Thursday, November 24, 2011

PELAJAR KOLEJ TAWAR KHIDMAT BAHASA MANDARIN DAN ARAB DI KLIA




 
SEPANG, 8 Ogos (Bernama) -- Empat puluh empat pelajar kolej yang fasih
bertutur Bahasa Mandarin dan Bahasa Arab akan ditempatkan secara sambilan
di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) mulai bulan ini bagi membantu
pelancong asing khasnya dari China dan Timur Tengah.
    Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Donald Lim Siang Chai berkata mereka
terdiri daripada pelajar Kolej Universiti Limkokwing dan Kolej Universiti
Islam Malaysia (KUIM).
    Katanya pelajar tersebut akan memakai jaket berwarna hijau yang
bertulis "May I Help You" dalam empat bahasa iaitu Mandarin, Arab, Inggeris
dan Bahasa Malaysia.
    "Mereka akan menjawab pertanyaan pelancong dan menunjuk arah tempat
untuk pengangkutan awam, balai pelepasan dan ketibaan, kaunter imigresen
dan kemudahan aerotrain," kata Lim kepada pemberita selepas melancarkan
program "Friends of Visit Malaysia Year 2007" di KLIA di sini, hari ini.
    Katanya perkhidmatan itu terutama di KLIA sebagai pintu masuk utama ke
Malaysia penting bagi meningkatkan imej Malaysia di kalangan pelancong
asing.
    Lim berkata sejak Januari hingga April lepas, seramai 35,818 pelancong
dari Timur Tengah melawat Malaysia, meningkat 31.3 peratus berbanding
tempoh yang sama tahun lepas.
    Kedatangan pelancong China pula meningkat 25.5 peratus dalam tempoh
itu iaitu daripada 110,998 orang kepada 139,333 orang tahun ini, katanya.
    Sebelum ini, KLIA telah menyediakan perkhidmatan jurubahasa untuk
membuat pengumuman dalam Bahasa Mandarin.
    Mengenai khidmat pelajar tersebut, Lim berkata mereka masing-masing
menerima elaun sebanyak RM900 sebulan dan bertugas mengikut syif 24 jam
sehari.
    Lim juga berkata program ini akan diteruskan sehingga tamatnya "Tahun
Melawat Malaysia 2007" dan pihak berkuasa akan memutuskan sama ada
meneruskan program tersebut.
    Katanya program itu mungkin dikembangkan di lapangan terbang lain
sekiranya ia terbukti berkesan dan mempunyai jumlah mahasiswa yang cukup
untuk berkhidmat.
    -- BERNAMA
    SHE VL MOK LAT

No comments:

Post a Comment