Thursday, November 24, 2011

Kata pinjaman bahasa Melayu yang berasal daripada bahasa Arab




KENALI BAHASA AL-QURAN 

SIRI 14 

e-mel: arbacmys@netscape.net

JIKA kita membuat satu analisis ringkas tentang kata pinjaman bahasa 
Melayu yang berasal daripada bahasa Arab dalam Kamus Dewan kita pasti 
akan mendapati memang terlalu banyak. Percayakah kita kalau dikatakan 
bahawa sebanyak 1100 perkataan dalam bahasa Melayu yang termaktub 
dalam Kamus Dewan Edisi Pertama terbitan tahun 1970 adalah diserap 
daripada bahasa Arab.

Seterusnya, jumlah tersebut meningkat kepada 1177 kata pinjaman Arab 
berasaskan bilangan kata-kata dasar yang dimuatkan dalam Kamus Dewan 
Edisi Kedua kira-kira 22 tahun kemudian iaitu pada tahun 1992. 

Selain kata pinjaman bahasa Melayu yang berasal daripada bahasa Arab, di 
sini turut disenaraikan kata pinjaman bahasa Melayu yang berasal daripada 
bahasa-bahasa lain sebagai perbandingan. Ini dapat dilihat seperti dalam 
jadual 1 berikut: 

JADUAL 1 

Kata Pinjaman Dalam Kamus Dewan Edisi Kedua 

(1992) Daripada Berbagai Sumber Bahasa 

Bahasa  Jumlah Bilangan Kata Pinjaman  Peratusan (%) 

Bahasa Inggeris   1556   27.94 

Bahasa Arab    1177   21.13 

Bahasa Indon/Belanda   1115   20.02 

Bahasa Eropah    1031   18.51 

Bahasa Indonesia   467   8.38 

Bahasa Cina    133   2.39 

Bahasa Sanskrit   31   0.56 

Bahasa Parsi    15   0.27 

Bahasa Jepun    12   0.22 

Bahasa Tamil    11   0.20 

Bahasa Portugal   8   0.14 

Bahasa Latin    6   0.11 

Bahasa Hindustan   3   0.05 

Bahasa Turki    2   0.03 

Bahasa Perancis   2   0.03 

Bahasa Rusia    1   0.01 

Jumlah     5569   100.00 

Berdasarkan jadual di atas didapati bahawa bilangan kata pinjaman daripada 
bahasa Arab dengan mengekalkan maknanya dalam Kamus Dewan Edisi 
Kedua (1992) begitu banyak. Perkataan yang diserap daripada bahasa Arab 
mencatatkan bilangan yang kedua tertinggi di antara 16 bahasa di dunia 
yang menyumbang ke arah memperkaya perbendaharaan kata bahasa 
Melayu. Bahasa Arab menyumbang sebanyak 1177 perkataan (21.13%) 
daripada 5569 perkataan keseluruhan yang termaktub dalam kamus 
tersebut. 

Seterusnya analisis ini mendapati kadar jumlah kata pinjaman dalam Kamus 
Dewan Edisi Ketiga (1994) ialah sebanyak 10 062 perkataan (35.12%) 
daripada keseluruhan kata dasar yang berjumlah sebanyak 28 651 kata 
dasar. Dalam kamus ini, kata pinjaman daripada bahasa Arab telah 
mencatatkan peningkatan kepada 1791 perkataan. Seperti sebelumnya, di 
sini juga turut disenaraikan kata pinjaman bahasa Melayu yang berasal 
daripada bahasa-bahasa lain sebagai perbandingan. Ini dijelaskan seperti 
dalam jadual 2. 

JADUAL 2 

Kata Pinjaman Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994) 

Daripada Berbagai Sumber Bahasa 

Bahasa  Jumlah Bilangan Kata Pinjaman  Peratusan (%) 

Bahasa Inggeris   2381   23.79 

Bahasa Arab    1791   17.80 

Bahasa Jawa    1482   14.73 

Bahasa Belanda   1387   13.78 

Bahasa Minangkabau   1003   9.97 

Bahasa Jakarta   920   9.14 

Bahasa Sanskrit   490   4.87 

Bahasa Cina    188   1.87 

Bahasa Sunda    90   0.89 

Bahasa Portugis   83   0.82 

Bahasa Parsi    81   0.81 

Bahasa Tamil    57   0.57 

Bahasa Hindustan   57   0.57 

Bahasa Jepun    16   0.16 

Bahasa-bahasa Lain*   36   0.36 

Jumlah     10 062   100.00 

Petunjuk 

* Bahasa-bahasa Lain: Bahasa Palembang (11), Bahasa Latin (8), Bahasa 
Bali (4),Bahasa Turki (3), Bahasa Rusia (3), Bahasa Aceh(2), Bahasa 
Perancis(1), Bahasa Padang (1), Bahasa Sepanyol (1), Bahasa Korea (1) 
dan Bahasa Thai (1).

Berdasarkan jadual 2 di atas kita dapati bahawa bilangan kata pinjaman 
daripada bahasa Arab dengan mengekalkan maknanya dalam Kamus 
Dewan Edisi Ketiga (1994) bertambah dengan begitu banyak. 

Perkataan yang diserap daripada bahasa Arab mencatatkan bilangan yang 
kedua tertinggi di antara 25 bahasa di dunia yang menyumbang ke arah 
memperkaya perbendaharaan kata bahasa Melayu. Ia menambah sebanyak 
614 perkataan baru menjadikan jumlah sebenar sebanyak 1791 perkataan 
daripada 10 062 perkataan keseluruhan yang termaktub dalam kamus 
tersebut.

Walau bagaimanapun, peratusannya menurun kepada hanya 17.8% sahaja 
kerana bahasa Melayu pada masa yang sama turut menerima kemasukan 
perkataan daripada bahasa-bahasa lain.

Dalam hal ini, sepatutnya pelajar Melayu yang belajar bahasa Arab dapat 
menggunakan kelebihan yang ada ini. Persamaan makna antara kedua-dua 
bahasa iaitu bahasa Arab dan Bahasa Melayu dijangka dapat membantu 
dalam proses pembelajaran dan pembelajaran.

Pelajar juga disarankan merujuk Kamus Dewan Edisi Pertama (1970), 
Kamus Pengetahuan Islam susunan Dasuki Ahmad (1988), Kamus Dewan 
Edisi Kedua (1992), Istilah Agama Islam (1993), Kamus Besar Bahasa 
Indonesia (1993), Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994), dan Kamus Ejaan Jawi 
Dewan Bahasa dan Pustaka (1997).

Walau bagaimanapun, tumpuan kepada kata pinjaman yang berasal 
daripada bahasa Arab yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga 
(1994) pun sudah dianggap memadai bagi seorang pelajar sekolah. 

Seorang pelajar sekolah dengan bantuan seorang guru bahasa Arab 
dijangka boleh menghuraikan sebanyak 1407 kata pinjaman (78.56%) 
daripada 1791 kata pinjaman bahasa Melayu yang termaktub sebagai kata 
entri Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994). 

Ini kerana kata pinjaman tersebut masih aktif penggunaannya dan tidak 
mengalami perubahan besar dari segi struktur binaan perkataan. Di samping 
itu ia juga mudah dimanfaatkan oleh pelajar yang belajar bahasa 
Arab di Malaysia menurut pandangan beberapa orang guru pakar bahasa 
Arab. 

Semak dalam surat khabar asal 

Nilai huruf Arab 

Contoh lafaz Bismilah 

Jumlah: 786 

Angka ini selalu digunakan pada papan tanda premis perniagaan terutama di 
kedai-kedai mamak. 

Selepas ini sila perhatikan kedai-kedai yang menggunakan nombor ini (786). 

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment