Thursday, November 24, 2011

Masalah kata serapan bahasa Arab




KATA umum yang diserap daripada bahasa Arab kerap menjadi perkataan mesra
     Melayu, sama ada disebabkan perubahan huruf atau penambahan huruf saksi.
     Misalnya, perkataan kertas dan sabun yang asalnya dieja dengan
     menggunakan huruf qaf-tho dan shad berubah menjadi ejaan Melayu sesuai
     dengan pertuturan dalam bahasa Melayu dengan menukar huruf qaf-tho itu
     kepada kaf-ta dan shad kepada sin.
       Perkataan zahir menjadi lahir, iaitu menukarkan huruf zho kepada lam.
     Demikian pula perkataan ridha menjadi reda, fadzuli menjadi peduli -
     bukan saja dari segi sebutannya mengikut lidah Melayu, malah ejaannya pun
     ditukar kepada ejaan jawi mesra Melayu. Namun pada banyak perkataan yang
     disebut mengikut lidah Melayu, ejaannya dikekalkan seperti perkataan
     sedekah, Selasa, subuh dan lain-lain.
       Sebahagian kata serapan Arab jadi mesra Melayu dengan cara
     menyelaraskan vokalnya menggunakan huruf saksi terutama huruf saksi wau
     dan ya. 
       Contohnya, perkataan Sabtu, waktu, ilmu, rukun, murid - dalam ejaan
     jawi baru dieja dengan huruf saksi wau. Dalam ejaan jawi lama, kaedah
     unsur baris depan masih digunakan untuk mengeja perkataan itu.
       Mengenai ejaan Sabtu yang dieja sin-ba-ta dari kata serapan Arab itu
     boleh menimbulkan kekeliruan dengan perkataan sebat dalam bahasa Melayu.
       Perkataan ahli, fikir, zikir, zahir, batin dalam ejaan jawi sudah
     ditambahkan huruf saksi ya sebagai ganti tanda baris bawah atau unsur
     baris bawah.
       Bagaimanapun, kata istilah dari pelbagai bidang ilmu terus dikekalkan
     ejaannya dalam tulisan jawi. Misalnya, perkataan rukuk tidak diubah
     ejaannya mengikut kaedah Melayu. Rukuk terus kekal ejaannya
     ra-kaf-wau-ain, tidak ra-wau-kaf-wau-ain. Perkataan masjid dieja
     mim-sin-jim-dal tanpa menambahkan huruf saksi ya pada suku kata akhir,
     walaupun pernah disarankan perbezaan ejaan di antara kata masjid (umum)
     dengan Masjidil-Haram (khas).
       Ada kecenderungan baru dalam masyarakat Melayu hendak menggunakan kata
     Arab bagi sesetengah perkataan yang sudah lazim dalam bahasa Melayu
     seperti babi diganti dengan khinzir, sembahyang diganti dengan solat.
     Malah ada yang menghina orang yang menggunakan perkataan wati pada nama
     kerana wati membawa makna tidak senonoh dalam bahasa Arab, pada hal wati
     yang digunakan pada nama itu diambil daripada bahasa Sanskrit.
       Secara umumnya untuk menentukan mana kata serapan bahasa Arab yang
     dikekalkan ejaannya atau berubah adalah bergantung kepada ciri sama ada
     ia kata umum atau kata istilah. Perincian yang lebih menyeluruh sukar
     hendak dikenal pasti.
                                   (END) Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment