Friday, November 25, 2011

Remaja perlu berusaha menguasai bahasa Arab




REMAJA

KUALA TERENGGANU _ Ramai remaja tidak menunjukkan minat untuk 
menguasai bahasa Arab dengan beranggapan ia sukar untuk dipelajari dan 
dikuasai berbanding dengan bahasa asing yang lain.

Namun Ahmad Faizal Ismail, 17, johan syarahan bahasa Arab sekolah-sekolah 
peringkat Negeri Terengganu tahun ini berpendapat anggapan mereka tidaklah 
tepat.

Menurutnya, kesukaran dan kesusahan mempelajari sesuatu bahasa boleh 
diatasi sekiranya seseorang remaja itu mempunyai minat yang mendalam.

Katanya, remaja di zaman ini perlu menguasai banyak bahasa kerana ia 
merupakan aset bernilai untuk menerokai ilmu pengetahuan.

Tambahnya, peluang mempelajari bahasa Arab terbuka luas termasuk di 
televisyen dan radio selain mengikuti kursus bahasa Arab di kelas formal.

Peluang mendalami bahasa tersebut, katanya, terhad kepada remaja yang 
belajar di sekolah-sekolah agama sahaja malahan kepada semua yang 
berminat.

``Bahasa Arab adalah bahasa al-Quran dan sesiapa yang dapat 
menguasainya memudahkan dia memahami makna ayat suci tersebut '' jelas 
pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Sheik Abdul Malik dekat sini.

Ahmad Faizal berkata, remaja yang menguasai bahasa Arab juga berpeluang 
mendalami kitab-kitab agama, cerita klasik arab dan syair yang ditulis dalam 
bahasa tersebut.

Oleh itu katanya, remaja yang menguasai lebih dua bahasa selain dari bahasa 
Melayu tentunya mempunyai kelebihannya yang tersendiri.

Biarpun komunikasi bahasa Arab belum meluas di negara ini tetapi 
penggunaannya di negara-negara Timur Tengah akan memberi kemudahan 
kepada remaja yang bercita-cita melanjutkan pengajian ke negara tersebut.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment