Friday, November 25, 2011

Bahasa Arab 27 anggota ATM jalani kursus





Caption: 

1. MAT ZAKI HAMAT, LEFTENAN ANWAR NONCI 

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sahaja perlu melengkapkan diri 
dengan pelbagai kemahiran tetapi juga mempelbagaikan kebolehan berbahasa 
untuk memudahkan komunikasi terutama semasa menyertai misi 
pasukan pengaman antarabangsa.

Satu daripada bahasa yang meluas penggunaannya ialah bahasa Arab, yang 
suatu ketika dahulu bahasa pertuturan dunia sewaktu zaman kegemilangan 
Islam di bawah Rasulullah s.a.w.

Selain itu, ia adalah bahasa al-Quran sebagaimana firman Allah, 
"sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran dengan bahasa Arab agar kamu 
memahaminya. (al-Quran:12;2).

Menyedari kepentingan bahasa itu, Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja 
(RRD) Kem Wardieburn mengadakan Kursus Asas Bahasa Arab Siri 1/2000 
baru-baru ini.

Pegawai Agamanya, Kapten Mohd. Najmuddin Elias Al-Hafiz berkata, kursus 
yang dijalankan selama dua bulan itu berjaya mendedahkan para peserta 
mendalami bahasa tersebut.

Katanya, idea mengadakan kursus yang julung kali dalam ATM itu datangnya 
dari Pegawai Memerintah Batalion 6 RRD, Leftenan Kolonel Mohd. Fauzi 
Mansur.

"Di peringkat awal kita juga berasa kurang yakin tetapi Alhamdulillah setelah 
diberi penerangan dan menjelaskan kedudukan bahasa arab yang juga digelar 
bahasa syurga, ramai yang menawarkan diri untuk belajar," katanya kepada 
Utusan sempena majlis penutup kursus itu, baru-baru ini.

Kursus selama dua bulan bermula Jun lalu disertai oleh 27 anggota tentera 
dari batalion tersebut.

Pada majlis itu, para penuntut yang berjaya diberikan sijil tamat kursus yang 
disampaikan oleh Penolong Pegawai Memerintah, Batalion 6 RRD, Mejar 
Hamdan Othman.

Seorang penuntut yang ditemui, Mat Zaki Hamat berkata, kelas diadakan satu 
jam setiap hari mulai pukul 11 pagi.

Bertuah

Katanya, beliau merasa bertuah dapat mengikuti kursus itu yang 
membolehkannya mendalami pengetahuan di dalam bahasa Arab.

"Penyampaian ustaz juga adalah ringkas dan mudah difahami dan kami 
selalunya bertutur sesama penuntut untuk memudahkan mengingat dan juga 
melancar," katanya yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Rakannya, Leftenan Anwar Nonci berkata, beliau mengikuti kursus itu untuk 
mendalami pengetahuan tentang al-Quran.

Katanya, memang ada cabaran sepanjang kursus tetapi minat yang mendalam 
mengetepikan semua halangan.

"Lagipun, kami diberikan pengecualian tugas sepanjang tempoh berkursus. 
Jadi, kalau ada masalah boleh diselaraskan.

"Selama ini saya hanya membaca al-Quran kini saya boleh menghayatinya 
untuk lebih khusyuk dalam sembahyang," katanya yang juga ketua kelas.

Seorang lagi penuntut, Lans Koperal Zulkefle Sani berkata, antara yang paling 
sukar dipelajari ialah sebutan Arab tentang waktu.

Bagaimanapun, katanya, beliau mengambil inisiatif bermuzakarah dengan 
ustaz di batalion itu di surau antara solat Maghrib dan Isyak.

"Saya berharap kursus ini akan diteruskan dan masanya ditambah untuk 
memantapkan lagi kefahaman penuntut," jelasnya.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment