Thursday, November 24, 2011

NAZRIN MAHU TANGGAPAN TERHADAP BAHASA ARAB DIPERBETULKAN





 
KAMPUNG GAJAH, 9 Ogos (Bernama) -- Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah
berkata, tanggapan bahawa Bahasa Arab hanya terbatas kepada urusan
keagamaan perlu diperbetulkan kerana bahasa itu juga mempunyai nilai
politik, ekonomi, perdagangan dan ilmu.
    Katanya, Bahasa Arab adalah bahasa pentadbiran bagi majoriti anggota
Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan merupakan salah satu bahasa
perhubungan dalam urusan persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB).
    Raja Nazrin berkata, sebahagian besar negara Arab memiliki kekayaan
sumber, peluang niaga yang luas dan kuasa beli yang tinggi manakala sumber
penting ilmu daripada segi perundangan, kesusasteraan, seni bina dan
nilai-nilai estetika Islam terkandung dalam Bahasa Arab.
    "Kemahiran Bahasa Arab yang tinggi di kalangan pelajar merupakan aset
berharga kepada negara terutama dalam usaha merangkaikan hubungan
antarabangsa yang lebih akrab antara rakyat dan negara ini dengan
negara-negara Islam di Asia Barat," kata beliau lagi.
    Baginda berkata demikian di majlis perasmian Sekolah Menengah Raja Dr
Nazrin Shah di sini, hari ini.
    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen
Pasir Salak, Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Pengerusi Jawatankuasa Agama
Islam dan Pendidikan, Datuk Dr Abdul Malek Hanafiah.
    Raja Nazrin berkata, umat Islam di negara ini berada dalam kedudukan
terbaik untuk menguasai Bahasa Arab berasaskan perdampingan di peringkat
usia masih remaja dengan tulisan dan perkataan Arab melalui pengajaran
Al-Quran dan agama.
    "Pada hemat Beta, sekolah-sekolah agama di bawah kelolaan Kerajaan
Negeri wajarlah menjadikan penguasaan Bahasa Arab di tahap yang tinggi
sebagai satu sasaran yang wajib dicapai oleh setiap pelajar," katanya.
    Baginda berkata, ini boleh dicapai melalui tenaga pengajar dan
kepakaran dari luar negara serta mengadakan konsep sekolah kembar bersama
institusi pengajian di negara Asia Barat.
    Raja Nazrin berkata, sekolah ini merupakan sekolah berasrama penuh
ketiga yang dibangunkan di bawah pembiayaan Kerajaan Negeri Perak selain
Sekolah Menengah Izzuddin Shah dan Sekolah Menengah Raja Perempuan Taayah.
    "Inilah institusi pertama yang diabadikan nama Beta. Beta gembira
kerana institusi ini adalah sebuah institusi pendidikan Islam. Peliharalah
nama baik dan kecemerlangan sekolah ini supaya Beta juga dapat beriringan
dengan setiap kejayaan yang dicapai," kata Baginda.
    -- BERNAMA
    AR PR

No comments:

Post a Comment