang jam 10.00 malam dengan 
membentangkan tajuk "Sifar Ummiy". Saya rasa terpanggil untuk respon 
bagi mengutip bicara Datuk Paduka Abdul Hamid Othman berhubung 
dengan konsep IQRA' yang beliau perkatakan.

Apabila membicarakan konsep Iqra', beliau menyebut bahawa Malaysia 
telah mengorak langkah dalam mengubat penyakit buta huruf di kalangan 
rakyat Malaysia. Saya rasa hal ini boleh diperluaskan lagi tafsirannya. 
Sebagai contoh, Iqra itu sendiri merupakan istilah daripada bahasa Arab. 
Oleh itu, tidak lengkap pembacaan kita mengenai al-Quran jika tidak disusuli 
dengan kefahaman yang benar mengenai kepentingan bahasa Arab. 
Dengan itu, Allah s.w.t. menjelaskan kepentingan ini dengan 
menghubungkan al-Quran terhadap bahasa Arab sendiri; (an-Nahl:103), 
(Fussilat:3 & 44), (as-Syu`ara:195), (Yusuf:2), (ar-Rad:37), (Taha:113), (az-
Zumar:28), (as-Syura:7), (az-Zukhruf:7), (al-Ahqaf:12).

al-Quran

Bahasa Arab berpotensi besar sebagai `bahasa perpaduan' umat Islam dan 
juga `bahasa kemajuan' Islam seperti mana halnya bahasa Melayu juga. 
Dalam pengalaman peribadi saya, kebanyakan orang Arab sendiri tidak suka 
berbicara dalam bahasa Inggeris kecuali bahasa Arab dan bahasa Melayu. 
Ketika menunaikan umrah tahun lalu, orang Arab menyapa saya dalam 
bahasa Melayu. Kemudian, kami berbicara pula dalam bahasa Arab 
bersama. RTM contohnya pernah memaparkan dokumentari mengenai haji 
di Mekah tahun lalu. Wartawan kita sendiri lebih banyak menemuramah 
warga Amerika Muslim sendiri. Mana perginya orang Arab? Hal ini kerana, 
orang Arab tidak mahu ditemuramah dalam bahasa Inggeris melainkan 
bahasa mereka sendiri. Dalam temuramah al-Jazeera, saya melihat 
pengacara mengajukan soalan dalam Bahasa Arab, sementara Colin Powell 
pula menjawab dalam Bahasa Inggeris yang telah diterjemahkan secara 
langsung. 

Bahasa Arab sebagai bahasa kemajuan juga sama seperti bahasa Melayu 
sebagai bahasa kemajuan. Walaupun pada zaman Jahiliyyah, lahirnya Imra' 
al-Qais, seorang penyair Arab terbaik dengan ketinggian mutu dan nilai 
sastera Arab, tapi kedatangan al-Quran dengan ketinggian mutu bahasa 
Arabnya telah mengatasi kebanyakan syair Arab Jahili. Hasilnya, al-Quran 
telah membawa bangsa Arab dan umat Islam kepada kemuncak hingga 
mampu menewaskan Rom dan Parsi, sekali gus mencorak dunia hingga kini. 
Saya yakin, jika rakyat diajar bahasa Arab hingga penyakit buta al-Quran 
diatasi, maka kita mampu menewaskan Amerika yang menjadi warisan 
kerajaan Rom melalui tradisi Judeo-Kristian. Sedangkan sebelum Islam lahir 
dan al-Quran diturunkan, bangsa Arab sering dilihat sebagai bangsa yang 
tidak bermaya, bertamadun dan tidak punya kuasa bagi melakar peristiwa 
dunia.

Semasa membaca al-Quran selepas solat Maghrib, dua orang kenalan baru 
saya dari Syria (Ahmad Basil Qahwaji) dan dari Algeria (Boukushah 
Boukushah Aoun) merasa seronok dan kagum apabila melihat orang `Ajam 
(bukan Arab) dapat memahami dan mentafsir al-Quran. Mereka mendakwa 
bahawa orang Arab yang tua hanya tahu membaca tetapi gagal memahami 
tuntutan dan makna al-Quran itu sendiri. Sekurang-kurangnya orang `Ajam 
jika tidak memahami al-Quran pun tidaklah menghairankan kerana bahasa 
Arab bukanlah bahasa ibunda mereka. 

Walaupun demikian, saya segera mendapat pengajaran dan iktibar bahawa 
suatu langkah perlu disegerakan bagi memastikan bahasa Arab dapat 
dipelajari oleh semua pihak di negara kita khususnya umat Islam sendiri. 
Sangatlah pelik dan ganjil jika kita hanya tahu baca berlagu tapi tidak 
memahami maknanya. Apa lagi bagi mereka yang tidak pernah membaca al-
Quran langsung. Kesimpulannya, kewujudan masyarakat al-Quran perlu 
menjadi agenda negara masa depan.

kefahaman

Jika dulu, kerajaan merasakan keperluan untuk mengubat penyakit buta 
huruf, maka saya rasa kita berdepan dengan masalah penyakit buta al-
Quran kini. Ramai generasi muda yang tidak memahami al-Quran dan tidak 
mempedulikan al-Quran lagi. Kita perlukan anjakan baru dalam usaha 
memulih paradigma masyarakat kita. Pendekatan membaca al-Quran 
bertarannum dan berlagu saban tahun perlu dianjakkan. Hanyalah segelintir 
cuma yang meraih peluang ke peringkat negara kalau dapat melagukan al-
Quran dengan baik. Sedangkan lebihan jutaan rakyat lagi mahu ke mana 
dengan agenda al-Quran itu? 

