Thursday, November 24, 2011

Mesti kuasai bahasa Arab




KAHERAH: Pelajar jurusan agama di Malaysia yang bercita-cita melanjutkan
pelajaran di Asia Barat terutama Mesir perlu menguasai bahasa Arab dengan
baik bagi memudahkan mereka mengikuti pengajian dengan mudah serta
berkesan. 
  Ramai pelajar Malaysia yang mengikuti pelbagai jurusan di Universiti
Al-Azhar dan Universiti Kaherah di negara itu didapati gagal mengua sai
bahasa Arab terutama bahasa pasarnya.
  Keadaan itu menyebabkan mereka gagal dalam peperiksaan dan terpaksa
mengulang semula sesuatu subjek yang diambil sekali gus mengambil masa
yang lama untuk menamatkan pengajian.
  Pegawai Khas Kebajikan Pelajar Negeri Sembilan, Abdul Malik Kahar,
berkata masalah itu turut menghantui pelajar dari Negeri Sembilan apabila
pada masa ini hanya lima pelajar yang lulus dalam peperiksaan tanpa
mengulang pengajian.
  "Sistem peperiksaan yang 'aneh' yang mana peperiksaan diadakan tidak
mengikut jadual yang sudah ditetapkan, turut menjadi faktor menyebabkan
ada yang gagal dalam peperiksaan. 
  "Ini menyebabkan pelajar gagal dalam kertas berkenaan kerana tidak
menghadirkan diri pada waktu yang diubah secara tiba-tiba itu," katanya
di sini semalam.
  Beliau berkata demikian selepas majlis taklimat dan lawatan Pegawai
Kewangan Negeri Sembilan, Datuk Norzam Mohd Nor dan Pegawai Majlis Agama
Islam Negeri Sembilan (Mains) ke Rumah Negeri Sembilan di sini semalam.
  Lawatan itu sempena lawatan kerja Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad
Hasan ke Mesir dan Jordan, bermula kelmarin. Negeri Sembilan mempunyai
kira-kira 200 pelajar yang sedang mengikuti pengajian di kedua-dua negara
berkenaan.
  Abdul Malik yang pernah menjadi pegawai di Jabatan Penuntut Malaysia di
London berkata, beliau akan menyarankan kepada kerajaan supaya pelajar
yang akan mengikuti pengajian di Asia Barat mengikuti kursus intensif
bahasa Arab selama enam bulan sebelum di hantar ke sana. 
  Katanya, beliau juga menyarankan supaya kursus itu dikendalikan pakar
bahasa Arab dari Mesir bagi memudahkan pelajar memahami dan menguasai
bahasa berkenaan dengan lebih cepat dan mudah.
  "Saya percaya usaha untuk mendapatkan bantuan daripada pakar bahasa
dari negara ini tidak sukar kerana Duta Malaysia, Datuk Zainal Abidin
Abdul Kadir mempunyai hubungan baik dengan pengurusan Universiti Al-Azhar.
  "Apatah lagi, beliau adalah bekas pelajar universiti berkenaan dan
sudah kenal rapat pengurusan tertingginya," katanya yang dilantik sebagai
pegawai khas kebajikan pelajar Negeri Sembilan sejak lima bulan lalu.
                              (Source by : Berita Harian)

No comments:

Post a Comment