Thursday, November 24, 2011

JADIKAN BAHASA JEPUN, ARAB DAN JERMAN SEBAGAI SUBJEK ELEKTIF




 
JITRA, 15 Julai (Bernama) -- Sultan Kedah hari ini bertitah sudah
sampai masanya bahasa Jepun, Arab dan Jerman dijadikan subjek elektif di
peringkat politeknik bagi mempercepatkan kemajuan pendidikan negara
sehingga ia bertaraf dunia.
    Baginda bertitah para pelajar harus mampu menguasai bahasa utama dunia
itu selain bahasa Inggeris untuk meningkatkan kefahaman dalam bidang sains
dan teknologi.
    Ini adalah kerana kebanyakan buku-buku rujukan utama dalam bidang itu
terdapat dalam pelbagai bahasa, titah baginda semasa merasmikan Majlis
Konvokesyen ke-17 Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di Bandar
Darulaman, di sini.
    Titah baginda, teknologi robotik adalah salah satu cabang perkembangan
sains dan teknologi moden yang merentasi beberapa bidang kejuruteraan
tradisional dengan ianya memerlukan pengetahuan dalam bidang kejuruteraan
elektronik, mekanikal, industri, sains komputer, kepintaran buatan dan
matematik.
    Dalam menguasai teknologi robotik, para pelajar bukan sahaja perlu
berkemampuan menguasai bahasa Inggeris malah turut perlu mahir bahasa utama
dunia yang lain, titah Sultan Kedah.
    Baginda bertitah para pelajar dan lepasan institusi pengajian tinggi
harus berpegang teguh kepada ajaran agama serta nilai-nilai murni yang
positif supaya tidak terjebak dalam kegiatan tidak bermoral.
    Kecemerlangan seseorang itu bukan sahaja terletak pada tahap
pengetahuan dan kemahiran tinggi tetapi juga bergantung kepada akhlak yang
mulia, titah baginda.
    Sultan Kedah bertitah setiap orang tidak harus menyalahkan mana-mana
pengaruh yang meruntuhkan moral tetapi mesti menyedari semua itu terjadi
kerana mereka tidak berpegang kepada ajaran agama dan nilai ketimuran.
    Para pendidik pula bukan sekadar memindahkan maklumat ilmu tetapi harus
berperanan sebagai "murabbi" iaitu mengasuh dan mendidik dengan sentiasa
menjadi contoh dan teladan yang baik kepada pelajar, titah baginda.
    Sultan Kedah bertitah setiap institusi pengajian tinggi harus
mengadakan program kerohanian dan aktiviti yang dapat memantapkan peribadi
mulia kerana inilah satu-satunya benteng ketahanan modenisme tanpa roh.
    -- BERNAMA
    MAN PR

No comments:

Post a Comment