Thursday, November 24, 2011

Pendidikan bahasa Arab, al-Quran perlu dipertingkatkan

PELBAGAI bentuk program, aktiviti dan agenda memperkasa al-Quran dan
     bahasa Arab dianjurkan kerajaan terus dilaksanakan menjadikannya cukup
     penting serta mengujakan dalam usaha meningkatkan kefahaman masyarakat
     terhadap ilmu al-Quran.
       Perkembangan itu sangat memberangsangkan dan adalah momentum positif
     kepada pembinaan negara serta bangsa. Ia juga petanda baik dan kesan
     tarikan al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab kepada masyarakat yang
     sentiasa menjadikan kitab unggul itu rujukan serta panduan hidup.
       Penganjuran Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang sudah
     masuk kali ke-51 umpamanya membuktikan komitmen tinggi berterusan dan
     agenda besar kerajaan ke arah mendaulat serta menjadikan al-Quran serta
     bahasa Arab sebagai aset terpenting umat Islam.
       Penganjuran Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa pula adalah
     sebahagian daripada proses transformasi negara dan bangsa pada peringkat
     global kerana sambutan diterima daripada masyarakat dunia Islam memang
     membanggakan. 
       Melihat kepada pengaruh, kepentingan dan keakraban bahasa Arab dan
     al-Quran kepada ummah hari ini dan akan datang, maka usaha serta
     perancangan sistematik perlu disediakan. Ini adalah kerana al-Quran
     adalah gedung segala ilmu dan landasan menuju kemajuan.
       Oleh demikian, pendidikan formal dan tidak formal berkenaan bahasa Arab
     dan al-Quran seperti mana berlaku hari ini dan sebelum ini perlulah
     dipertingkatkan dan diberi nafas baru seiring dengan kehendak masyarakat
     di samping perkembangan semasa terutama di sektor pendidikan.
       Pengenalan program perdana pemantapan dan pengukuhan tulisan Jawi,
     al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (J-Qaf) di sekolah rendah serta
     penerbitan rancangan realiti Akademi al-Quran (AQ) serta beberapa program
     lagi adalah usaha bijak yang sangat mengagumkan.
       Usaha itu sudah mencapai objektifnya biarpun terlalu baru diperkenalkan
     di negara kita di samping menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan
     menjadikan pendidikan Islam di Malaysia bertaraf dunia.
       Program J-Qaf yang berusia hampir empat tahun sudah berjaya melahirkan
     produk modal insan serba boleh dan mahir dalam empat perkara asas iaitu
     tulisan jawi, al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain biarpun masih berada di
     sekolah rendah lagi.
       Begitu juga model Kelas Pemulihan Jawi, Enam Bulan Khatam al-Quran,
     Tasmik Khatam al-Quran, Perluasan Pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi dan
     Bestari Solat. Menariknya ialah bagaimanakah pencapaian mereka apabila
     generasi al-Quran dan bahasa Arab ini melangkah masuk ke sekolah menengah
     dan seterusnya ke peringkat lebih tinggi.
       Sudah tentu cita-cita dan impian ibu bapa untuk melihat zuriat mereka
     dapat menguasai empat nilai tambah itu dapat direalisasikan melalui
     program mega J-Qaf ini. Jika dulu ibu bapa terpaksa menghantar anak ke
     sekolah aliran agama yang mungkin agak berjauhan dengan kos yang tinggi,
     namun dengan kemudahan dan peluang yang ada ini membolehkan kanak-kanak
     hari ini memperolehnya secara percuma. 
       Di samping itu J-Qaf adalah program berlandaskan keilmuan iaitu
     membasmi buta huruf dan merungkaikan umat daripada belenggu kejahilan
     serta diharapkan dapat merealisasikan misi nasional.
       Pada masa kita dihidangkan pelbagai rancangan dan siri realiti di
     televisyen, kehadiran AQ sebagai rancangan realiti alternatif bagaikan
     orang mengantuk disorongkan bantal.
       Lebih menarik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama
     Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan program Tilawah Interaktif
     yang ke udara secara langsung selama satu jam mulai pukul 11.30 malam,
     setiap Jumaat dan Sabtu. 
       Program yang pertama kali diperkenalkan itu menjadi fenomena baru dalam
     dunia penyiaran larut malam dengan kira-kira 70 peratus pemanggil pada
     rancangan itu adalah remaja dan selebihnya golongan dewasa termasuklah
     golongan warga emas. 
       Program dan rancangan kreatif serta menarik seperti ini dilihat mampu
     menjadikan pendidikan dan penghayatan al-Quran dapat dipraktik serta
     dimanfaatkan secara lebih praktikal oleh semua pihak. Ia juga memberi
     peluang kepada mereka yang tidak sempat mempelajari al-Quran.
       Tambahan pula, dalam keadaan dunia serba mencabar dan tanpa sempadan
     ini, kita sepatutnya perlu memperbanyak dan mempertingkatkan lagi produk
     realiti dan aktiviti teras bagi memperkasakan bahasa Arab dan al-Quran.
     Ini adalah kerana al-Quran yang sangat komprehensif perlu dibaca,
     difahami, dihayati dan diterjemahkan di dalam realiti kehidupan seharian.
                                   (END) Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment