Thursday, November 24, 2011

Segmen bahasa Arab berwajah baru di IKIM.fm




RANCANGAN belajar bahasa Arab Haiyya bil Arabiah di radio Institut 
Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) musim baru akan menemui pendengar 
mulai hari ini. Ia dikendalikan oleh penerbit dan deejay Mona Jasman dan 
tetamu rancangan, Dr. Abd. Razak Abu Chik. Rancangan ini ke udara 
selama 10 minit setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 8.30 pagi dan siaran 
ulangannya pada pukul 6.30 petang. 

Sasaran rancangan ini ialah pendengar radio IKIM.fm yang berminat 
mempelajari bahasa al-Quran tanpa mengira jantina, usia dan bangsa. 
Antara tujuan utamanya ialah para pendengar boleh berkomunikasi dalam 
bahasa Arab secara santai.

Konsep yang ingin diketengahkan cukup mudah. Setiap hari cuma satu kata 
pinjaman akan dihuraikan. Inilah yang dikatakan sehari sehelai benang, 
lama-kelamaan menjadi selembar kain. Begitu juga dalam konteks belajar 
bahasa Arab. Sehari satu kata pinjaman, lama kelamaan as-hala qamusin. 
Apa yang dimaksudkan dengan as-hala qamusin ialah sebuah kamus yang 
paling mudah difahami.

Pendengar disarankan menyediakan pen, kertas dan kaset rakaman untuk 
memudahkan proses pembelajaran. Pendengar boleh mendengar, menyalin 
dalam kertas dan mempraktikkannya di hadapan cermin. Seterusnya pelajar 
boleh mempraktikkannya bersama rakan. 

Haiya bil Arabiah kali ini menggunakan sembilan langkah mudah dalam 
menghuraikan satu kata pinjaman. Format ini memasukkan beberapa unsur 
yang sering dilupakan dalam pembelajaran biasa. Antara unsur itu ialah 
konsep zikrullah, panggilan mesra berkomunikasi, intonasi yang sesuai, 
bahasa badan yang meyakinkan dan penggunaan ayat al-Quran dan hadis.

* Frekuensi IKIM.fm

Lembah Klang, 91.5 FM

Ipoh, 102.7 FM

Kedah, Pulau Pinang, 

Perlis, Langkawi 89.0 FM

N. Sembilan 102.7 FM

Melaka 89.5 FM

Johor Bharu 106.2 FM

Kota Bharu 89.8 FM

Kuantan 89.6 FM

K. Terengganu 100.2 FM

Kuching 93.6 FM

K. Kinabalu 93.9 FM

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment