Thursday, November 24, 2011

Memanfaatkan kata pinjaman daripada bahasa Arab




KENALI BAHASA AL-QURAN 

SIRI 8

PERBINCANGAN tentang kata pinjaman bahasa Melayu yang berasal 
daripada bahasa Arab di ruangan ini akan merangkumi empat aspek penting. 
Pertama ialah sejarah kata pinjaman bahasa Melayu yang berasal 
daripada bahasa Arab. Yang kedua pula ialah sejarah tulisan bahasa Arab-
Jawi. 

Ketiga adalah kajian tentang analisis bilangan kata pinjaman bahasa Melayu 
yang berasal daripada bahasa Arab. Seterusnya aspek keempat ialah kajian 
tentang analisis pecahan kata pinjaman bahasa Melayu yang berasal 
daripada bahasa Arab.

Melalui perkembangan agama Islam seperti yang telah dibincangkan pada 
minggu-minggu sebelumnya, bahasa Arab secara tidak langsung telah 
memperkaya perbendaharaan kata bahasa tempatan iaitu dengan 
penambahan berbagai istilah agama Islam. 

Selain perbendaharaan kata, pengaruh bahasa Arab juga mempengaruhi 
penggunaan aksara, struktur, alur fikir dan kesusasteraan bahasa tempatan. 
Antara bahasa yang telah menerima kesan tersebut ialah bahasa Parsi, 
bahasa Turki, bahasa Urdu, bahasa Swahili dan bahasa Melayu. 

Islam juga telah memperkenalkan kepada masyarakat di kepulauan Melayu 
satu bidang ilmu pengetahuan yang luas. Untuk memahami bidang 
pengetahuan tersebut masyarakat perlu memahami bahasa Arab. 

Memandangkan banyak perbendaharaan kata Arab yang tidak dapat 
diterjemahkan secara tepat kerana tiada perkataan dalam bahasa Melayu, 
maka perkataan Arab tersebut diambil dan dijadikan sebagai perkataan 
bahasa Melayu. 

Hasilnya, beribu-ribu perkataan Arab telah diserapkan ke dalam bahasa 
Melayu. Sehubungan itu boleh dikatakan bahawa kedatangan Islam telah 
memberi sumbangan besar kepada perkembangan perbendaharaan kata 
bahasa Melayu. 

Melalui pengaruh bahasa, pelbagai idea dan konsep Islam termasuk bahasa 
Arab telah diterapkan ke dalam sistem budaya Melayu. Antara kesan yang 
dapat dilihat ialah nama orang seperti Ahmad, nama tempat seperti masjid, 
nama hari seperti Ahad, nama bulan seperti Ramadan dan nama organisasi 
seperti Syarikat Takaful Ikhlas. 

Perkataan-perkataan itu diserap sama ada secara terus daripada perkataan 
asal atau dengan sedikit pengubahsuaian yang bertujuan untuk 
memudahkan sebutan bagi orang Melayu ketika itu. Selain itu, perubahan 
kata pinjaman asing ini turut melibatkan penukaran beberapa bentuk (syakl) 
lain sama ada penambahan atau pengurangan bahagian kata agar sesuai 
dengan fonetik dan pola bahasa Arab. 

Selain itu, proses penyerapan perkataan dan istilah Arab ke dalam alam 
Melayu bukanlah disebabkan kerana keperluan semata-mata tetapi lebih 
disebabkan kebiasaan. Buktinya, para wartawan pada awal kurun ke-20 
Masihi menjadikan bahasa Arab sebagai rujukan utama apabila berhadapan 
dengan keperluan istilah yang tidak terdapat dalam bahasa Melayu ketika itu. 
Hasilnya, banyak perkataan dan istilah Arab digunakan secara meluas 
hingga ia menjadi suatu kebiasaan dalam masyarakat. 

Berdasarkan perbincangan ini dapatlah disimpulkan bahawa masyarakat 
Melayu telah dapat menerima kemasukan perkataan daripada bahasa Arab 
dan digunakan dalam bahasa Melayu sama ada dalam pertuturan ataupun 
tulisan dengan rela hati. 

Ini bermakna banyak perkataan Arab sudah menjadi sebati dalam kehidupan 
seharian masyarakat Melayu khasnya istilah yang berkaitan dengan agama 
Islam. Sehubungan itu adalah diharapkan guru bahasa Arab dapat 
membimbing pelajar Melayu untuk memproses kata pinjaman bahasa 
Melayu dalam pembelajaran bahasa Arab.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment