Thursday, November 24, 2011

Pemilihan nama anak tidak semesti daripada bahasa Arab





NAMA adalah identiti dan nilai diri. Pengenalan awal diri seseorang
bergantung kepada nama. Bahkan, harta pertama yang diberikan ayah atau
ibu kepada anaknya adalah nama. 
  Islam menetapkan ibu bapa menamakan anak dengan nama yang bermaksud
baik. Sifat manusia sukakan yang indah dan baik. Islam itu indah. Allah
sukakan yang indah. 
  Justeru, pemilihan nama anak tidak harus dipandang ringan. Nama anak
yang didaftarkan tidak boleh ditukar, melainkan atas keperluan tertentu. 
  Sebagai Muslim kita percaya kepada hari kebangkitan atau hari akhirat.
Sesungguhnya nama diberikan kepada anak di dunia kekal digunakan di
akhirat. Setiap anak Adam dibangkitkan dan dipanggil dengan nama seperti
nama di dunia. 
  Sabda Rasulullah bermaksud: "Kamu sekalian pada hari kiamat akan
dipanggil dengan nama kamu dan nama bapa kamu, maka hendaklah kamu
memperelokkan nama kamu." (Hadis riwayat Abu Daud).
  Pemilihan nama anak secara tidak langsung melambangkan identiti ibu
bapa. Ibu bapa bertanggungjawab memilih nama anak mereka dengan penuh
teliti dan berhemah. 
  Nama yang baik adalah doa, harapan ibu bapa kepada anak mereka. Dengan
memberikan nama yang baik, mencerminkan niat suci ibu bapa supaya anaknya
menjadi manusia yang baik seperti tersirat di sebalik namanya.
  Sebaliknya, nama yang bermaksud buruk diumpamakan seperti sumpahan.
Nama buruk mencemarkan taraf kedudukan manusia sebagai makhluk paling
mulia di muka bumi.
  Setiap ibu bapa ingin melihat permata hati mereka membesar dan hidup
dalam baik, berjaya dan selamat. Permulaan hasrat itu perlu dilakukan
dengan memilih nama yang baik. Nama dapat memberi pengaruh terhadap orang
yang diberi nama. 
  Memilih nama baik untuk diberikan kepada anak adalah kewajipan ibu
bapa. Rasulullah pernah ditanya oleh seorang sahabat mengenai
kewajipannya sebagai ayah. 
  Lalu Rasulullah menjawab dengan sabda bermaksud: "Hendaklah kamu
memperelokkan namanya, didik dan asuhlah dia serta letakkan dia di tempat
sebaik-baiknya." (Hadis riwayat at-Tausi).
  Proses memberi nama anak perlu dilakukan sebaik mungkin mengikut garis
panduan yang diberikan Islam. Jangan pakai ikut suka hati tiru pengaruh
Barat. Makin ramai tertarik dengan nama berbau kebaratan yang didakwa
lebih moden dan sedap itu. 
  Pada zaman Rasulullah, ramai sahabat mempunyai nama tidak elok
maknanya. Nama buruk itu dipilih ibu bapa ketika zaman jahiliah lagi yang
tidak peduli soal pemilihan nama untuk anak. Justeru, Rasulullah
mencadangkan nama baru untuk menggantikannya. 
  Diceritakan oleh Aisyah seperti diriwayatkan Tarmizi, bahawa Rasulullah
biasa mengubah nama yang tidak baik kepada nama yang baik. Malah nama
baik juga diberikan Rasulullah kepada nama tempat atau bandar. 
  Rasulullah pernah menukarkan nama anak perempuan Umar al-Khattab
daripada Ashiyah yang bermaksud penderhaka kepada Jamilah bererti cantik. 
  Diriwayatkan juga pernah Rasulullah menukar seorang bernama Hazan (duka
cita) kepada nama Sahel yang bermaksud mudah. Namun pemuda itu tidak mahu
menukarkan nama diberikan bapanya itu. Akibatnya, dia sendiri mengakui
perasaan duka cita tidak pernah lekang daripada dirinya.
  Ketika Rasulullah tiba di Madinah, nama tempat itu ialah Yathrib yang
bermakna `keburukan'. Lantas, Rasulullah menyatakan kepada penduduknya
agar ditukar kepada nama baru iaitu Madinah yang membawa makna `yang
indah'.
  Jika nama tempat tidak boleh di nama dengan nama buruk, tentulah lebih
lagi kepada manusia. Maruah manusia banyak bergantung kepada namanya.
Penggunaan nama baik lambang betapa Islam amat mementingkan kepada imej
baik. Nama baik diharapkan memberikan kesan jiwa atau rohani kepada
pemilik nama untuk berkelakuan baik seperti namanya. 
  Pendapat lain mengatakan nama bayi perlu diberikan pada hari ketujuh
selepas kelahirannya. Hujah ini berdasarkan kepada hadis yang menyebut
setiap anak bergantung kepada akikahnya, disembelihkan untuknya pada hari
ketujuh kelahirannya dan dinamakan serta dicukur kepalanya. 
  Pemilihan nama anak mestilah indah disebut dan membawa makna yang baik.
Maksud indah ialah senang disebut, mudah diingati dan ringkas. Nama itu
hendaklah melambangkan nama yang biasa digunakan orang Islam. 
  Nama yang biasa digunakan orang kafir sebagai melambangkan agama mereka
hendaklah dielak. Sesetengah ulama mengharamkan penggunaan nama yang
jelas melambangkan penganut agama lain. 
  Namun, nama orang Islam tidak semestinya dalam bahasa Arab seperti yang
difahami sesetengah orang. Bagaimanapun, lebih elok jika nama yang
dipilih untuk anak dirujuk maknanya mengikut bahasa Arab. Ia penting bagi
mengelak makna buruk dalam bahasa Arab. 
  Didapati banyak nama Melayu diterjemahkan ke dalam bahasa Arab
mempunyai makna buruk dan mengaibkan, biarpun amat baik bunyinya dalam
sebutan Melayu. Nama binatang, perbuatan buruk, maksud buruk dan nama
berhala banyak dinamakan kepada anak tanpa diketahui maksudnya oleh ibu
bapa ketika menamakan anak mereka. 
  Nama dalam bahasa Arab hendaklah dieja dan disebut betul-betul.
Tambahan atau tertinggal satu huruf membawa makna berbeza. Justeru, elok
jika dirujuk dulu kepada pakar bahasa Arab bagi mendapatkan ejaan dan
sebutan tepat nama untuk mengelak salah makna. 
  Sekarang ini ramai ibu bapa yang sengaja menambah huruf kepada ejaan
nama anak supaya kelihatan agak pelik dan panjang. Penambahan huruf q, e,
y, f dan z banyak dilakukan kepada nama kerana dikatakan menarik. Banyak
masalah timbul akibatnya. Pemilihan nama anak juga perlu menunjukkan
perbezaan jantina. Pemilihan nama anak lelaki dengan nama melambangkan
anak perempuan adalah tindakan mengaibkan anak. Anak akan berdepan dengan
masalah pengenalan identiti jantina. 
  Biarpun, dalam masyarakat Islam di Malaysia penggunaan bin dan binti
untuk membezakan lelaki dan perempuan, penggunaannya hanya digunakan
dalam urusan rasmi atau ketika nama ditulis. Sedangkan ketika panggilan
harian tidak disebut bin atau binti. 
  Islam menegah sama sekali ibu bapa melakukan sesuatu yang mengaibkan
anak. Hanya ibu bapa tidak senonoh memilih nama tidak baik untuk anaknya.
Nama Allah berjumlah 99 juga perlu dihindari daripada diberikan kepada
anak. Nama itu hanya tertentu untuk Allah. Dijelaskan bahawa Rasulullah
pernah menukarkan nama seorang sahabat yang digelarkan Abul Hakam kepada
Abu Syuraih. Nama Abul Hakam seperti nama Allah al-Hakam yang bermaksud
terserah kepada-Nya segala hukum.
  Nama yang boleh menimbulkan rasa sombong juga ditegah diberikan kepada
anak. Ini berdasarkan kepada kisah Rasulullah yang bertemu seorang wanita
bernama `Barrah' bererti `Yang selalu berbuat baik'. Lantas Rasulullah
memanggil nama wanita itu Juwairiyah. 
  Ibu bapa juga dinasihatkan mengelak daripada menggunakan nama panjang
yang mengandungi gabungan beberapa nama. Ia biasanya berlaku apabila ibu
dan bapa tidak sepakat memilih nama terbaik. 
  Ibu dan bapa perlu bertolak ansur untuk menentukan nama bagi anak yang
baru dilahirkan. Bersabarlah, nama pilihan masing-masing boleh digunakan
kepada anak seterusnya. 
  Islam tidak membenarkan penggunaan nama yang mendatangkan masalah untuk
disebut dan diingati. Pemilihan nama panjang membuktikan kecelaruan
fikiran ibu bapa dalam memilih nama anak.
  INTI PATI
  * Nama diberikan kepada anak di dunia kekal digunakan di akhirat.
  * Ibu bapa bertanggungjawab memilih nama anak dengan penuh teliti dan
berhemah.
  * Islam menegah sama sekali ibu bapa melakukan sesuatu yang mengaibkan
anak.
  * Ada nama Melayu diterjemahkan ke bahasa Arab mempunyai makna buruk
dan memalukan.
  * Nama baik boleh memberikan kesan jiwa atau rohani kepada pemilik nama
untuk berkelakuan baik seperti namanya.
                              (Source by : Berita Harian)

No comments:

Post a Comment