Friday, November 25, 2011

Pelajar Islam diwajibkan ambil subjek Bahasa Arab




MARANG: Kerajaan akan mewajibkan mata pelajaran Bahasa Arab bagi semua
pelajar Islam di sekolah rendah dan menengah selaras perkembangan sukatan
pendidikan di negara ini, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
  Pemangku Perdana Menteri berkata, kajian mengenai cadangan itu sedang
dijalankan dan mata pelajaran itu akan dimasukkan dalam sukatan Pendidikan
Islam.
  Bagaimanapun, katanya cadangan itu hanya akan dilaksanakan selepas
kajian terperinci dan memerlukan perancangan teliti daripada Kementerian
Pendidikan.
  Beliau berkata, hanya pelajar sekolah kebangsaan mengambil mata
pelajaran Pendidikan Islam diwajibkan mengambil mata pelajaran Bahasa Arab
dan ia dikecualikan kepada pelajar sekolah jenis kebangsaan.
  "Sukatan pendidikan di sekolah berkembang dari semasa ke semasa dan kita
sentiasa mengambil langkah proaktif untuk memajukannya.
  "Cadangan itu dikemukakan berdasarkan kemudahan yang sedia ada dan
difikirkan sebagai satu langkah penting untuk meningkatkan pendidikan
negara," katanya selepas melancarkan English On Wheels (EOW) peringkat
kebangsaan anjuran Puteri Umno di Kompleks Latihan Telekom, Medan Jaya, di
sini, semalam.
  English On Wheels adalah program yang dikendalikan Puteri Umno untuk
memperkenalkan konsep pembelajaran bahasa Inggeris yang menyeronokkan
serta memupuk minat untuk belajar bahasa Inggeris sejak kecil.
  Turut hadir Menteri Penerangan, Tan Sri Khalil Yaakob; Menteri Kewangan
Kedua, Datuk Dr Jamaludin Jarjis; Ketua Puteri Umno, Azalina Othman Said
dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Idris Jusoh.
  Abdullah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu berkata,
pelaksanaan cadangan itu bergantung kepada hasil kajian dan perancangan
kementerian.
  "Saya tak boleh kata tahun ini atau tahun depan. Kita kena buat selepas
rancang dan jangan buat untuk seronok semata-mata hendak buat atau hanya
sekadar nak buat, mesti ada perancangan.
  "Jangan buat perancangan untuk murid tahun satu, tetapi murid tahun dua
tiada perancangan," katanya sambil mengharapkan cadangan itu dapat
dilaksanakan secepat mungkin.
  Abdullah berkata, jika mempunyai masalah ia akan diatasi tetapi
disebabkan setakat ini masih ada sedikit masalah, pelaksanaan akan
ditangguhkan sementara.
  Mengenai tenaga pengajar, beliau berkata, masalah mengenainya akan
diatasi.
  Bagaimanapun, katanya kerajaan menjangkakan jumlah tenaga pengajar sedia
ada terutama guru Pendidikan Islam mampu mengajar mata pelajaran Bahasa
Arab kepada pelajar Islam.
  Ditanya mengenai masa persekolahan, Abdullah berkata, tempoh itu mesti
disesuaikan dan apa yang hendak diperkenalkan dalam sukatan mata pelajaran
berkenaan pula perlu disesuaikan dengan tahap pengajian.
  "Banyak mana yang perlu diajar pada tahun satu dan dua bergantung kepada
kemampuan serta bergantung apa yang hendak dicapai oleh sistem pendidikan.
  "Diharapkan pelajar dapat menguasai bahasa Arab selepas beberapa tahun
belajar, boleh bertutur, membaca buku dan akhbar.
  "Mungkin mula-mula pelajar tidak boleh membaca lagi, macam juga bahasa
Inggeris, akan mengambil masa yang lama sebelum dapat menguasai bahasa
berkenaan termasuk membaca akhbar," katanya.
  Abdullah berkata, kalau dulu Bahasa Arab adalah mata pelajaran pilihan
kepada pelajar, tetapi kerajaan mahu supaya mata pelajaran itu dimasukkan
sebagai sebahagian sukatan mata pelajaran Pendidikan Islam.
  Katanya, pengajaran Bahasa Arab adalah sebahagian daripada kurikulum
Pendidikan Islam yang mengandungi pelbagai mata pelajaran termasuk
pengajaran al-Quran, fikah dan tauhid.
  Sementara itu ketika ditanya mengenai hari pertama memangku jawatan
Perdana Menteri, Abdullah berkata, beliau sudah beberapa kali memangku
jawatan itu.
  "Hari pertama terpaksa pergi ke sana sini, dan hari ini ke Terengganu.
Agak letih tetapi boleh diatasi," katanya.
  Sementara itu, Azalina meminta program itu diperluaskan kepada semua
ahli Umno dan tidak terhad kepada kanak-kanak bagi meningkatkan keyakinan
diri dalam kerjaya dan berkomunikasi.
  "Bahasa Inggeris perlu pada era globalisasi untuk menguasai teknologi
komunikasi dan maklumat berikutan majikan kini melihat penguasaan bahasa
itu," katanya.
  Beliau berkata, usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris bukan
agenda untuk menidakkan kepentingan bahasa Melayu, sebaliknya kerana
rakyat tidak mempunyai pilihan kecuali menguasai bahasa berkenaan.
                              (END) Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment