Thursday, November 24, 2011

UIN juara debat bahasa Arab IPT Asean 2006




UNIVERSITI Islam Negeri Syarif Hidayatullah (UIN), Jakarta, menjuarai
     Kejohanan Debat Bahasa Arab Peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT)
     Asean 2006 setelah menewaskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
     (UIAM) pada pertandingan akhir di Nilai, kelmarin.
       Pada pertandingan penentu juara kejohanan anjuran bersama Kolej
     Universiti Islam Malaysia (Kuim) dan Sekretariat Majlis Debat Universiti
     Malaysia (Madum) itu, UIN bertindak sebagai pencadang berdasarkan tajuk
     Penubuhan Parlimen Asia Menjadi Satu Tuntutan.
       Kemenangan itu membolehkan UIN diwakili Wisam Rohilina, Makiah Mugni,
     Ahyatul Ihsan dan Afrimaidamis membawa pulang wang tunai RM2,500, piala
     iringan, cenderahati dan sijil penyertaan.
       Kegembiraan IPT itu berganda apabila Wisam Rohilina turut dinobatkan
     sebagai pendebat terbaik, sekali gus menerima wang tunai RM200, piala
     iringan, cenderahati dan sijil penyertaan.
       UIAM yang diwakili Siti Salwa Mohd Noor, Amirah Ahmad Zain, Ahmad Firas
     dan Nur Atikah Jamaludin pula memenangi wang tunai RM1,000, piala
     iringan, cenderahati serta sijil penyertaan.
       Sebanyak 18 pasukan dari 11 IPT tempatan dan luar negara mengambil
     bahagian dalam kejohanan debat bertema Membudayakan Bahasa Arab Sebagai
     Bahasa Ilmu dan Diplomasi yang julung kali diadakan itu.
       Selain UIAM, IPT tempatan turut mengambil bahagian ialah Kuim,
     Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi
     Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Utara Malaysia dan
     Universiti Pendidikan Sultan Idris.
       Dua lagi IPT luar negara ialah Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah dan
     Madrasah Al-Junied Al-Islamiah, Singapura. 
       Rektor Kuim, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata penganjuran
     debat itu secara tidak langsung menjadikan Kuim sebagai pelopor kejohanan
     berkenaan pada peringkat Asean dan antarabangsa.
       Menerusi kejohanan itu, katanya, ia memberi peluang mahasiswa
     mempamerkan bakat dan kemahiran berdebat dalam bahasa Arab, di samping
     melahirkan generasi muda mempunyai kemahiran komunikasi tinggi dalam
     bahasa berkenaan.
                                   (END) Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment