Thursday, November 24, 2011

Analisis perbandingan antara bahasa Arab dengan bahasa Melayu




KENALI BAHASA AL-QURAN

SIRI 41

Kajian-kajian yang berkaitan analisis perbandingan antara bahasa Arab 
dengan bahasa Melayu kebanyakannya adalah berkaitan dengan aspek 
fonetik, sintaksis dan semantik.

Sebagai contoh, pada 1990, Ismail Ibrahim melakukan kajian analisis 
perbandingan dari aspek sintaksis. Tumpuan kajian dalam kertas kerjanya 
bertajuk Dirasah taqabuliyyah baina al-lughatain al-Arabiyyah wa al-
Maliziyyah ala al-tarkib al-nahwiy adalah kepelbagaian ayat dalam bahasa 
Arab dan bahasa Melayu. Ia bertujuan menolong pelajar Malaysia secara 
khusus mencari sebab-sebab kesalahan yang ketara dalam pembinaan ayat 
dengan memfokuskan kepada pendekatan rawatan dan latihan yang 
berkesan. 

Sehubungan itu, Rahmat Abdullah pada 1992 dalam kajiannya bertajuk Al-
asma al-musyabbahah bi al-Afal fi al-lughatain al-Arabiyyah wa al-Maliziyyah 
merumuskan beberapa tindakan segera perlu dilakukan dalam 
proses pembelajaran bahasa Arab. 

Antaranya ialah: (a) menjalankan kajian analisis perbandingan antara 
bahasa Arab dengan bahasa Melayu dari pelbagai sudut, (b) menyediakan 
modul pembelajaran yang berasaskan analisis perbandingan antara dua 
bahasa sama ada dari sudut persamaan dan perbezaaan dan (c) 
memastikan perkataan daripada bahan pembelajaran atau buku teks perlu 
mengambil kira perkataan-perkataan yang juga terdapat dalam bahasa 
Melayu. 

Saranan yang hampir sama juga dikemukakan dalam kajian Abdul Halim 
Mohammad pada tahun 1992 yang bertajuk al-Alfaz al-Arabiyyah al-
muqtaradah fi al-lughah al-Arabiyyah wa kaifiyyah al-istifadah minha fi 
barnamij talim al-lughah al-Arabiyyah li al-Maliziyyin. Beliau mencadangkan 
agar pihak-pihak yang berkenaan memberi fokus kepada aspek persamaan 
antara perbendaharaan kata bahasa Arab dengan perbendaharaan kata 
bahasa Melayu.

Saranan-saranan tersebut menarik minat beberapa pengkaji Malaysia untuk 
mengkaji lebih terperinci dalam bidang tersebut. Antaranya ialah Mohamad 
Zin Mahmud Ismail yang membuat analisis perbandingan antara sistem nahu 
bahasa Arab dengan sistem nahu bahasa Melayu. Ia bertujuan untuk 
mencari titik persamaan dan perbezaan antara kedua-dua bahasa dengan 
harapan dapat mengenal pasti kesukaran yang dihadapi pelajar dan mencari 
jalan penyelesaiannya. 

Seterusnya pada 1998 Kamarulzaman Abd. Ghani melakukan kajian 
deskriptif tentang analisis perbandingan (dirasah wasfiyyah taqabuliyyah) 
antara bahasa Arab dengan bahasa Melayu dari sudut fonetik dan morfologi. 
Kajian ini menyenaraikan persamaan dan perbezaan antara kedua-dua 
bahasa yang telah dikenal pasti. Ia bertujuan membantu pelajar dalam 
penguasaan kemahiran menyebut perkataan. Kajian ini mendapati 
persamaan dari sudut fonetik dan morfologi antara bahasa Arab dan bahasa 
Melayu boleh dijadikan asas dalam pembelajaran bahasa Arab untuk pelajar 
yang telah menguasai bahasa Melayu. 

Pada 1998 juga, Ashinida Aladdin mengkaji kekeliruan antara al-idafah dan 
al-naat dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Agama Maahad 
Hamidiah, Kajang, Selangor. Ia bagi mencari jalan penyelesaian mengatasi 
kekeliruan antara al-idafah dan al-naat. 

Kajian beliau mendapati tiga faktor utama yang menyebabkan kekeliruan 
tersebut iaitu aspek tatabahasa (1,845 kesalahan atau 66.37%), aspek 
ortografi (519 kesalahan atau 18.67%) dan aspek leksikal (416 kesalahan 
atau 14.96%). 

Persamaan dan perbezaan

Analisis perbandingan antara bahasa Arab dengan bahasa Melayu dari 
sudut pengimbuhan kata kerja dijalankan oleh Faridah Rahman pada 1999. 
Beliau membuat analisis perbandingan dari aspek: (a) imbuhan awalan, (b) 
imbuhan sisipan, (c) imbuhan akhiran, (d) imbuhan awalan dan sisipan, (e) 
imbuhan awalan dan akhiran dan (f) imbuhan awalan, sisipan dan akhiran. 

Kajian ini mendapati pengimbuhan dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu 
mempunyai persamaan dan perbezaan pada bentuk, makna dan fungsi 
dalam keproduktifannya membentuk kata kerja transitif dan kata kerja tidak 
transitif.

Pada 1999, Siti Saudah Hassan membentangkan kajian analisis 
perbandingan bertajuk Ilmu Bayan: Satu perbandingan dengan Bahasa 
Melayu. Beliau membuat analisis perbandingan antara bahasa Arab dengan 
bahasa Melayu dari segi Balaghah (Retorika). Fokus kajian iaitu Ilmu Bayan 
yang berfungsi menyatakan kehendak dalaman individu yang menepati niat 
penutur, bersesuaian dengan suasana dan difahami penerima secara aqli 
atau logik yang menggunakan pelbagai gaya bahasa. 

Hasilnya didapati banyak persamaan Ilmu Bayan, bahasa Arab dengan 
bahasa Melayu. 

Kajian yang hampir sama dilakukan oleh Ahmad Hifni Muhammad Ali pada 
1999. Analisis perbandingan yang dijalankan adalah dari segi Balaghah 
(Retorika) dengan memfokuskan kepada cabangnya yang lain iaitu Ilmu 
Badi. Kajian beliau mendapati ada banyak unsur persamaan dalam Ilmu Badi 
seperti jinas, saja, tibaq dan muqabalah dalam kedua-dua bahasa. 

Walau bagaimanapun kita mendapati belum ada lagi kajian terperinci 
bagaimana analisis perbandingan antara bahasa Arab dengan bahasa 
Melayu ini dapat dimanfaatkan dalam proses pembelajaran terutamanya 
dalam meningkatkan pemahaman perbendaharaan kata. 

Sehubungan itu langkah-langkah berikut perlu dilakukan iaitu: (a) 
membangunkan satu pendekatan yang memanfaatkan secara maksimum 
titik-titik persamaan antara bahasa Arab dengan bahasa Melayu, (b) 
membina satu modul berdasarkan pendekatan tersebut dan (c) menguji 
keberkesanan pendekatan tersebut terhadap pencapaian pelajar dalam 
pemahaman perbendaharaan kata bahasa Arab.

Sebagai rumusannya, pendekatan pembelajaran alternatif yang 
memfokuskan penggunaan kata pinjaman bahasa Melayu yang diambil 
daripada bahasa Arab dalam pembelajaran bahasa Arab adalah 
berdasarkan analisis perbandingan antara dua bahasa iaitu antara bahasa 
ibunda (bahasa Melayu) dengan bahasa sasaran (bahasa Arab).

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment