Thursday, November 24, 2011

MEDIA DIMINTA PERBANYAK RUANGAN DAN SEGMEN BELAJAR BAHASA ARAB


 
KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Media cetak dan elektronik di negara
ini diminta supaya memperbanyakkan ruangan dan segmen khas mempelajari
bahasa Arab bagi meningkatkan penguasaan bahasa itu, terutama di kalangan
pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.
    Pensyarah Bahasa Arab dari Institut Perguruan Raja Melewar, Dr Abdul
Razak Abu Chik berkata berdasarkan pemerhatiannya hanya akhbar Utusan
Malaysia yang mempunyai ruangan khas "Kenali Bahasa Al-Quran" diterbitkan
setiap Khamis bagi mempelajari bahasa itu.
    Selain itu, Radio IKIM dan beberapa stesen radio, antaranya Klasik FM
dan Negeri FM juga menyiarkan segmen mempelajari bahasa Arab, katanya.
    "Media sering menjadi bahan utama untuk masyarakat membuat sebarang
rujukan. Jadi belajar bahasa Arab di media juga penting demi menyelamatkan
maruah bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia," katanya selepas
membentangkan kertas kerja "Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab Melalui
Media Massa Arus Perdana" pada Seminar Islam Hadhari 2007 di sini hari ini.
    Berbanding bahasa Arab, Abdul Razak berkata kebanyakan subjek lain
mempunyai sisipan khas dalam akhbar selain mempunyai segmen khusus dalam
stesen radio dan saluran televisyen pendidikan.
    Seminar tiga hari anjuran Sekretariat Islam Hadhari yang juga projek
khas Perdana Menteri itu berakhir esok. Sebanyak 10 kertas kerja dibentang
pada seminar itu oleh ahli panel dari Amerika Syarikat, Singapura, Brunei,
Indonesia dan Malaysia.
    Abdul Razak berkata majalah berbahasa Arab "Mahir" telah diterbitkan
sejak Mei tahun lepas bagi menggalakkan pembelajaran bahasa Arab di
kalangan rakyat negara ini.
    -- BERNAMA
    NSS SYZ KHY

No comments:

Post a Comment