Thursday, November 24, 2011

KUIM anjur Debat Bahasa Arab peringkat ASEAN




SEREMBAN 21 Feb. - Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) akan 
menganjurkan Kejohanan Debat Bahasa Arab Peringkat Institusi Pengajian 
Tinggi ASEAN yang pertama bermula Khamis sehingga Ahad ini. 

Pengarah Pusat Perhubungan Korporat dan Antarabangsa, Unit 
Perhubungan Awam KUIM, Sapora Sipon berkata, pertandingan itu 
bertujuan menjadikan KUIM pelopor kejohanan debat Bahasa Arab di arena 
antarabangsa sekali gus menjadikannya yang pertama di peringkat universiti 
ASEAN. 

"Kejohanan ini merupakan pentas terbaik bagi siswa dan siswi 
mempamerkan bakat dan kebolehan berdebat di samping melahirkan 
mahasiswa yang berkemahiran berkomunikasi yang tinggi. 

"Bagi melancarkan lagi perjalanan program ini kita turut menjalankan 
kerjasama dengan sekretariat Majlis Debat Universiti Malaya (Madum)," 
katanya di sini hari ini. 

Sapora berkata, pertandingan debat itu akan berlangsung di dewan kuliah 
utama KUIM dan majlis perasmian penutup akan disempurnakan oleh Mufti 
Negeri Johor, Datuk Nooh Gadot. 

Antara universiti tempatan yang akan mengambil bahagian dalam 
pertandingan itu ialah KUIM, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti 
Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi 
Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Utara Malaysia dan Universiti 
Pendidikan Sultan Idris. 

Universiti negara-negara ASEAN yang turut mengambil bahagian ialah dari 
Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei, Filipina dan Kemboja., 

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment