Friday, November 25, 2011

Bahasa Arab, jawi dijangka isu utama mesyuarat




KUALA LUMPUR 16 Sept. _ Isu mata pelajaran Jawi dan bahasa Arab di 
sekolah rendah dan menengah dijangka menjadi perbincangan hangat pada 
Persidangan Perwakilan Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia 
Barat (KKGUMB), 23 September ini.

Para perwakilan terdiri daripada 100 orang yang dipilih dari 10 buah cawangan 
gabungan KKGUMB itu dijangka akan memberi perhatian serius terhadap isu 
itu yang kini semakin dipinggirkan.

Mereka mahu Kementerian Pendidikan sendiri membuat keputusan muktamad 
supaya tulisan jawi dan bahasa Arab dimasukkan dalam sukatan pendidikan 
sebagai mata pelajaran wajib kepada setiap pelajar beragama Islam.

Setiausaha Agung KKGUMB, Tahril Selamat ketika ditemui di sini, berharap 
kementerian berbuat sesuatu bagi memartabatkan semula tulisan jawi dan 
bahasa Arab di sekolah-sekolah.

Selain isu berkenaan, menurutnya, persidangan itu akan membahas soal 
pendidikan berkaitan dengan agama termasuklah usaha menangani masalah 
akhlak dan moral di kalangan pelajar.

Perbahasan lain katanya, ialah mengenai perkhidmatan guru jabatan agama 
terutama di Wilayah Persekutuan dan Selangor yang berlarutan lebih dua 
tahun.

``Ini termasuklah kedudukan 170 orang guru agama di Wilayah Persekutuan 
dan 300 di Selangor yang sudah tamat latihan perguruan tetapi masih belum 
menerima surat pelantikan dan sijil,'' katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua guru agama supaya menjaga profesion 
perguruan dengan menjalankan tugas seperti yang diarahkan oleh 
Kementerian Pendidikan.

Tahril berkata, persidangan itu dijadual dirasmikan oleh Timbalan Menteri 
Pendidikan, Datuk Abdul Aziz Shamsudin.

Persidangan KKGUMB kali ke-29 ini juga akan menyaksikan pemilihan ahli 
jawatankuasa baru.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment