Thursday, November 24, 2011

Terjemahan ke Bahasa Arab wajar tepat




Saudara Pengarang, 

BARU-BARU ini saya berpeluang untuk menghadiri Persidangan OIC ke 10 
di Pusat Konvensyen Putrajaya, Putrajaya. 

Sememangnya Malaysia harus diberi pujian kerana telah berjaya 
mengendalikan persidangan tersebut dengan jayanya.

Setiap kementerian dan jabatan kerajaan yang terlibat telah memainkan 
peranan yang cukup berkesan dalam memastikan kelancaran dan kelicinan 
perjalanan persidangan yang bermula dengan Mesyuarat Pegawai-pegawai 
Kanan pada 11 Oktober dan berakhir dengan Sidang Kemuncak Pertubuhan 
Persdiangan Islam (OIC) pada 16 Oktober 2003.

Banyak bahan bacaan, risalah dan majalah diedarkan secara percuma, 
antaranya buku Brief on Malaysia yang ditulis oleh Jamiah Mohd Jan. Buku 
terbitan Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia itu diedarkan dalam 
tiga bahasa, bahasa Inggeris, Perancis dan Arab. 

Saya hanya sempat membelek versi bahasa Inggeris sepanjang persidangan 
berlangsung. 

Sememangnya buku ini banyak mengandungi informasi berguna untuk 
pelancong dalam mengenali Malaysia dengan lebih dekat. 

Dan saya akui, saya juga mendapat sedikit sebanyak informasi berguna 
tentang Malaysia.

Semalam, saya membuka buku yang sama versi bahasa Arab, amat 
mengejutkan kerana terdapat kesalahan bahasa yang amat ketara. 
Kesalahan ini bukan sekadar dari segi pemilihan perkataan yang sesuai 
dalam penterjemahan bahkan merangkumi kesalahan tatabahasa yang amat 
teruk dan kesalahan struktur ayat yang merosakkan bahasa. 

Memalukan

Malangnya buku-buku ini telah diedarkan sepanjang seminggu Persidangan 
OIC berlangsung dan difahamkan pihak Jabatan Perkhidmatan Penerangan 
telah menerbitkan hampir 1000 naskah buku ini dalam bahasa Arab. 

Kesalahan terjemahan yang terdapat di dalam buku ini amat memalukan, 
kerana buku ini merupakan sumber rasmi informasi berkaitan Malaysia yang 
dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Penerangan dan telah diedarkan 
sepanjang Persidangan OIC. 

Alangkah malunya jika terdapat kesalahan tatabahasa dan struktur bahasa 
yang amat teruk di dalam buku yang diterbitkan oleh Badan Kerajaan. _ ABU 
LEHYAH, Gombak, Selangor 

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment