Thursday, November 24, 2011

Bahasa Arab Mudah

Judul: Bahasa Arab Mudah
       Penulis: Noorli Mohd Noor
       Penerbit: AE Books Enterprise (09-7479457)
       Harga: RM19.90 setiap satu
       MEMPELAJARI bahasa Arab dengan mudah menjadi hasrat semua memandangkan
     banyak kelebihan diperoleh apabila dapat menguasai bahasa al-Quran itu
     kerana selain boleh bertutur, dapat memahami isi kitab suci serta
     menghayati maknanya dengan berkesan.
       Sebagai alternatif mempelajari bahasa Arab dengan mudah, Pengarah
     Urusan AE Books Enterprise yang juga penulis buku, Noorli Mohd Noor,
     menghasilkan buku mengajar bahasa Arab melalui sistem yang dikembangkan
     sendiri sesuai untuk mereka yang tidak mempunyai asas bahasa Arab.
       Buku satu dan dua daripada enam buku yang dihasilkan memperkenalkan
     pembaca kepada kata nama dalam bahasa Arab yang berbeza kerana
     dibahagikan kepada kata nama untuk lelaki serta kata nama untuk perempuan.
       Buku tiga dan seterusnya mendedahkan pembaca cara membuat ayat dalam
     bahasa Arab menggunakan kaedah asas yang mudah. Penekanan diberi kepada
     cara membuat ayat bagi membolehkan pembaca untuk berinteraksi dengan
     cepat.
       Noorli berkata, Buku Bahasa Arab Mudah tidak menumpukan kepada tata
     bahasa terus sebaliknya pendekatan yang digunakan membolehkan pembaca
     memahami sifat kata nama sama ada sifat nama muzzakar (lelaki) atau
     muannaz (perempuan) yang ditunjukkan melalui perkataan atau objek.
       Katanya, buku yang dihasilkan daripada kajian, pemerhatian dan
     pengalaman itu juga bertujuan melenyapkan persepsi bahawa bahasa Arab
     susah untuk dipelajari kerana hakikatnya adalah sebaliknya jika tahu
     pendekatan yang tepat.
       "Saya sedih dan terkilan dengan tahap kefahaman pelajar sekolah rendah
     serta menengah yang mempelajari bahasa Arab bertahun-tahun lamanya tetapi
     masih tidak dapat membuat ayat mudah dan lengkap dalam bahasa Arab.
       "Berdasarkan kajian, saya cuba menghasilkan koleksi buku Bahasa Arab
     Mudah bagi membantu pelajar mempelajari bahasa Arab dengan kaedah betul,
     mudah dan boleh melakukan ulangkaji bagi menguji tahap pemahaman mereka,"
     katanya.
       Beliau berkata, mereka yang menguasai bahasa Arab akan merasai
     nikmatnya terutama dalam memahami makna ayat al-Quran selain membolehkan
     membaca buku ditulis dalam bahasa Arab walaupun tanpa baris.
       Koleksi enam buku Bahasa Arab Mudah yang dijual pada harga RM19.90
     setiap satu itu dilengkapi gambar berwarna yang disertai bersama
     perbendaharaan kata untuk mudah diingat tanpa perlu menghafal.
       Ayat dalam buku ini ditulis dengan tiga warna yang mengasingkan
     pembelajaran muzzakar dan muannaz serta disediakan latihan selepas setiap
     pelajaran untuk ulang kaji bersama jawapan lengkap yang sangat membantu
     dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab yang berkesan.
       Buku Bahasa Arab Mudah juga didatangkan bersama Kamus Bergambar Bahasa
     Arab mempunyai 248 perkataan yang berbeza dengan kamus biasa lain kerana
     menampilkan contoh ayat daripada kebanyakan perbendaharaan kata buku
     bersiri Bahasa Arab Mudah.
       Noorli berkata, berbekalkan buku yang dihasilkan itu beliau turut
     menerima jemputan untuk ceramah dan seminar kepada guru bahasa Arab j-Qaf
     dan KAFA di beberapa negeri oleh Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat
     Pelajaran Daerah dan Jabatan Agama Islam Negeri.
                                   (END) Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment