Thursday, November 24, 2011

PELATIH MAKTAB PERLU TINGKATKAN PENGUASAAN BAHASA ARAB - GPMS


KUALA TERENGGANU, 7 Mac (Bernama) -- Penguasaan bahasa Arab para
pelatih Maktab Perguruan perlu dipertingkatkan sebagai persediaan
mewajibkan mata pelajaran itu kepada pelajar Islam di sekolah rendah dan
menengah.
    Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar
Syed Mohamad berkata perkara itu penting bagi memudahkan kerajaan
merealisasikan cadangan itu secepat mungkin.
    "Cadangan kerajaan itu amat tepat dan sesuai dengan keperluan semasa
rakyat negara ini kerana bahasa Arab adalah bahasa Al-Quran," katanya
ketika dihubungi di sini hari ini.
    Beliau mengulas kenyataan Pemangku Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi semalam bahawa kerajaan akan mewajibkan mata pelajaran bahasa
Arab bagi semua pelajar Islam selaras perkembangan sukatan pendidikan di
negara ini.
    Abdullah berkata kajian mengenai cadangan itu sedang dijalankan dan
mata pelajaran berkenaan akan dimasukkan dalam sukatan Pendidikan Islam.
    Syed Anuar berkata GPMS memberi sokongan penuh terhadap cadangan itu
dan berharap ia akan menyumbang ke arah melahirkan masyarakat Islam yang
maju dan berdaya saing.
    "Ia sudah tentu akan membantu meningkatkan penguasaan tulisan jawi di
kalangan pelajar yang kini agak kurang diberikan perhatian," katanya.
    -- BERNAMA
    AYB SN RHM

No comments:

Post a Comment