Thursday, November 24, 2011

UIN johan debat bahasa Arab ASEAN





PERISTIWA

UNIVERSITAS Islam Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta, Indonesia (UIN) 
muncul juara Kejohanan Debat Bahasa Arab Peringkat Institusi Pengajian 
Tinggi Awam (IPTA) ASEAN 2006 menewaskan 18 pasukan dari 11 buah 
institusi pengajian tinggi awam lain pada 26 Februari lalu.

Kemenangan tersebut menyaksikan UIN membawa pulang hadiah wang 
tunai RM2,500, piala iringan, cenderahati dan sijil penyertaan. Kejayaan ini 
tambah bermakna kerana UIN turut memenangi anugerah pendebat terbaik 
dengan membawa pulang wang tunai RM200, piala iringan, cenderahati dan 
sijil penghargaan.

Tajuk yang dipertandingkan pada malam itu adalah 'Penubuhan Parlimen 
Asia Menjadi Satu Tuntutan'. UIN bertindak sebagai pihak pencadang dan 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai pihak 
pembangkang.

Naib juara kejohanan debat anjuran Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) 
dengan kerjasama Sekretariat Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) itu 
dimenangi oleh UIAM yang membawa pulang wang tunai RM1,000, piala 
iringan, cenderahati dan sijil penyertaan.

Pertandingan itu diadakan di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan.

Majlis perasmiannya telah dilakukan Mufti Besar Johor, Datuk Nooh Gadut. 
Sebanyak 18 pasukan dari IPTA bertanding dalam kejohanan Debat Bahasa 
Arab Peringkat IPTA ASEAN iaitu KUIM, Universiti Malaya (UM), Universiti 
Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), UIAM, Universiti 
Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan 
Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI). IPT luar negara yang terlibat ialah 
UIN dari Indonesia serta Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah dan Madrasah 
Al-Junied Al-Islamiah, kedua-duanya dari Singapura.

Para hakim yang terlibat mengadili kejohanan debat tersebut terdiri daripada 
kalangan mereka yang berpengalaman dari universiti-universiti yang 
menyertainya.

Kejohanan itu diadakan bertujuan menjadikan KUIM sebagai pelopor dalam 
Kejohanan Debat Bahasa Arab di arena antarabangsa sekali gus menjadi 
universiti pertama yang menganjurkan kejohanan tersebut di peringkat IPT 
ASEAN. 

Selain itu, ia juga dapat mengetengahkan bahasa Arab sebagai bahasa 
global kepada masyarakat Malaysia khususnya dan masyarakat nusantara 
umumnya. Dalam pada itu, ia juga turut memberi peluang kepada 
mahasiswa untuk menyerlahkan bakat dan kemahiran berdebat dalam 
bahasa Arab serta melahirkan mahasiswa yang mempunyai kemahiran 
komunikasi yang tinggi.

Bertemakan 'Membudayakan Bahasa Arab Sebagai Bahasa Ilmu dan 
Diplomasi', ia menjadi satu galakan kepada mahasiswa untuk menguasai 
bahasa itu sebagai persediaan menghadapi era globalisasi di samping 
memperkenalkan Malaysia sebagai pengerusi Pertubuhan Persidangan 
Islam (OIC).

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment