Thursday, November 24, 2011

Pendekatan pembelajaran perbendaharaan kata bahasa Arab




KENALI BAHASA AL-QURAN

SIRI 24

Pakar-pakar pendidikan bahasa telah menggariskan beberapa asas penting 
dalam pembelajaran perbendaharaan kata baru bahasa asing. Kita telah 
membicarakannya pada minggu lepas.

Pada minggu ini kita lihat pula apakah pandangan beberapa orang pakar 
dalam bidang pendidikan bahasa Arab. Secara umumnya pakar pendidikan 
bahasa Arab telah meletakkan beberapa asas penting dalam pembelajaran 
perbendaharaan kata bahasa Arab sebagai bahasa asing. 

Al-Sini meletakkan lima perkara penting dalam pembelajaran 
perbendaharaan kata yang perlu diberi perhatian iaitu: 

a. Makna-makna lain bagi sesuatu perkataan;

b. Ruang lingkup makna sesuatu perkataan;

c. Memastikan sama ada sesuatu perkataan itu untuk difahami atau 
digunakan;

d. Tahap kesukaran sesuatu perkataan;

e. Kata akar bagi sesuatu perkataan. 

Seterusnya Taemah Ahmad Rushdi membincangkan secara panjang lebar 
tentang betapa pentingnya kajian tentang pembelajaran perbendaharaan 
kata bahasa Arab dijalankan. Beliau menyarankan agar penulisan buku teks 
bahasa Arab perlu memberi perhatian sewajarnya terhadap penggunaan 
perkataan dalam buku teks tersebut. 

Sehubungan itu beliau menggariskan enam asas penting dalam penulisan 
buku teks bahasa Arab iaitu: 

a. Bilangan perbendaharaan kata secara umum yang sesuai;

b. Bilangan perbendaharaan kata baru bagi setiap pelajaran yang konsisten; 

c. Persembahan ruangan perbendaharaan kata baru yang menarik dan 
sesuai; 

d. Mengadakan latih tubi bagi setiap perbendaharaan kata baru; dan 

e. Mengadakan ruang khusus bagi perbendaharaan kata seerti dan 
berlawanan. 

Beliau juga mengklasifikasikan perbendaharaan kata kepada tiga jenis iaitu 
perbendaharaan kata konkrit dan abstrak; perbendaharaan kata aktif dan 
pasif; perbendaharaan kata mengikut konteks; dan perbendaharaan kata 
mengikut penggunaan.

Dalam hal ini, seorang pakar bahasa Arab tempatan, Abd. Rahman Chik 
telah membuat kajian khusus berkaitan pembelajaran perbendaharaan kata 
berdasarkan keutamaan. Beliau telah menggariskan dua kriteria penting 
dalam pemilihan perbendaharaan kata bahasa Arab iaitu:

a. Kriteria bahasa; 

b. Kriteria bukan bahasa. 

Bagi kriteria bahasa, beliau membahagikan kepada dua iaitu: 

* Sejauh mana luasnya penggunaan sesuatu perbendaharaan kata. 

* Sejauh mana sesuatu perbendaharaan kata itu dapat diklasifikasikan 
kepada jenis-jenisnya. 

Bagi kriteria bukan bahasa, beliau membahagikan kepada empat iaitu: 

a. Sejauh mana sesuatu perbendaharaan kata itu dapat digunakan apabila 
kita memerlukan;

b. Sejauh mana sesuatu perbendaharaan kata itu dapat diterima pakai dalam 
proses pembelajaran; 

c. Sejauh mana sesuatu perbendaharaan kata itu dapat diterima pakai dalam 
proses pembelajaran; dan

d. Sejauh mana kepentingan sesuatu perbendaharaan kata itu dalam 
kehidupan.

Sehubungan itu Al-Sini dan rakan-rakannya menyenaraikan sembilan teknik 
umum dalam pembelajaran bahasa Arab sebagai bahasa asing bagi guru-
guru bahasa Arab untuk dilaksanakan dalam proses pembelajaran. 

Sembilan teknik tersebut adalah: 

a. Penerangan tentang perbendaharaan kata dibuat berdasarkan maknanya 
dalam struktur ayat; 

b. Menerangkan kata akar sesuatu perkataan; 

c. Lakonan yang berkesan dapat menerangkan makna sesuatu perkataan; 

d. Isyarat terhadap sesuatu benda atau menyentuhnya; 

e. Penggunaan gambar atau lukisan yang membawa maksud kepada 
sesuatu perkataan.

f. Penggunaan urutan yang mudah difahami seperti angka;

g. Memberi definisi tentang sesuatu perkataan;

h. Menyebut perkataan seerti atau berlawanan; dan 

i. Menterjemahkan sesuatu perkataan dalam bahasa asing ke dalam bahasa 
ibunda.

Dalam konteks pembelajaran perbendaharaan kata bahasa Arab sebagai 
bahasa asing, pelajar adalah bebas untuk memilih sebarang teknik yang 
difikirkan sesuai. 

Walau bagaimanapun, para pelajar adalah disarankan menggunakan 
kelapan-lapan teknik di atas mengikut kesesuaian dan teknik 
menterjemahkan perkataan ke dalam bahasa ibunda adalah pilihan terakhir 
setelah kelapan-lapan teknik tersebut tidak berkesan.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment