Thursday, November 24, 2011

WAKIL RAKYAT DIMESTIKAN AMBIL KERTAS BAHASA ARAB PMR




 
KANGAR, 5 Feb (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim
yang lulus mata pelajaran Bahasa Arab peringkat Penilaian Menengah Rendah
(PMR) tahun lepas, hari ini mengarahkan semua wakil rakyat dan ketua
jabatan di negeri itu mengambil mata pelajaran terbabit tahun ini.
    "Ia bukan wajib tetapi sukarela yang dimestikan.
    "Arahan itu bukan untuk menyusahkan mereka tetapi bertujuan membolehkan
wakil rakyat dan ketua jabatan menjadi contoh kepada masyarakat dengan
menimba ilmu walaupun usia telah meningkat," katanya.
    Shahidan berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis
menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pergerakan Puteri Umno
Perlis dan Simor Creative (M) Sdn Bhd bagi penganjuran Karnival Pendidikan
dan Kerjaya Perlis 2006, di sini.
    Pergerakan Puteri Umno Perlis diwakili ketuanya Rozieana Ahmad manakala
Simor Creative diwakili pengarah urusannya, Azni Jaya Mansor.
    Karnival Pendidikan dan Kerjaya Perlis 2006 dari 21 hingga 23 April ini
di Dewan 2020 di sini, berkonsepkan pusat sehenti bagi mendedahkan
masyarakat mengenai peluang-peluang melanjutkan pelajaran dan pengurusan
kerjaya.
    Shahidan berkata wakil rakyat dan ketua jabatan perlu menghadiri kelas
tuisyen percuma yang dijalankan dua jam sehari mulai 15 Feb ini. Mereka
bagaimanpun perlu mengeluarkan wang untuk pendaftaran peperiksaan.
    Beliau berkata semua wakil rakyat dan ketua jabatan diminta segera
mendapatkan borang pendaftaran peperiksaan dan mendaftar mengikuti kelas
tuisyen itu.
    Menurutnya langkah itu sedikit sebanyak dapat menghindar wakil rakyat
dan ketua jabatan daripada hanya tahu bersembang kosong di kedai-kedai kopi
yang tidak mendatangkan manfaat.
    Bagi yang bukan beragama Islam pula, Shahidan berkata mereka digalakkan
mempelajari kaedah tulisan Jawi terlebih dahulu sebelum mengambil
peperiksaan itu tahun depan.
    Shahidan berkata beliau sendiri akan belajar dan mengambil semula
peperiksaan kertas terbabit selain Bahasa Mandarin, tahun ini.
    Ketika ditanya mengenai respons wakil rakyat dan ketua jabatan
berhubung arahan itu, Shahidan berkata mungkin ada yang "keras kepala" dan
tidak mahu berbuat demikian tetapi berharap mereka akur.
    -- BERNAMA
    MAN MAN LAT

No comments:

Post a Comment