Thursday, November 24, 2011

Menghayati sejarah tulisan bahasa Arab dan tulisan Jawi




KENALI BAHASA AL-QURAN

SIRI 10

SELAIN memperkaya sesuatu bahasa dengan kemasukan perbendaharaan 
kata, bahasa Arab juga sebenarnya telah memperkenalkan satu sistem 
tulisan. Sehubungan itu mana-mana bahasa yang belum memiliki sistem 
tulisan yang boleh menterjemah pertuturan seharian mudah menerima pakai 
sistem tulisan Arab. 

Contohnya, sistem tulisan Jawi yang teratur baik pada Batu Bersurat 
Terengganu menunjukkan bahawa huruf Arab telah pun digunakan dalam 
bahasa Melayu lama sebelum tahun 1303 Masihi. Sistem tulisan Jawi pada 
awal abad ke-14 M ini bolehlah dikatakan sudah mencapai tahap yang baik 
walaupun tidak mengikut satu sistem yang mantap. Tulisan perkataan 
Melayu ketika itu dibuat mengikut pendekatan tulisan perkataan Arab iaitu 
tidak menggunakan huruf-huruf saksi. 

Abad ke-14 M bolehlah dianggap sebagai zaman peralihan bagi masyarakat 
Melayu yang sebelum itu dipengaruhi kebudayaan India. Ketika itu bahasa 
Melayu mengalami suatu evolusi yang cepat dalam perkembangan 
perbendaharaan kata dan tulisan apabila menerima banyak perbendaharaan 
kata dalam bentuk tulisan Jawi. 

Kedatangan Islam telah memberi sumbangan besar kepada perkembangan 
bahasa Melayu yang ketika itu belum mempunyai satu sistem tulisan yang 
teratur. Islam telah membantu mengatasi kekurangan itu dengan 
memberikan sistem tulisan Jawi, yang kemudiannya menjadi tulisan rasmi di 
beberapa daerah kepulauan Melayu khususnya di Tanah Melayu hingga 
abad ke-20 M. 

Kajian Syed Muhammad Naquib Al-Attas pada tahun 1984 mendapati 
bahawa selain perkataan Arab yang diserap ke dalam bahasa Melayu, 
tulisan Arab juga diambil secara keseluruhan dan dijadikan sebagai tulisan 
bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, masyarakat Melayu tempatan telah 
menambah beberapa huruf tambahan untuk sebutan yang tidak terdapat 
dalam bahasa Arab seperti cha, nga, ga, pa, wau bertitik dan nya. 

Gang Geong Sok, seorang pengkaji berbangsa Korea, berpendapat bahawa 
penggunaan tulisan Jawi boleh memudahkan seseorang untuk memahami 
Islam kerana teks yang berkaitan al-Quran dan al-Hadis lebih sinonim 
berpasangan dengan bahasa Arab, tulisan Arab atau tulisan Jawi. 

Beliau menyatakan teks yang berkaitan dengan agama Islam tidak begitu 
sesuai dengan tulisan Rumi (Latin) yang berasal daripada pengaruh agama 
Kristian. Beliau juga menganggarkan terdapat kira-kira 7,000 manuskrip 
bertulisan Jawi masih tersimpan di muzium negara-negara Barat yang tiada 
salinannya di Kepulauan Melayu.

Menurut seorang pengkaji bahasa Indonesia, Ayob Jadwat, terdapat 34 
bahasa yang masih menggunakan tulisan Arab dalam penulisan bahasa 
mereka pada awal abad ke-20. Antara bahasa tersebut ialah bahasa Parsi, 
bahasa Turki, bahasa Kurdis dan bahasa Melayu. 

Penyelidik Osman Khalid pada tahun 1988 berpendapat sebelum 
kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu, pengaruh dan kesan bahasa 
Arab terhadap bahasa Melayu adalah besar. Sehubungan itu hampir semua 
buku teks, buku ilmiah yang bercorak keagamaan, siaran-siaran kerajaan, 
perutusan-perutusan rasmi, pemasyhuran dan perjanjian-perjanjian rasmi 
kerajaan ditulis dalam tulisan Jawi. 

Kajian Sohair Abdel Munem Sery mendapati akhbar-akhbar dan majalah-
majalah bertulisan Jawi telah muncul dalam pelbagai bentuk keluaran iaitu 
mingguan, bulanan, dwi bulanan dan tahunan di beberapa buah negeri 
Persekutuan Tanah Melayu selepas akhbar Jawi Peranakan diterbitkan di 
Singapura pada tahun 1876. 

Kebanyakan nama majalah dan akhbar pada masa itu adalah berunsur Arab. 
Penggunaan majalah dan akhbar bertulisan Jawi ini menggambarkan betapa 
tersebar luasnya tulisan Jawi di kalangan masyarakat. Masyarakat 
orang Melayu ketika itu boleh dikatakan masyarakat pembaca Jawi.

Faktor pemudah

Keadaan inilah yang menjadi salah satu faktor pemudah dalam 
pembelajaran bahasa Arab pada zaman itu. Besarnya pengaruh bahasa 
Arab bukan sahaja dapat dilihat pada nama-nama orang Melayu, tetapi juga 
boleh dilihat pada kata pinjaman daripada bahasa Arab yang terdapat dalam 
setiap aspek kehidupan masyarakat Melayu. 

Menurut Amat Juhari Moain, tulisan Arab telah dibawa masuk ke alam 
Melayu dan digunakan sebagai tulisan untuk bahasa Melayu. Bukti terawal 
menunjukkan bahawa penggunaan tulisan Arab di alam Melayu telah 
bermula pada abad ke-3 Hijrah yang bersamaan dengan abad ke-10 M. Ini 
berdasarkan tulisan Arab dalam bentuk prasasti yang pernah dijumpai di 
beberapa tempat di nusantara. 

Antaranya ialah di Kedah semasa zaman Langkasuka, iaitu pada batu nisan 
Syeikh Abdul Qadir ibn Husin Syah Alam pada 290H/910. Kedua, di Pekan, 
Pahang, iaitu pada batu nisan yang bertarikh 14 Rabiulawal 419H/1030M. 
Penemuan ketiga pula ialah di Vietnam, iaitu pada batu nisan di Phan-Rang 
Vietnam yang dahulunya termasuk dalam Wilayah Selatan Champa pada 
431H/1039M. 

Seterusnya keempat di Brunei, iaitu pada batu nisan puteri Sultan Abdul 
Majid ibn Mohamad Syah al-Sultan pada 440 H/1048M. Yang kelima pula 
ialah di Grisek, Jawa Timur, iaitu pada batu nisan Fatimah binti Maimun binti 
Hibat Allah pada 475H/1082M. 

Bagi orang-orang Melayu, antara faktor kepentingan bahasa Arab ialah 
tulisan Jawi yang huruf asalnya adalah daripada bahasa Arab. Sejak abad 
ke-16 M, tulisan Jawi telah mendominasikan perkembangan ilmu 
pengetahuan dalam masyarakat Melayu. Syed Muhammad Naguib 
menyatakan bahawa terdapat manuskrip terjemahan daripada bahasa Arab 
yang bertulisan Jawi seperti kitab Aqaid al-Nasafi yang ditulis pada tahun 
1590 M. 

Seterusnya Marjuni Rangkuti mendapati selepas pertengahan abad ke-20 
peranan tulisan Arab dalam penulisan bahasa Melayu tidak begitu penting 
lagi. Penggunaannya di Malaysia dan Indonesia adalah terhad untuk buku 
agama yang tertentu dan digunakan oleh golongan tertentu sahaja, 
walaupun aksara Arab telah digunakan lebih ratusan tahun untuk penulisan 
bahasa Melayu.

Di Malaysia, sebelum ini terdapat surat khabar harian Utusan Melayu yang 
menggunakan tulisan Jawi. Namun, di Indonesia akbar harian bertulisan 
Jawi tidak diterbitkan lagi. 

Berdasarkan pengalaman ini, dapat disimpulkan masyarakat Melayu telah 
menerima kemasukan tulisan Arab dan digunakan dalam penulisan bahasa 
Melayu dengan rela hati. 

Ini bermakna masyarakat Melayu berkemahiran menulis sama ada ayat al-
Quran, al-Hadis, doa, kata-kata hikmah dan teks bahasa Melayu dalam 
tulisan Jawi. 

Dengan kata lain, penguasaan tulisan Jawi dan penggunaan ayat al-Quran, 
al-Hadis dan doa dalam kehidupan seharian banyak membantu pelajar untuk 
belajar bahasa Arab.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment