Thursday, November 24, 2011

BERNAMA LANCAR PERKHIDMATAN BERITA BAHASA ARAB




 
KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
(Bernama) hari ini melancarkan satu lagi produk baru iaitu perkhidmatan
berita bahasa Arab dalam usaha untuk meningkatkan penyebaran maklumat
tentang negara ini di kalangan negara Asia Barat dan beberapa negara
Afrika.
    Perkhidmatan itu membabitkan terjemahan berita,rencana dan laporan khas
yang dihasilkan Bernama serta petikan akhbar/majalah berwibawa yang ada
kaitan dengan perkembangan Islam di Malaysia atau relevan kepada hubungan
dua hala antara Malaysia dengan negara-negara Arab.
    Pelancaran perkhidmatan itu disempurnakan Pengurus Besar Bernama Syed
Jamil Jaafar di sini hari ini.
    Perkhidmatan berita bahasa Arab dikendalikan oleh Meja Rencana dan
Perkhidmatan Berita Luar Negeri. Pada peringkat awal, pengiriman berita
bahasa Arab disalurkan sebanyak dua kali seminggu ke 18 buah agensi berita
di rantau berkenaan.
    Antara agensi berita terbabit ialah SABA (Yaman), Kuna (Kuwait), SPA
(Arab Saudi), MAPS (Maghribi) dan SUNA (Sudan).
    Dalam ucapannya, Syed Jamil berkata idea untuk melancarkan perkhidmatan
berita bahasa Arab timbul hasil daripada kesedaran bahawa menjadi
tanggungjawab Bernama untuk menyalurkan berita-berita tentang Malaysia
daripada perspektif tempatan.
    Beliau berkata tidak kurang daripada 17 buah negara di Asia Barat dan
Afrika menggunakan bahasa Arab dan kesemua negara itu secara kolektif
merupakan satu pasaran yang amat penting bagi komoditi Malaysia.
    Syed Jamil yakin penyaluran berita dalam bahasa Arab akan menjadi daya
tarikan kepada negara-negara Arab itu untuk mengenali Malaysia dengan lebih
dekat, sekali gus mendorong mereka untuk melabur atau melancong ke
Malaysia.
    "Masalah praktikal di negara masing-masing ialah bahan yang kita hantar
dalam bahasa Inggeris selama ini jarang digunakan oleh mereka kerana ia
memerlukan terjemahan daripada Inggeris ke bahasa Arab terlebih dahulu,"
kata Syed Jamil.
    Beliau berkata dengan adanya perkhidmatan itu, mungkin mereka akan
lebih tertarik untuk menggunakan berita-berita terutamanya yang menyentuh
mengenai isu perbankan, insurans Islam dan Tabung Haji.
    "Kaedah pelaksanaan sistem Islam itu di Malaysia mungkin boleh
dicontohi untuk dilaksanakan juga di negara mereka," katanya.
    -- BERNAMA
    RR AHH MOZ

No comments:

Post a Comment