Thursday, November 24, 2011

Buku, VCD bantu kuasai bahasa Arab




KUALA LUMPUR: Sejajar dengan pengajaran dan pembelajaran serta
     meningkatnya kesedaran untuk menguasai bahasa Arab sebagai bahasa ketiga,
     pelbagai usaha dilakukan untuk membantu pelajar dan orang ramai mendalami
     bahasa itu.
       Antaranya ialah menerbitkan pelbagai bahan pembelajaran, sama ada dalam
     bentuk buku, majalah, sisipan dalam akhbar, kaset dan cakera padat video
     (VCD).
       Medium terbaru yang kini sudah berada di pasaran ialah 'Kursus Bahasa
     Arab Lingua Franca' yang membolehkan orang ramai menguasai bahasa ketiga
     itu dengan mudah, cepat dan mesra pengguna.
       Siri kursus berkenaan yang ditampilkan dalam bentuk buku dan VCD ini
     amat sesuai dijadikan bahan pembelajaran asas kepada semua peringkat umur
     termasuk murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah dan mahasiswa
     institusi pengajian tinggi (IPT) selain dapat dijadikan persediaan
     sebelum mempelajari kandungan yang lebih sukar.
       Bahannya disampaikan dalam empat segmen utama iaitu tujuh mata
     pelajaran bahasa Arab (46 Unit Pembelajaran), tujuh VCD (termasuk
     mengandungi 14 lagu nasyid dan 18 animasi kisah teladan), 46 latihan tubi
     berserta jawapan dan tujuh ujian pencapaian.
       Siri pembelajaran interaktif ini juga ditampilkan dalam versi
     terjemahan bahasa Melayu dalam usaha memudahkan penggunanya sambil
     mendapat bimbingan dalam aspek pertuturan dan memahami dengan lebih jelas
     apa yang diajar dalam bahasa Arab.
       Malah kursus bahasa Arab ini amat juga sesuai dijadikan alat bantu
     mengajar oleh guru dan ibu bapa. 
       Pendekatan bersepadu yang dihasilkan pakar bahasa Arab yang
     berpengalaman juga bertindak sebagai guru yang memberi bimbingan kepada
     penonton iaitu Muhammad Fadli Ismail dan disunting oleh Penyelaras Projek
     Bahasa Arab Institut Tadbir Awam Negara (INTAN), Nabil Mabrouk.
                                   (END) Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment