Thursday, November 24, 2011

Menguasai bahasa Arab bererti menguasai matematik




KENALI BAHASA AL-QURAN SIRI 94

Pameran Kegemilangan Tamadun Islam: Sains Islam Mendahului Zaman 
kini berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama 
seminggu bermula 8 Januari hingga 14 Januari 2007. Kemudian, pameran 
itu akan disambung di Pusat Sains Negara (PSN), Kuala Lumpur pada 23 
Januari hingga 31 Mac 2007.

Antara objektif pameran ialah meningkatkan kesedaran masyarakat 
mengenai kepentingan sains, matematik dan teknologi di kalangan 
masyarakat Malaysia. Pelbagai kategori bahan-bahan sejarah yang berunsur 
inovasi zaman dahulu dipamerkan. Antara bidang yang dipamerkan ialah 
sains, astronomi, teknologi dan rekacipta, seni arkitek, perubatan dan 
matematik.

Kebanyakan inovasi tersebut direka oleh saintis yang memahami al-Quran 
dan boleh mengaplikasi ilmu al-Quran dalam hasil reka cipta mereka. 
Sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa ilmu bahasa Arab yang mereka 
peroleh dijadikan sebagai kunci meneroka ilmu al-Quran yang mengandungi 
pelbagai panduan dalam menjalani kesejahteraan dalam mengharungi 
berbagai cabaran.

Dalam hal ini, seorang Yahudi pernah mengemukakan satu soalan 
matematik kepada salah seorang ilmuwan Islam. Soalan itu dikemukakan 
dengan tujuan untuk menguji sejauh mana pengetahuan seorang sahabat 
yang bergantung kepada ilmu wahyu. Soalan tersebut ialah :

"Apakah angka bulat terkecil yang boleh membahagi angka 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 
8 dan 9 tanpa meninggalkan sebarang baki?" 

Ilmuwan Islam tersebut dengan hanya satu langkah mudah menjawab 
soalan tersebut dengan betul sedangkan pakar-pakar matematik di zaman 
itu menggunakan tujuh langkah untuk menyelesaikannya. Pendekatan yang 
digunakan adalah pendekatan secara fitrah. Jawapan yang dikemukakan 
bukan sahaja boleh membahagi angka 1 hingga 9, malah boleh juga 
membahagi angka 10.

Dalam hal ini, marilah kita membuat kajian terperinci bagaimana seorang 
ilmuwan Islam yang menggunakan al-Quran sebagai rujukan utama dalam 
meneroka ilmu matematik. Perbandingan seseorang ilmuan yang boleh 
merujuk al-Quran dengan seseorang yang tidak boleh merujuk al-Quran 
adalah umpama langit dengan bumi. Terlalu jauh perbezaan antara 
keduanya.

Pertama, perhatikan rahsia angka tujuh. Dalam Bahasa Inggeris angka tujuh 
ialah seven dan minggu ialah week. Apakah persamaan antara seven dan 
week? Tiada persamaan langsung. Begitu juga antara perkataan tujuh dan 
minggu. Memang tiada perkaitan antara keduanya.

Dalam bahasa Arab, angka tujuh ialah sab-'a-tun yang berasal daripada 
gabungan (sin-ba-ain) dan minggu us-bu-'un yang berasal daripada 
gabungan (sin ba-ain). Persamaan antara keduanya cukup jelas iaiatu 
keduanya berasal daripada gabungan huruf yang sama iaitu (sin-ba-ain). 
Perkaitan yang jelas ini memudahkan kita mempelajari matematik iaitu dalam 
seminggu ada tujuh hari kerana gabungan (sin-ba-ain) membawa makna 7 
dan minggu.

Kedua, perhatikan rahsia angka tiga puluh. Dalam tahun masihi, bilangan 
hari dalam sebulan ialah sama ada 28, 29, 30 atau 31. Bagi tahun hijrah pula 
bilangan hari dalam sebulan ialah sama ada 29 atau 30. Secara 
puratanya bilangan hari dalam sebulan ialah 30 hari.

Tahun Masihi dikira berasaskan peredaran matahari, manakala Tahun Hijrah 
pula dikira berasaskan peredaran bulan. Perkataan matahari disebut 
sebanyak 33 kali dalam al-Quran berbanding perkataan bulan disebut 27 kali 
dalam al-Quran. Jika dijumlahkan keduanya disebut sebanyak 60 kali. Purata 
bagi keduanya ialah 30 kali.

Asas

Ketiga, perhatikan pula rahsia angka dua belas. Dalam al-Quran perkataan 
shahrun yang bererti bulan disebut sebanyak 12 kali. Antaranya ialah ayat 
yang sering dibaca ketika bulan Ramadan iaitu dalam surah al-Qadr yang 
bermaksud: "Lailatul qadar lebih baik daripada seribu bulan"

Seterusnya perhatikan pula rahsia angka 2520 yang boleh membahagi 
angka 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8 dan 9 tanpa meninggalkan sebarang baki. Kalau 
angka 2520 dikaitkan dengan hari, bererti 2,520 hari. Ini bermakna hari yang 
ke 2,520 barulah kita boleh membahagi semua angka 1 hingga 10. Jumlah 
2,520 hari adalah bersamaan dengan tujuh tahun. Jarak masa tujuh tahun 
memang jarak masa yang sering dijadikan asas dalam berbagai bidang 
sama ada ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya. 

Dalam sektor ekonomi umpamanya, kebiasaan keadaan ekonomi sesebuah 
negara terdapat tujuh tahun naik dan tujuh tahun yang merudum. Hal ini 
berlaku sejak sekian lama iaitu semenjak Nabi Yusuf hinggalah sekarang. 
Jika kita renungkan sejarah negara kita pun, senario tujuh tahun naik dan 
tujuh tahun merudum ini telah berlaku sejak kita menyambut kemerdekaan 
lagi.

Sebagai contohnya, tujuh tahun maju bermula pada 1957 hinggalah 
penubuhan Malaysia pada 1963. Bermula 1964 hingga 1971 pula dianggap 
sebagai merudum dengan peristiwa keluarnya Singapura pada 1965, 
konfrantasi bersama Indonesia pada 1967, rusuhan kaum pada 1969 dan 
banjir besar 1971.

Begitu juga keadaannya pada tahun 1990 hingga 1997 bolehlah dianggap 
sebagai tujuh tahun gemilang ekonomi Malaysia. Bagaimanapun tahun 1997 
hingga 2004 bolehlah dianggap tahun merudum dengan peristiwa ancaman 
jerebu, krisis politik pada 1998, peristiwa 11 September 2001 dan 
malapetaka tsunami pada akhir 2004.

Bagaimanapun diharapkan tahun 2005 hingga 2012 adalah tahun gemilang 
bagi Malaysia. Sebab itu tahun 2007 yang berada dalam tempoh tujuh tahun 
gemilang dijadikan tahun Melawat Malaysia. Seterusnya dijangka tahun 2012 
hingga 2019 adalah tahun merudum semula. Tahun 2020 hingga 2027 pula 
adalah tahun kemajuan. Jadi Malaysia meletakkan sasaran 2020 sebagai 
negara maju adalah satu perancangan yang sangat sesuai dengan izin Allah.

Dalam sektor pendidikan umpamanya, hubungan antara ibu bapa dengan 
anak adalah mengikut skala umur 7 tahun. Ibu bapa hendaklah bermain 
dengan anaknya ketika 7 tahun pertama. Ibu bapa sepatutnya bertindak 
sebagai pembimbing anaknya ketika 7 tahun kedua iaitu (umur 8 tahun 
hingga 14 tahun). Seterusnya, ibu bapa disarankan bertindak sebagai kawan 
ketika 7 tahun ketiga (umur 15 hingga 21 tahun).

Sehubungan itu, belajar bahasa Arab adalah langkah pertama untuk 
menguasai Bahasa Arab. Jika mampu menguasai Bahasa Arab seseorang 
boleh memahami al-Quran dan al-hadis yang merupakan panduan hidup 
dengan mudah. Seterusnya ini memudahkan untuk meneroka pelbagai ilmu 
yang terkandung dalam al-Quran. Antaranya ialah matematik. Ini bermakna, 
jika anda menguasai Bahasa Arab bererti anda menguasai matematik.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment