Thursday, November 24, 2011

Perkembangan mata pelajaran bahasa Arab komunikasi




KENALI BAHASA AL-QURAN

SIRI 36

APABILA Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dilaksanakan, 
Kurikulum Bahasa Arab turut digubal. Sukatan pelajaran bahasa Arab yang 
berdasarkan kurikulum baru telah dilaksanakan di semua Sekolah Menengah 
Kebangsaan Agama (SMKA), Kelas Aliran Agama (KAA) dan Sekolah 
Berasrama Penuh (SBP) mulai tahun 1991. 

Pada peringkat awal, ia masih menggunakan nama mata pelajaran Bahasa 
Arab. Walau bagaimanapun, mulai 12 Jun 1991, Jawatankuasa Kurikulum 
Pusat (JKP) memutuskan supaya nama Bahasa Arab diubah kepada Bahasa 
Arab Komunikasi (BAK). Selain itu, JKP juga meluluskan satu mata pelajaran 
baru iaitu Bahasa Arab Tinggi (BAT) dan ia telah dilaksanakan 
mulai 1992. Ini bermaksud BAK dan BAT mempunyai sukatan pelajaran dan 
huraiannya yang berbeza di samping buku teks dan format peperiksaan yang 
juga berlainan. 

Pelaksanaan Bahasa Arab sebagai salah satu mata pelajaran di sekolah 
dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan iaitu: (a) Bahasa Arab 
Komunikasi sebagai Mata Pelajaran Tambahan; dan (b) BAT sebagai mata 
pelajaran elektif. Peruntukan waktu pembelajaran seminggu bagi mata 
pelajaran Bahasa Arab Komunikasi ialah enam waktu dengan setiap waktu 
selama 40 minit dan bagi mata pelajaran BAT ialah empat waktu dengan 
setiap waktu selama 40 minit. 

Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) Bahasa Arab 
Komunikasi dan BAT sedia ada telah disemak semula dan dilaksanakan 
pada tahun 2003. Penyemakan ini dibuat berdasarkan kepada arahan 
Menteri Pendidikan dan saranan Ketua Pengarah Pendidikan pada tahun 
1999 supaya penyemakan semula kurikulum mengambil kira aspek-aspek 
berikut iaitu: 

a) Keberatan kandungan kurikulum; 

b) Keseimbangan antara akademik dan bukan akademik; 

c) Keperluan peperiksaan yang setara dengan kurikulum dan tidak terlalu 
ideologikal; 

d) Penekanan kepada kreativiti, nilai estetika, sains dan teknologi. 
Penyemakan ini secara umum adalah berbentuk penyesuaian dan bukannya 
rombakan kurikulum. 

Hasilnya, Sukatan Pelajaran Bahasa Arab Komunikasi Edisi Penyemakan 
dan Sukatan Pelajaran BAT Edisi Penyemakan telah diterima dalam 
Mesyuarat JKP Bilangan 2/2000. 

Secara dasarnya Kementerian Pendidikan Malaysia memperkenalkan mata 
pelajaran BAT pada tahun 1992 kepada pelajar yang berkebolehan di 
peringkat menengah atas dengan objektif agar mereka mampu menguasai 
kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. 

Apabila Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) dilaksanakan 
sepenuhnya pada tahun 1993, mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam 
Tinggi digantikan dengan tiga mata pelajaran elektif iaitu Pendidikan Syariah 
Islamiah, Pendidikan al-Quran, al-Sunah dan Tasawur Islam. 

Walau bagaimanapun, pelajar-pelajar di SMKA digalakkan mengambil mata 
pelajaran Pendidikan Syariah Islamiah dan Pendidikan al-Quran dan hadis 
sahaja. Sementara itu mata pelajaran Tasawur Islam ditawarkan khusus 
kepada pelajar bukan aliran agama dan yang bukan beragama Islam. Mata 
pelajaran Bahasa Arab dipecahkan kepada mata pelajaran Bahasa Arab 
Komunikasi dan mata pelajaran BAT. Struktur ini masih diguna pakai 
sehingga ke hari ini. 

Kementerian menetapkan dua objektif utama bagi mata pelajaran BAT iaitu 
objektif am dan objektif khas. Objektif am adalah melahirkan rasa bangga 
terhadap bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran, bahasa ilmu dan alat 
memperoleh maklumat dan kemahiran dengan memahami nas rujukan Islam 
dalam bahasa Arab dan menggunakannya secara meluas. 

Objektif khas adalah: (a) mendengar ayat al-Quran dan al-hadis, (b) 
mendengar petikan-petikan bahasa Arab (c) membiasakan penggunaan 
bahasa Arab dalam pertuturan, pembacaan dan penulisan dalam berbagai 
bidang, (d) menguasai tatabahasa Arab dan mahir menggunakannya, (e) 
mampu menghayati kesusasteraan Arab, membuat kritikan yang baik dan 
menyelami keindahan bahasa al-Quran, (f) berkeupayaan meniru gaya 
bahasa Arab yang indah dalam pertuturan dan penulisan, (g) berkemahiran 
menggunakan gaya bahasa al-Quran dan hadis, (h) membekalkan pelajar 
dengan perbendaharaan sastera Arab yang meliputi teks berbentuk umum 
dan syair dan (i) berkebolehan menggunakan kamus dan buku rujukan Arab 
dalam berbagai bidang. 

Peperiksaan mata pelajaran BAT di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 
mula diperkenalkan pada tahun 1993. Jumlah calon yang mengambil mata 
pelajaran dalam peperiksaan SPM pada tahun 1993 ialah seramai 1,131 
orang. Bilangan tersebut meningkat kepada 1,281 orang pada tahun 1994. 

Secara umumnya proses pembelajaran BAT yang diajar di tingkatan empat 
dan tingkatan lima sejak diperkenalkan pada tahun 1992 hingga kini berjalan 
lancar di semua SMKA.

Walau bagaimanapun, usaha untuk meningkatkan mutu pembelajaran 
khususnya yang berkaitan dengan pemahaman perbendaharaan kata 
bahasa Arab di kalangan pelajar perlu dilakukan segera.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment