Thursday, November 24, 2011

Belajar Bahasa Arab untuk memahami al-Quran


KENALI BAHASA AL-QURAN 

SIRI 81

Muhammad Ibrahim Suty, seorang pakar bahasa Arab berketurunan 
Pakistan pada tahun 1993 telah mengenal pasti satu kaedah yang didapati 
berkesan untuk tujuan memahami al-Quran.

Beliau telah mempraktikkannya kepada sekumpulan pelajar bukan Arab di 
Britain dan hasil keputusannya didapati sangat berkesan.

Mengikut kaedah beliau, sumber perbendaharaan kata adalah datangnya 
daripada al-Quran itu sendiri. Ini kerana al-Quran itu adalah bahasa yang 
terlalu tinggi kefasihannya dan menggunakan berbagai lahjah (dialek). 

Di antaranya adalah lahjah suku kaum Quraisy sangat tinggi mutu 
bahasanya di kalangan bahasa Arab. Oleh sebab itu, pelajar perlu 
didedahkan kepada perbendaharaan kata bahasa Arab yang terdapat dalam 
al-Quran sahaja. Pembelajaran perbendaharaan kata menjadi lebih mudah 
kerana pelajar telah biasa mendengar atau membaca kata-kata tersebut 
dalam al-Quran, walaupun tidak mengetahui maknanya. 

Keadaan ini dapat mendorong pelajar mencari maknanya yang sebenarnya. 
Contohnya, perkataan al-Sama' (langit) dan al-Ard (bumi) adalah dua 
perkataan yang lazim digunakan dalam al-Quran dan pelajar didedahkan 
kepada ayat-ayat tersebut melalui bacaan al-Quran. Guru boleh 
menggunakan dua perkataan ini sebagai contoh ketika menerangkan 
perbendaharaan kata kepada pelajar-pelajar. 

Contoh penggunaan perkataan seperti ini boleh diteguhkan melalui kajian 
penggunaannya dalam al-hadis dan peribahasa Arab klasik kerana ia juga 
warisan bahasa Arab yang bermutu tinggi. Guru boleh mencari hadis dan 
peribahasa Arab yang membicarakan perkataan al-Sama' dan al-Ard dan 
kemudian mengaitkannya dengan penggunaannya dalam al-Quran.

Dalam kaedah ini semua perbendaharaan kata yang tidak disebut secara 
langsung dengan al-Quran tidak akan digunakan. Dengan kata lain, 
perkataan-perkataan moden yang digunakan pada zaman sekarang terpaksa 
diketepikan untuk memberi ruang yang lebih banyak kepada perkataan-
perkataan yang disebut secara langsung dalam al-Quran. 

Selain itu untuk menarik minat pelajar, guru boleh menggunakan perkataan 
Arab yang telah diserapkan ke dalam bahasa Melayu. Contohnya, perkataan 
musibah (mala petaka), dunya (dunia), amanah, (amanah), kursi 
(kerusi), nasihah (nasihat), kitab (kitab). alamah (alamat), uzur (uzur), 
salamah (selamat), fahm (faham), fikr (fikir), fatwa (petua) dan sebagainya. 
Guru boleh mencari perkataan al-Quran yang mengandungi perkataan ini 
dan menerangkan penggunaannya dalam al-Quran dan menjelaskan makna 
perkataan- perkataan ini, selain daripada maknanya yang terdapat dalam al-
Quran.

Terdapat beberapa prinsip dalam pengajaran bahasa Arab al-Quran yang 
antara lain ialah :

a) Bahasa Arab hendaklah diajar dalam bahasanya yang standard (fus-ha). 
Selain itu, sebutan dan gaya percakapan mestilah sama seperti penutur jati 
Arab. Dalam hal ini, semua bahasa pasar atau kegunaan seharian tidak 
boleh digunakan semasa pengajaran dan pembelajaran.

b) Semua contoh pengajaran perlu diambil daripada al-Quran. Selain itu 
perkataan-perkataan daripada al-hadis, atau dari sumber bahasa Arab klasik 
seperti, syair dan puisi digunakan untuk membantu pelajar memahami 
dengan lebih mendalam pengertian perkataan al-Quran tersebut.

c) Oleh sebab bahasa Arab mempunyai sistem bahasa yang kompleks, 
setiap contoh menjadi tabiat dituturkan secara spontan dan bersahaja. Ini 
boleh dilakukan menerusi teknik latih tubi yang dipraktikkan secara 
berkumpulan dalam kelas.

d) Perbendaharaan kata dalam bahasa Arab moden tidak digunakan dalam 
pengajaran dan pembelajaran. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah 
untuk menjimatkan masa di samping memberi lebih tumpuan kepada 
perbendaharaan kata dalam bahasa al-Quran.

e) Pengajaran tatabahasa Arab mestilah mengikut tahap pencapaian pelajar 
yang dimulakan dengan perkara-perkara asas yang akan diikuti 
kemudiannya dengan perkara-perkara cabang.

f) Terjemahan makna al-Quran hendaklah dibuat secara literal dahulu 
sebelum maksudnya yang sebenar dinyatakan. Ini adalah untuk 
membolehkan pelajar mengetahui makna asas sesuatu perkataan.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment