Thursday, November 24, 2011

KEJAYAAN DARI AMALAN BERCAKAP BAHASA ARAB





 
KUANTAN, 18 Ogos (Bernama) -- Mengamalkan bercakap dalam Bahasa Arab
dalam perbualan seharian mendatangkan kejayaan kepada Muhamad Fairuz Ali,
pelajar Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS).
    Beliau, 21, dari Kampung Sungai Tekam Utara, Jerantut menerina Anugerah
Kecemerlangan Sultan Ahmad Shah pada majlis konvokesyen ketujuh kolej
tersebut di sini hari ini.
    "Saya sentiasa amalkan bercakap Bahasa Arab dalam perbualan seharian
bersama rakan-rakan. Jadi secara tidak langsung saya dapat meningkatkan
lagi pemahaman dan kelancaran saya terhadap bahasa tersebut," katanya
selepas majlis konvokesyen tersebut.
    Beliau kini sedang mengikuti pengajian Bahasa Arab peringkat ijazah di
Universiti Putra Malaysia, Serdang bermula Jun lalu.
    Muhamad Fairuz juga mengakui rahsia kejayaannya banyak bergantung
kepada pembacaan dan rujukan nota-nota yang diberikan pensyarah semasa
kuliah serta nota catatannya sendiri.
    "Saya juga tidak suka buang masa dengan benda-benda yang tidak
berfaedah sebaliknya masa yang terluang banyak diisi dengan belajar
bersendirian atau berkumpulan," katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah
Bahasa Arab.
    Bagi Nor Jannah Nasaruddin, 23, yang menerima Anugerah Kecemerlangan
Presiden, rahsia kejayaannya adalah pandai membahagi masa untuk belajar
walaupun di sebalik kesibukannya sebagai setiausaha Majlis Perwakilan
Pelajar (MPP) kolej berkenaan.
    "Saya kena pandai bahagikan masa untuk MPP dan juga masa untuk
belajar," katanya.
    Beliau pernah bertugas sebagai guru selama dua tahun di Sekolah
Kebangsaan Tuanku Farimah, Bentong sebelum menyambung pelajaran di KIPSAS.
    Beliau kini sedang menyambung pelajaran dalam jurusan komunikasi di
Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.
    Pada majlis itu, seramai 230 graduan menerima diploma masing-masing
yang disampaikan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
    -- BERNAMA
    NZR NZR HM

No comments:

Post a Comment