Saturday, November 26, 2011

Novel Imam diterjemah dalam bahasa Arab





MAGNUM-OPUS Sasterawan Negara (SN), Datuk Abdullah Hussain, Imam, yang
menjuarai Hadiah Novel Nasional (1996) dan Hadiah Sastera Malaysia (1996)
sah akan diterjemahkan ke bahasa Arab.
  Ketua di Bahagian Anugerah dan Hadiah Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP), Hamzah Hamdani, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Sastera
dan Budaya.
  "Menterjemah Imam ke bahasa Arab dicadangkan sendiri pengarangnya, dan
DBP menerima cadangan itu kerana teksnya sarat dengan falsafah Islam,"
katanya.
  Selain Imam beberapa novel Melayu yang mengetengahkan falsafah Islam
juga akan diterjemahkan ke bahasa Arab, dalam usaha DBP meneroka pasaran
sastera Asia Barat.
  Hamzah menjelaskan pihaknya masih dalam proses mengenal pasti calon
untuk menterjemah magnum-opus Abdullah itu, kerana sukar mendapatkan
mereka yang mampu menangani penterjemahan daripada bahasa Melayu ke Arab.
  "Kami mahukan penterjemah bukan sahaja menguasai bahasa Arab, tetapi
juga peka dengan nilai sastera Melayu, selain terdedah dengan sastera Asia
Barat," katanya.
  Menurutnya, syarat yang ketat dikenakan dalam pemilihan calon
penterjemah novel itu, bertujuan memastikan terjemahan yang ditangani
mencapai piawaian setara dengan teks sastera Asia Barat lain.
  Justeru, khidmat seorang editor yang menguasai bahasa Melayu dan Arab
selain terdedah dengan nilai estetika sebuah karya sastera, juga mungkin
digunakan bagi merealisasikan usaha menghasilkan karya bermutu itu.
  Pendekatan itu diyakini membolehkan khalayak sastera Arab terbuka hati
untuk mendekati sastera Melayu yang sememangnya asing kepada mereka,
meskipun hubungan antara Malaysia dengan rantau Asia Barat sudah lama
terjalin.
  Menurut Hamzah, usaha menterjemah Imam ke bahasa Arab menggunakan
keistimewaan yang diberikan kepada penerima Anugerah Sastera Negara (ASN)
sebagaimana dinikmati beberapa lagi SN sebelum ini.
  "Teks SN Muhammad Salleh umpamanya diterjemahkan ke dalam bahasa
Inggeris, manakala karya Datuk A Samad Said, selain diterjemahkan ke
bahasa Inggeris turut diterjemahkan ke bahasa Jerman," ujarnya.
  Bagaimanapun, katanya, sama ada rancangan berkenaan diteruskan atau
ditunda bergantung kepada peruntukan kewangan yang ada, kerana negara kini
dilanda kegawatan ekonomi.
  Sementara itu, Abdullah yang dihubungi, menjelaskan beliau mengemukakan
cadangan itu, kerana Imam dirasakan lebih sesuai diterjemahkan ke bahasa
Arab daripada ke bahasa Inggeris, kerana khalayaknya lebih besar.
  "Sebahagian besar orang Arab tidak mengetahui permasalahan agama Islam
di luar lingkungan masyarakatnya, dan kerana itu ada baiknya Imam
dihidangkan kepada mereka," katanya.
  Usaha penterjemahan teks sastera Melayu ke bahasa Arab itu juga,
katanya, membolehkan Malaysia `menjual' negara ini secara tidak langung
kepada khalayak Asia Barat.
  Abdullah menjelaskan sejak Imam berada dalam pasaran, beliau banyak
mendapat maklum balas baik daripada kalangan orang Melayu, mahupun Cina
dan India yang bukan beragama Islam.
  "Sehingga ke hari ini saya masih menerima komen daripada pembaca Imam di
mana khalayak Cina dan India umpamanya, berpuas hati kerana mereka tidak
lagi terjebak dalam tanggapan Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu,"
ujarnya.
  Selain itu, katanya, ada seorang sarjana Perancis beragama Kristian yang
bertugas di Universiti Nasional Singapura, menyatakan terima kasihnya
kepada beliau kerana mendapat gambaran jelas mengenai Islam melalui Imam.
  Tidak ketinggalan seorang kenalannya, juga salah seorang Adun di
Terengganu, membeli beberapa naskhah Imam dan diserahkan kepada setiap
seorang anaknya untuk dimanfaatkan.
  Kehadiran Imam tentunya berjaya mengurangkan lompang yang sedia untuk
memerangkap pembaca dan sarjana (terutamanya bukan Islam yang berada di
luar wilayah Timur) dalam silap fahaman Islam di dalam teks sastera
Melayu!
                              (END) Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment