Friday, November 25, 2011

Sebutan bahasa Arab ikut kata dasar





KUALA LUMPUR, Jumaat - Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
mengingatkan pentingnya sebutan perkataan yang dipinjam dari bahasa Arab
dibuat mengikut kata dasarnya bagi mengelak perubahan makna.
  Penolong Ketua Pengarah IKIM, Datuk Abdul Moner Yaakob, berkata sebutan
perkataan yang dipinjam dari bahasa Arab apabila disesuaikan dengan ejaan
rumi bahasa Melayu, boleh mengubah makna asalnya.
  Beliau memberi contoh perkataan `kadi' yang dirujuk untuk jawatan hakim
di Mahkamah Syariah, dipinjam daripada perkataan Arab, iaitu `Qadi'.
  "Bagaimanapun, sebutan `kadi' yang digunakan sekarang membawa erti
penipu dalam bahasa Arab," katanya ketika diminta mengulas isu sebutan
baku bahasa Melayu.
  Rabu lalu, Kabinet memutuskan pemansuhan sebutan baku bahasa Melayu bagi
semua sistem penyiaran dikekalkan manakala pemansuhannya di sekolah pula
ditangguh buat sementara waktu.
  Ketika mengumumkan keputusan berkenaan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, penangguhan itu dibuat kerana
Kementerian Pendidikan sedang membuat kajian lanjut mengenainya.
  Abdul Moner berkata, Kementerian Pendidikan sejak awal lagi sepatutnya
mengajar kanak-kanak bahawa bagi perkataan tertentu, perlu mempunyai
sebutan tertentu dan bukan bergantung semata-mata kepada ejaan.
  "Dalam bahasa Inggeris, kita juga mendapati ada perkataan yang ejaannya
berbeza dengan sebutannya. Begitu juga dalam aspek ini, kanak-kanak perlu
menyebut sesuatu perkataan dengan betul walaupun ejaannya di Melayukan.
  "Umpamanya perkataan `Ramadan' mereka perlu diajar bahawa huruf `d' di
situ perlu ditebalkan bagi menggantikan perkataan `dhat' yang dipinjam
dari bahasa Arab," katanya.
  Sementara itu, Ketua Jabatan Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia,
Prof Madya Dr Mohd Ridzuan Awang, berkata tidak timbul soal membantah atau
menyokong dasar mengenai sebutan baku bahasa Melayu.
  "Apa yang kita harapkan ialah sebutan Melayu bagi perkataan Arab perlu
mengikut kata dasarnya dan tidak mengubah makna asalnya.
  "Perkara ini penting kerana ia membabitkan sesuatu istilah agama kerana
jika makna berubah, ia membawa implikasi besar," katanya.
  Beliau berkata, tidak wajar sesuatu istilah agama yang dipinjam, dipinda
atau disesuaikan dengan bahasa Melayu tetapi sebutannya bercanggah dengan
makna sebenar.
                                (END) Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment