Thursday, November 24, 2011

Kuasai bahasa Arab bantu kecemerlangan pelajar Muslim




PELAJAR hari ini adalah pemimpin masa depan yang akan membawa panji
negara menghadapi era globalisasi. Justeru, setiap pelajar mesti
cemerlang di dalam segala bidang yang diceburi.
  Kecemerlangan bukanlah suatu pilihan kepada orang Islam. Ia adalah
kewajipan dan setiap pelajar Islam tidak mempunyai pilihan, selain
menjadi cemerlang kerana kecemerlangan itu adalah tuntutan di dalam Islam.
  Di dalam mengharungi era globalisasi, umat Islam tidak perlu berasa
rendah diri berdepan dengan kegawatan hidup hari ini. Umat Islam
sepatutnya berbangga dengan agamanya yang meletakkan mereka di tempat
terbaik.
  Umat Islam berjaya membina kecemerlangan kerana memulakan langkah dari
dalam iaitu dari hati. Dengan kekuatan takwa, umat Islam dapat merubah
segalanya. 
  Imam al-Ghazali pernah berkata: "Hati adalah raja bagi manusia. Sebagai
raja, hati mempunyai tentera yang mampu melaksanakan kehendaknya. Tentera
ini dikenali sebagai tentera zahir dan batin. Tentera zahir ialah segala
anggota yang dikurniakan kepada manusia, manakala tentera batin ialah
nafsu syahwat dan ammarah di samping ilmu hikmah dan kebijaksanaan."
  Dalam Islam, kualiti hakiki hanya tercapai apabila keredaan Allah
dijadikan matlamat terakhir setiap usaha dan perjuangan. Kualiti inilah
yang perlu ada di dalam diri setiap pelajar Islam.
  Pelbagai cabaran yang menanti dan perlu dihadapi dengan berani dan
penuh persediaan. Begitu juga dengan pelajar Islam yang tidak akan sunyi
daripada cabaran
  Antara cabaran itu ialah penguasaan pelbagai bahasa. Bahasa Melayu
walaupun diajar di dalam kebanyakan mata pelajaran di sekolah. Kita perlu
sedar bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa teknologi global masa kini.
  Cabaran buat pelajar Islam dalam menghadapi era globalisasi ini untuk
menyediakan diri mereka dengan keupayaan bahasa Melayu dan Inggeris yang
baik. 
  Dalam perkembangan pendidikan di Malaysia terkini, khususnya
pelaksanaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sains dan
teknologi, kerelevanan dan kelestarian bahasa Melayu sebagai wadah
pengungkapan ilmu mestilah dilihat di dalam perspektif yang baru.
Penggunaan bahasa Inggeris juga tidak boleh dipinggirkan bagi menyediakan
diri ke arah persaingan antarabangsa. 
  Kita tidak harus lupa sumber ilmu yang sebenarnya adalah di dalam
bahasa Arab. Tanpa bahasa Arab tentulah jati diri Islam dalam diri
pelajar amat sukar untuk digarap kerana ada pelbagai ilmu yang masih
belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang Islam semata-mata kerana mereka
tidak fasih berbahasa Arab.
  Untuk cemerlang, pelajar Islam perlu menguasai bahasa Arab dengan baik.
Mereka akan lebih mempunyai kelebihan jika boleh berkomunikasi di dalam
bahasa lain seperti bahasa Mandarin, Perancis dan Jepun.
  Allah adalah penilai kualiti amalan dan kejayaan manusia yang paling
akhir. Piawaian yang Allah tetapkan adalah tinggi sesuai dengan kehalusan
dan ketinggian ilmu-Nya. Asas kualiti Islam adalah kebersihan hati. Titik
tolak kebersihan hati adalah ikhlas dan jujur kerana Allah.
  Kepercayaan kepada Allah dan rasulNya menjadikan umat Islam luar biasa
kecekalan dan kecemerlangannya. Kepercayaan ini menjadikan umat Islam
pada zaman Rasulullah SAW pada awal kebangkitan Islam mampu mengharungi
penderitaan ketika diboikot ekonomi selama tiga tahun di Makkah. 
  Zaman ini mendesak kita menjadi seorang yang berani memberi pendapat.
Mereka perlu berani ke depan dan mempunyai kemahiran tertentu. Pelajar
hari ini perlu menekankan aspek berani bercakap, pandai menyelesaikan
masalah, kemahiran berkomunikasi dan sentiasa ke hadapan dalam setiap
aspek. 
  Kecemerlangan yang dianjurkan Islam adalah pada cara hidup yang
bersandarkan ilmu falsafah yang menghasilkan sikap saling hormat
menghormati dan toleransi. 
  Dengan gelombang globalisasi yang melanda seluruh dunia kini, pelajar
menjadi lebih tercabar untuk mengikuti setiap perkembangan maklumat yang
terlalu pantas. 
  Pembinaan negara adalah perjuangan berterusan. Kita sebagai warga
merdeka mempunyai tanggungjawab moral untuk berganding bahu menangani
masalah nasional, khususnya dan membantu menjayakan semua usaha
pembangunan negara amnya. 
  Artikel ini dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
  Pandangan dan persoalan kemukakan kepada PGSM pada admin@pgsm.com.my,
faksimile 03-80259495 atau layari www.pgsm.com.my
  Sebahagian artikel ini adalah petikan ucapan Presiden PGSM, Zainul
Rijal Abu Bakar yang disampaikan sempena Hari Anugerah Kecemerlangan
Pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah, Pahang pada 5 Mei lalu.
  FAKTA
  Pelajar Islam mestilah bertekad untuk sentiasa:
  * Menghadapi pelbagai cabaran yang sebenarnya peluang untuk berbakti
kepada masyarakat dan menambah pahala dan jariah
  * Meningkatkan budaya kecemerlangan
  * Memastikan pelajar Islam adalah pilihan masyarakat
  * Maju berpandukan hala tuju yang jelas dan terancang
  * Memantapkan akidah dan asas agama yang menjadi prasyarat kepada
kecemerlangan diri
  * Perlu menekankan aspek berani bercakap, pandai menyelesaikan masalah,
kemahiran berkomunikasi dan sentiasa ke hadapan dalam setiap aspek.
                              (Source by : Berita Harian)

No comments:

Post a Comment