Thursday, November 24, 2011

Ramai tak tahu Shahidan duduki kertas Bahasa Arab PMR





KETIKA sebahagian pelajar sibuk menduduki kertas Bahasa Arab dalam
     peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 10 Oktober lalu, Datuk
     Seri Shahidan Kassim turut menjawab kertas sama di Sekolah Menengah
     Kebangsaan (SMK) Derma, Kangar.
       Menteri Besar Perlis itu sengaja merahsiakannya daripada pengetahuan
     media kerana bimbang mengganggu tumpuan calon PMR lain, jika gambarnya
     diambil ketika menduduki kertas itu.
       "Saya yakin dapat lulus, tapi saya tergamam juga sebab saya hafal dan
     belajar ayat serta perkataan yang dirasakan susah, tetapi soalan yang
     ditanya pula hanya perkataan asas seperti tangan, pensil dan sebagainya,"
     katanya apabila ditanya sama ada beliau yakin lulus kertas itu.
       Beliau mengakui berminat mempelajari bahasa asing. Malah, beliau
     sekarang sudah memasang niat untuk mempelajari bahasa Perancis, Mandarin
     dan Thai pula tahun depan.
       Katanya, beliau berminat mempelajari bahasa Perancis kerana lenggoknya
     yang romantik dan penuh estetika, selain berbaur bahasa Arab manakala
     bahasa Mandarin pula untuk membolehkannya berkomunikasi dengan masyarakat
     Cina.
       Bahasa Thai pula sesuai dengan kedudukan Perlis yang berjiran dengan
     selatan Thailand, selain beliau sendiri kerap ke Thailand untuk
     menghulurkan bantuan kepada orang Islam, selain lawatan ke pejabat
     Gabenor di wilayah selatan.
       "Saya buat ini sebenarnya untuk memberi teladan baik kerana pemimpin
     yang baik mampu memberi contoh yang baik kepada orang lain. Saya juga
     mahu menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat," katanya.
       Shahidan kini pada peringkat akhir menyiapkan tesisnya untuk ijazah
     kedoktoran di Universiti Utara Malaysia (UUM). Tesis bertajuk "Survival
     Melayu Melalui Umno" itu tertangguh tujuh tahun kerana kesibukannya
     menguruskan negeri.
       "Tesis ini akan cuba membuktikan orang Melayu hanya boleh survive dan
     membangun melalui parti politik iaitu Umno," katanya yang memperuntukkan
     dua jam setiap hari jika tidak sibuk untuk menyiapkan tesis itu.
       Berbeza pemimpin lain yang suka bermain golf, Shahidan sebaliknya lebih
     gemarkan kegiatan lasak seperti memanjat bukit atau mendaki gunung yang
     memberi lebih kepuasan kepadanya.
       Badminton juga tidak dapat dipisahkan, malah beliau mempunyai pasukan
     sendiri yang dikenali Team Menteri Besar dan mengadakan perlawanan
     persahabatan dengan hampir semua kelab sukan di dalam dan luar Perlis.
       Malah, pasukannya pernah mengalahkan pasukan Ketua Penerangan Umno, Tan
     Sri Muhammad Muhd Taib.
       Kerana terlalu minat, tidak hairanlah jika beliau terpaksa menjalani
     rawatan di Hospital Selayang bulan lalu kerana cedera di bahagian mata
     selepas terkena bulu tangkis.
       "Ini adalah kecederaan ahli sukan ketika berjuang," katanya setiap kali
     berucap pada majlis yang dihadirinya ketika kecederaan itu belum pulih
     sepenuhnya dan beliau terpaksa memakai cermin mata hitam.
       Minatnya pada sukan badminton berputik sejak kecil lagi. Ketika itu,
     katanya, beliau terpaksa menggunakan bulu ayam yang dicucuk pada batang
     bemban kerana tidak mampu membeli bulu tangkis.
       Selain badminton, Shahidan juga suka membaca dan menjadikan aktiviti
     itu sebagai rutin harian dengan menggunakan masa terluang walaupun lima
     minit untuk membaca pelbagai bahan bacaan.
       Katanya, beliau paling gemar membaca buku kisah benar, pengintipan
     serta buku sejarah yang ditulis semula dan mempunyai lebih 40,000 koleksi
     buku yang disimpan di bangunan kedai yang dijadikan perpustakaan
     peribadinya.
       Buku paling terbaru dibacanya bertajuk Kublai Khan dan sebelum itu
     mengenai pemerintahan Mongul di India.
                                   (END) Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment