Thursday, November 24, 2011

K'JAAN SASAR LATIH 500 GURU BAHASA ARAB DALAM TEMPOH LIMA TAHUN


 
KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Kementerian Pendidikan mensasarkan
untuk melatih secara agresif 500 tenaga pengajar dalam bahasa dan
kesusasteraan Arab bagi tempoh lima tahun mulai tahun 2004, kata Timbalan
Menteri Pendidikan Datuk Abdul Aziz Samsudin.
    Beliau berkata tenaga pengajar itu akan dilatih melalui program Kursus
Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Program Khas Pendidikan Guru bagi
memantapkan pengajaran bahasa itu di semua sekolah di seluruh negara.
    "Kementerian Pendidikan akan melatih seramai 100 orang guru dalam
setahun bagi tempoh dari tahun 2004 hingga 2008," katanya kepada pemberita
di lobi Parlimen semasa persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.
    Beliau berkata guru-guru itu nanti akan ditempatkan di sekolah-sekolah
menengah di seluruh negara.
    Aziz berkata, pada masa yang sama, perancangan untuk menambah tenaga
pengajar dalam bahasa dan kesusasteraan Arab juga akan dilakukan bagi
memenuhi keperluan di institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
    "Kita berharap cara ini akan dapat mengatasi kekurangan tenaga pengajar
dalam mata pelajaran bahasa Arab dan kesusasteraan Arab. Oleh itu rakyat
mesti yakin bahawa setiap anak mereka yang berminat dalam bahasa Arab, masa
depan mereka adalah terjamin," katanya.
    Sebagai contoh, katanya dianggarkan sebanyak 171 tenaga pengajar
diperlukan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) manakala di Kolej
Universiti Islam Malaysia (KUIM), sebanyak 30 kekosongan dijangka berlaku
bagi tempoh lima tahun mulai tahun 2004.
    "Demikian juga seterusnya dengan IPTA lain yang ada mengajar dalam
bahasa ini (Arab), kita akan usahakan (menambah tenaga pengajar ini)
bersesuaian dengan keperluan mereka," katanya.
    Beliau berkata tempoh bagi mengikuti program itu adalah berbeza
bergantung kepada keupayaan dan kelayakan individu itu.
    "Bagi mereka yang ada asas pengajaran bahasa Arab, mungkin setahun atau
dua tahun. Sekarang ini sudah terdapat mereka yang mengikuti program di
peringkat sarjana dan PhD (ijazah doktor falsafah) untuk mengajar mereka
yang akan menjadi guru nanti," katanya.
    -- BERNAMA
    ERE ERE PR

No comments:

Post a Comment