Thursday, November 24, 2011

Sejarah pembelajaran bahasa Arab di Malaysia





KENALI BAHASA AL-QURAN

SIRI 35

SEBELUM membincangkan dengan lebih lanjut pendekatan pembelajaran 
bahasa Arab dan membina modul-modul berasaskan pendekatan tersebut, 
adalah lebih baik kita meneliti sejarah pembelajaran bahasa Arab di Malaysia 
terlebih dahulu. 

Secara umumnya berbagai institusi pendidikan peringkat sekolah telah 
meletakkan status bahasa Arab sebagai salah bahasa utama dalam institusi 
pengajiannya. 

Institusi pendidikan yang menawarkan pengajian bahasa Arab boleh 
diklasifikasikan kepada lima jenis berdasarkan sistem pentadbirannya iaitu:

a. Sekolah agama peringkat menengah di bawah pentadbiran Kementerian 
Pelajaran seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah 
Menengah Agama Persekutuan (SMAP), Kolej Islam Sultan Alam Syah 
(KISAS) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) yang menawarkan 
kelas aliran agama (KAA).

b. Sekolah agama di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri di peringkat 
menengah seperti Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN).

c. Sekolah agama di bawah kelolaan Majlis-majlis Agama dan Zakat di 
peringkat rendah dan menengah.

d. Sekolah agama rakyat yang dibangunkan oleh masyarakat setempat dan 
dikendalikan oleh Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) di peringkat rendah 
dan menengah.

e. Sekolah agama yang dikendalikan oleh pihak swasta di peringkat rendah 
dan menengah. 

Dalam ruangan kali ini, perkembangan pembelajaran bahasa Arab 
difokuskan kepada sekolah bertaraf SMKA di bawah pentadbiran 
Kementerian Pelajaran Malaysia.

Perkembangan SMKA

Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan mata pelajaran 
bahasa Arab secara rasmi pada 1977 dengan meletakkan Sekolah 
Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Kolej Islam Sultan Alam Shah, 
Klang sebagai induknya. Penubuhan SMKA telah diilhamkan oleh Nik 
Muhyiddin Musa, Pengarah Bahagian Agama Kementerian Pelajaran yang 
pertama. 

Mulai 1 Januari 1977, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menubuhkan 
11 buah SMKA yang ditadbirkan sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan. Ini 
terlaksana dengan pengambilalihan secara rasmi sebanyak sebelas buah 
Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Agama 
Rakyat (SMAR). Sehingga kini terdapat 58 buah SMKA di seluruh negara 
dan tiga buah daripadanya bertaraf asrama penuh. 

Penubuhan SMKA oleh Kementerian Pendidikan Malaysia adalah satu 
langkah bijak dalam pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Ia 
menjunjung satu visi yang unggul untuk dicapai.

Usaha ini diterajui oleh Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan 
Malaysia yang sekarang dikenali dengan Jabatan Pendidikan Islam dan 
Moral (JAPIM) di samping sokongan daripada semua pihak. 

Hasilnya, SMKA telah dapat bersaing dengan sekolah-sekolah menengah 
biasa. Bahkan ada di antara SMKA tersebut yang mencapai prestasi 
cemerlang apabila diumumkan sekolah paling cemerlang peringkat 
kebangsaan khasnya dalam bidang akademik. 

Pada 1988 Kementerian Pendidikan telah menubuhkan Kelas Aliran Agama 
(KAA) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dengan matlamat untuk 
menampung permintaan masyarakat yang terus bertambah setiap tahun. Ini 
berikutan terdapat seramai 45 000 orang pelajar yang mengemukakan 
borang permohonan masuk ke tingkatan satu SMKA pada tahun 
sebelumnya, sedangkan ia hanya mampu menampung 4,500 tempat (10%) 
daripada jumlah permohonan. 

Sehingga 1992, sebanyak 106 buah sekolah terlibat menawarkan pengajian 
bahasa Arab menerusi program Kelas Aliran Agama (KAA). Sehingga tahun 
2000, sebanyak 342 buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) telah 
membuka sebanyak 1,558 buah kelas bagi menampung kira-kira 48,312 
orang pelajar. 

Kajian yang dijalankan secara usaha sama antara Bahagian Pendidikan 
Islam Kementerian Pendidikan Malaysia dengan Fakulti Pendidikan 
Universiti Pertanian Malaysia pada 1994 tentang 'Aspirasi Kerjaya dan 
Pendidikan Pelajar SMKA' mendapati ibu bapa menaruh harapan tinggi 
terhadap anak-anak mereka yang belajar di SMKA untuk maju dalam bidang 
pendidikan dan menceburi bidang kerjaya yang baik pada masa hadapan. 

Selain itu, harapan kerajaan, masyarakat dan semua pihak yang terlibat juga 
tinggi terhadap peranan yang harus dimainkan oleh SMKA. Amanah yang 
dipikul oleh SMKA adalah melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan 
tinggi dalam pelbagai bidang, berketrampilan, berhemah tinggi dan 
mempunyai asas pendidikan agama yang kukuh selaras dengan tuntutan 
Ilahi. 

Memandangkan permintaan dan sambutan ibu bapa yang menggalakkan 
serta disokong oleh prestasi cemerlang SMKA yang sedia ada, maka 
kerajaan telah meluluskan projek pembinaan sebanyak 14 buah SMKA lagi 
dalam Rancangan Malaysia Ketujuh. Dengan siapnya 14 buah SMKA 
tersebut pada 2002, seramai 1,050 orang guru telah ditambah. Ini bererti 
bahawa setiap sebuah sekolah SMKA mempunyai purata seramai 75 orang 
guru. 

Secara ringkasnya SMKA ditubuhkan dengan objektif menyediakan 
pendidikan alternatif dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan dengan ciri-ciri 
penekanan khusus kepada mata pelajaran Pendidikan Islam dan mata 
pelajaran Bahasa Arab. Matlamat awal penubuhannya adalah untuk 
menyediakan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam kurikulum dan ko-
kurikulum akademik, berakhlak mulia dan sentiasa bersedia menghadapi 
cabaran hidup dunia dan akhirat. 

Adalah diharapkan pelajar lepasan SMKA ini akan menceburi semua bidang 
yang diminati dalam keadaan boleh merujuk kepada al-Quran dan hadis 
yang merupakan sumber petunjuk kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. 
Mereka diharap akan memberi sumbangan yang menyeluruh dari aspek 
moral, material dan intelek apabila mereka berada di tengah-tengah 
masyarakat. 

Bagi merealisasikan hasrat tersebut satu visi unggul dijadikan tonggak 
pendidikan SMKA, iaitu berusaha ke arah 'Kecemerlangan Akademik dan 
Kesempurnaan Akhlak Pelajar'. 

Akademik yang cemerlang bertujuan menjamin peluang pengajian ke 
peringkat yang lebih tinggi, memperoleh kemahiran dan mendapat kerjaya 
yang baik dalam berbagai bidang yang diceburi. Sementara akhlak yang 
murni pula bertujuan untuk mengelak salah laku yang tidak berteraskan cara 
hidup Islam, pemikiran rasional, nilai-nilai masyarakat dan undang-undang 
yang ditetapkan. Berikutan itu lahirlah slogan SMKA yang berbunyi 
'Kecemerlangan Akademik Kesempurnaan Akhlak Tunggak Pendidikan'. 

Secara umum dari segi struktur pengajiannya, kesemua mata pelajaran yang 
ditawarkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) turut ditawarkan di 
SMKA dengan penambahan mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam 
Tinggi dan Bahasa Arab. Kedua-dua mata pelajaran ini wajib diikuti pelajar 
dan menjadi ciri utama bagi SMKA.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment