Thursday, November 24, 2011

Eropah cedok ilmu dengan bahasa Arab




Saudara Pengarang,

SUATU masa dulu, kota Baghdad terkenal sebagai pusat ilmu. Ilmu 
matematik, ekonomi, politik, sains dan sebagainya yang dihasilkan oleh 
cendekiawan Islam. Kesannya dapat dilihat apabila ramai cendekiawan 
dari Barat datang ke Baghdad untuk mempelajari ilmu-ilmu tersebut. 
Namun demikian, kesemua ilmu itu ditulis dalam bahasa Arab dan ini 
menyebabkan mereka terpaksa mempelajari bahasa Arab.

Setelah mereka berjaya mendapatkan kesemua ilmu itu, mereka kembali 
semula ke tempat mereka dan menyebarkan ilmu-ilmu tersebut ke dalam 
bahasa-bahasa Eropah termasuk Inggeris dan membangunkan tamadun 
mereka dengan cara mereka.

Tulisan Baki Minuddin dari Ampang yang bertajuk AS turut jajah dunia 
dengan kuasa budaya bertarikh 7 Disember, 2005 berserta dengan contoh 
negara Cuba sebagai negara yang luar biasa perlu dilihat dengan lebih 
jauh. Bagaimana orang Islam atau dalam konteks negara Malaysia hendak 
berjaya dan jauh lebih maju daripada mereka (AS dan Barat) jika kita 
tidak menguasai bahasa Inggeris?

Setiap pelajar yang dihantar ke Jepun misalnya, mereka diwajibkan 
mempelajari bahasa Jepun. Begitu juga pelajar-pelajar yang dihantar ke 
negara lain untuk menuntut ilmu.

Saya sendiri berasa kagum apabila dapat melihat di kaca televisyen 
seorang kakitangan perpustakaan yang terbesar di dunia, iaitu 
``Library of Congress" dan seorang kakitangan akademik di sebuah 
universiti di China dapat menguasai dan bertutur bahasa Melayu dengan 
baik. Malahan hari ini jika seseorang mampu menguasai pelbagai bahasa, 
baginya dunia ini seperti miliknya. Kita bukan sahaja patut berbangga 
dapat menuntut di Oxford atau Cambridge, Harvard, Yale atau Stamford 
tetapi juga di mana-mana institusi pengajian tinggi di dunia.

Paling penting kita dapat membuktikan bahawa kita mampu dan setanding 
dengan mereka yang dapat masuk dan menuntut di institusi pengajian 
tinggi yang berprestij.

Setelah kita dapat menguasai bahasa Inggeris, ilmu pengetahuan yang 
berguna dan budaya mereka yang baik, barulah kita dapat menguasai 
dunia seperti mana AS hari ini. Malahan peluang belajar atau melancong 
di negara luar juga memberi kita pengalaman yang berfaedah.

Mengenai segelintir generasi muda yang terikut dengan budaya Barat 
yang ditulis oleh Baki Minuddin sebenarnya tidak terletak di bahu 
pemimpin sahaja. Ia sebenarnya menjadi tanggungjawab semua pihak dan 
individu. Tidak ada gunanya pelbagai usaha dilakukan jika setiap pihak 
atau individu menuding jari ke sana sini jika tidak boleh 
bertanggungjawab pada diri sendiri ia akan menjadi barah kepada 
masyarakat dan seterusnya kepada negara.

Begitu juga dengan budaya makan dan minum di restoran-restoran 
francais Amerika atau memakai jeans Levis 501 atau punya koleksi 
lagu-lagu Linkin Park bukanlah menjadi satu kesalahan besar. Dalam 
konteks Malaysia yang mengamalkan cara hidup demokrasi, berbilang kaum 
dan agama serta kepercayaan, kita tahu bagaimana cara untuk mengatasi 
budaya tersebut dengan lebih berhemah serta menguntungkan. Misalnya, 
kehadiran restoran-restoran francais Amerika di Malaysia telah 
menyebabkan ramai usahawan di Malaysia menceburkan diri dalam 
perniagaan francais dan pada masa yang sama memberi peluang pekerjaan. 
Usahawan kita juga telah berjaya mencipta makanan segera buatan 
Malaysia yang jauh lebih sedap dan enak untuk pasaran tempatan dan 
luar negara. Misalnya baru-baru ini MARDI telah berjaya menghasilkan 
hot-dog berperisa lemak cili padi. Begitu juga dengan penjualan kaset 
dan CD dapat memberi keuntungan kepada kerajaan dalam bentuk cukai.

Menonton filem-filem Barat yang tidak menyalahi budaya dan agama juga 
sebenarnya memberi kepada kita satu impak yang besar dalam industri 
filem negara dan teknologi komputer khususnya. Misalnya, filem Matrix 
dan Harry Porter, banyak mengenengahkan teknologi filem yang canggih 
yang tidak terfikir oleh pengusaha-pengusaha filem kita sebelum ini. 
Justeru itu mereka telah berusaha untuk mempelajari teknik-teknik dan 
membeli peralatan yang canggih untuk membuat filem. Kesannya kita akan 
dapat menghasilkan filem-filem buatan Malaysia yang setanding dengan 
teknologi filem mereka. Di universiti pula telah menawarkan pelbagai 
kursus yang berkaitan dengan teknologi filem, animasi, 3D, multimedia 
dan sebagainya. Begitu juga dengan Disneyland yang telah kita tiru dan 
buat dengan cara kita seperti Bukit Merah Lake Town Resort, Sunway 
Lagoon dan A'Farmosa Resort.

Sebenarnya kita mampu menguasai negara Barat dengan pelbagai cara 
tanpa sebarang peperangan mahupun perselisihan faham. Masa kegawatan 
ekonomi pada tahun 1997 misalnya, kita telah menggunakan cara kita 
untuk menangani krisis ekonomi tersebut dan akhirnya mereka (Barat) 
telah mengakuinya. Pasaran batik untuk dunia yang diilhamkan oleh 
Allahyarham Datin Seri Endon juga merupakan satu usaha dalam bidang 
ekonomi (industri fabrik) yang mana kita boleh kuasai di peringkat 
dunia dengan industri fabrik kita yang terbaik dan berkualiti tinggi.

Sejarah membuktikan banyak tamadun yang lebih agung daripada AS dan 
Barat seperti tamadun Islam sendiri, China, India, Rom malah Rusia 
telah musnah. Antaranya disebabkan oleh kegagalan mereka mentadbir 
dengan baik dan pelbagai kuasa Allah yang akhirnya membawa kepada 
kejatuhan tamadun tersebut. Dalam konteks Malaysia, jika kita terus 
berpegang kepada prinsip satu bendera (Jalur Gemilang), satu lagi 
(Negaraku), satu negara (Malaysia) dan satu rukun (Rukun Negara) maka 
insya-Allah kita akan terus maju, cemerlang, gemilang dan terbilang 
dan boleh menandingi AS. _ PENDITA, Petaling Jaya.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment