Thursday, November 24, 2011

KAMRUL ARIFFIN HASIL KAMUS BAHASA MALAYSIA-INGGERIS-ARAB-URDU


 
KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Kepayahan semasa merantau kerana
masalah bahasa untuk berkomunikasi mendorong seorang anak Melayu
menghasilkan kamus empat bahasa -- Bahasa Malaysia-Inggeris-Arab-Urdu.
    Pelajar Universiti Karachi, Pakistan, Kamarul Ariffin Ithnan, 32,
berkata beliau mengambil masa enam tahun untuk menyiapkan kamus itu, yang
diharap dapat membantu rakyat dan pelajar Malaysia di negara-negara yang
menggunakan bahasa Arab dan Urdu.
    "Kamus ini lahir daripada kepayahan saya ketika belajar di Pakistan.
Syukur saya dapat menyiapkan kamus yang diusahakan sejak tahun 2000,"
katanya kepada Bernama di sini.
    Kamarul Ariffin, dari Bagan Datoh, Perak, yang baru menamatkan
pengajiannya dalam bidang hadis peringkat sarjana September lepas, berkata
kamus bertajuk "Kamus Empat Bahasa Al-Irshad" setebal 670 muka surat itu,
dijangka berada di pasaran hujung bulan ini.
    Kamarul Ariffin, yang juga Presiden Kelab Umno Luar Negara Karachi,
berkata kamus itu diterbitkan oleh syarikat penerbitan buku agama tempatan,
Darul Nikman.
    Idea untuk menghasilkan kamus empat bahasa itu tercetus selepas beliau
sedar bahawa bahasa Urdu yang dipertuturkan masyarakat di Pakistan adalah
bahasa yang indah dan mudah dipelajari.
    "Di sebelah India bahasa Urdu dipanggil Hindustan. Ia adalah bahasa
yang cukup indah terutamanya jika ia disyairkan," kata Kamarul Ariffin yang
fasih dalam bahasa itu.
    Katanya usahanya itu pernah diragui teman-temannya kerana mengambil
masa yang lama.
    "Kawan-kawan kata saya buat kerja gila kerana selalu ke hulu ke hilir
dengan memikul kamus-kamus tebal seperti kamus Oxford dan kamus Arab,
semata-mata untuk menyiapkan kamus empat bahasa ini," katanya.
    Ditanya kenapa beliau mengambil jurusan hadis, Kamarul Ariffin yang
ditaja Pejabat Agama Islam Negeri Perak berkata ia bagi memenuhi
cita-citanya untuk menjadi "muhadisin" iaitu golongan pakar dalam ilmu
hadis.
    Kamarul Ariffin, yang juga seorang hafiz Al-Quran, menasihatkan semua
pelajar yang ditaja supaya tidak mensia-siakan peluang yang diberi dan
mengisi masa yang ada dengan perkara yang berfaedah.
    "Kamus saya ini, sebagai contoh, adalah kegiatan saya di masa lapang
semasa belajar di Pakistan. Saya harap ia akan memberi manfaat kepada semua
orang, terutamanya pelajar kita di Pakistan," kata Kamarul Ariffin yang
meminati karya penyair terkenal Pakistan, A.Bayyar.
    Kamus yang dihasilkannya itu dijangka dijual pada harga RM35 senaskhah.
    -- BERNAMA
    SYZ MOK MAI

No comments:

Post a Comment