Pendidikan berterusan dan pendidikan untuk semua yang diulang sebut 
dalam program al-Kuliyyah itu perlu diperluaskan kepada penekanan bahasa 
Arab ini. Jika seseorang itu memahami bahasa Arab, secara tidak 
langsung dia boleh memahami al-Quran sepanjang hayatnya dan pendidikan 
al-Quran seperti inilah merupakan pendidikan untuk semua. 
Sekali lagi, saya menyatakan bahawa Bahasa Arab merupakan kunci utama 
yang sangat penting bagi usaha memperbaiki dan ramuan ulung dalam 
memulihkan pemikiran umat.

Pertama, Bahasa Arab dijadikan sebagai matapelajaran teras di samping 
Bahasa Melayu dan Inggeris. Jika satu bahasa (Bahasa Arab) telah 
diwajibkan kepada pelajar Muslim, maka apakah bahasa alternatif kepada 
pelajar bukan Muslim? Sebagai alternatif, kerajaan perlu memberi peluang 
kepada pelajar bukan Melayu mempelajari bahasa ibunda mereka sendiri. 
Bahasa Arab tidak boleh lagi dilihat sebagai bahasa option dalam Negara 
Islam. Pendek kata, ia mesti didaulatkan. Ia tidak boleh dijadikan suatu unsur 
buat aliran agama melainkan ia menjadi umum dan terbuka kepada semua 
pihak untuk mempelajarinya. 

Kedua, kerajaan patut mengeluarkan skim khas atau galakan kepada pelajar 
aliran agama bagi mendalami Bahasa Arab di mana-mana universiti di luar 
negara. Hal ini kerana, pelajar ini perlu dilatih bergaul dengan masyarakat 
Arab bagi memahami adat resam dan budaya Arab yang membentuk nilai 
tambah kepada kesusasteraan Arab. Perlu diingatkan bahawa bahasa al-
Quran tidak tegak berdiri dengan bahasa sahaja. Ia digarap dengan 
kesusasteraannya sekali. Pelajar aliran agama yang mempelajari agama kini 
tidak mahir berbahasa Arab kerana cenderung bergaul sesama mereka 
sahaja dan kurang bergaul dengan bangsa Arab dengan menggunakan 
bahasa Arab.

Ketiga, mahasiswa IPT perlu sentiasa mendebatkan hal ini di peringkat 
Debat Piala Naib Canselor (DPNC) dan lain-lain bagi mengukuhkan 
kefahaman dan kesedaran mahasiswa tentang kepentingan Bahasa Arab 
sebagai bahasa perpaduan & kemajuan umat Islam. Ini selaras dengan 
status Malaysia sebagai Negara Islam.

Keempat, Malaysia perlulah menjadi peneraju utama dalam usaha 
mendaulatkan bahasa Arab agar mendapat kedudukan yang tinggi di seluruh 
negara-negara Islam yang menjadi ahli OIC. Lapangan OIC menjadi 
wahana terbaik dalam usaha mengukuhkan kepentingan bahasa Arab 
sebagai bahasa perpaduan umat Islam sejagat dan bahasa kemajuan umat. 
Jika dalam konteks Malaysia kita boleh mendaulatkan bahasa Melayu 
sebagai bahasa perpaduan antara masyarakat majmuk di Negara kita, maka 
di peringkat antarabangsa, bahasa Arab itulah yang menjadi kayu ukur 
perpaduan Islam sejagat.

harapan

Harapan kita supaya bahasa ini dapat digarap untuk dijadikan agenda dan 
pelan tindakan bersama ke arah perjuangan memartabatkan agama, bangsa 
dan tanahair. Kepada mereka yang berminat dalam usaha ini, 
bolehlah menghantar pandangan, komentar anda kepada Sekretariat 
Bahasa Arab, Peti Surat 4, Pos Malaysia Gelugor, 11700 Gelugor, Pulau 
Pinang atau melalui emel garap@tm.net.my. 


* Ali Bukhari bin Amir,

Pendang, Kedah


GARAP (Gerakan Pelajar Raya Persekutuan) adalah badan yang 
menyelenggarakan aktiviti kaum pelajar dengan menjalankan usaha 
penulisan berterusan dalam memasarkan idea-idea pembangunan; 
pemulihan dan pembaharuan sosial. Sumbangan dana boleh disalurkan 
pada Bank Islam; 2-004-29707-21 

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment