Friday, November 25, 2011

Kelas bahasa Arab diperluas ke sekolah rendah




KUALA TERENGGANU 9 Okt. _ Jabatan Pendidikan negeri akan 
memperluaskan penubuhan kelas bahasa Arab di sekolah-sekolah rendah di 
negeri ini ekoran sambutan yang menggalakkan daripada ibu bapa.

Pengarahnya, Razali Ismail berkata, sebanyak 40 sekolah lagi akan mula 
melaksanakan kelas bagi murid tahun satu pada awal tahun depan, 
melibatkan lima sekolah di setiap daerah.

Katanya, sejak penubuhan kelas pada tahun 1997, sehingga ini terdapat 23 
sekolah rendah yang melaksanakannya melibatkan kira-kira 4,073 murid dari 
tahun satu hingga enam.

"Ia dikendalikan oleh 61 orang guru terlatih yang kesemuanya memiliki 
diploma dalam bidang berkaitan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini 
hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis taklimat sempena 
kunjungan Permaisuri Terengganu, Permaisuri Nur Zahirah di Sekolah 
Kebangsaan Pusat Bukit Besar, di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan Permaisuri Nur Zahirah turut membawa dua 
anakanda baginda yang bakal memasuki alam persekolahan, iaitu Tengku 
Nairah Zaharah, 6, dan Tengku Muhammad Ismail, 4.

Menurut Razali, kelas bahasa Arab mula dilaksanakan di negeri ini pada 
1997 dengan melibatkan hanya lapan buah sekolah rendah.

Beliau berkata, pembelajaran kelas itu dilaksanakan dalam empat waktu 
seminggu dengan kurikulum yang tertumpu kepada asas-asas komunikasi 
bahasa Arab di samping bahasa Inggeris dan Melayu.

Katanya, pelaksanaan kelas-kelas bahasa Arab di sekolah-sekolah rendah 
dilakukan mengikut keperluan guru, permintaan ibu bapa dan kemampuan 
sekolah.

Menurut beliau, sehingga ini antara sekolah yang berjaya melakukan 
pencapaian terbaik ialah Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar, Sekolah 
Kebangsaan Tok Jiring dan Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud, Besut.

"Selepas tamat mengikuti kelas bahasa Arab, murid-murid terbabit 
berpeluang melanjutkan pelajaran ke sekolah-sekolah menengah agama,'' 
katanya. 

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment