Thursday, November 24, 2011

Bahasa Arab banyak keistimewaan




KENALI BAHASA AL-QURAN

SIRI 1

OLEH: DR. ABD. RAZAK ABU CHIK 

e-mel: arbacmys.netscape.net

BAHASA Arab! Mengapa bahasa Arab? Apa perlunya bahasa Arab? Siapa, 
bila, kenapa, di mana dan bagaimana? 

Bagi seorang muslim di Malaysia, bahasa Arab bukanlah sesuatu yang 
asing. Sejak lahir mereka telah mendengar lafaz azan yang sememangnya 
bahasa Arab. Dalam kehidupan seharian mereka menggunakan bahasa 
Arab iaitu ketika berwuduk, azan, iqamat, solat dan berdoa.

Malah tiga perlima daripada rukun Islam adalah dalam bahasa Arab. Umat 
Islam mengucap dua kalimah syahadah, bersolat dan menunaikan haji 
menggunakan bahasa Arab sepenuhnya. Umpamanya dalam solat lima 
waktu mereka bertutur dalam bahasa Arab. Tanpa bacaan al-Fatihah, solat 
tidak sah. 

Begitu juga al-Quran yang menjadi pedoman hidup orang Islam juga dalam 
bahasa Arab. Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. lebih 
1,400 tahun lalu dan sehingga kini ia tidak pernah berubah walau satu huruf 
pun, apatah lagi perkataan atau ayat. Walaupun begitu, ia masih boleh 
difahami berbanding teks dalam bahasa lain yang sudah ditelan zaman.

Walaupun al-Quran diterjemahkan dalam berbagai-bagai bahasa di dunia ini, 
namun ia tidak akan dapat menyaingi teks yang asal. Malah ada ketikanya 
terjemahan yang digunakan bukan sahaja tidak tepat, malah berbeza 
dengan kehendak yang asal.

Umpamanya dalam surah al-Insyirah yang rata-rata dihafal oleh kebanyakan 
orang Melayu. Ayat kelima dan keenam diterjemahkan ke dalam bahasa 
Melayu seperti berikut: Maka sesungguhnya di samping kesukaran terdapat 
kesenangan. Dan sesungguhnya di samping kesukaran terdapat 
kesenangan.

Persoalan sekarang, yang mana lebih banyak sukar atau senang? Di sini 
terdapat tiga jawapan. Pertama, sukar lebih banyak daripada senang. 
Kedua, senang lebih banyak daripada sukar. Ketiga, sukar dan senang sama 
banyak. Jadi yang mana satu jawapannya?

Seandainya kita hanya merujuk kepada teks terjemahan kita akan 
memberikan jawapan yang ketiga. Ini kerana di samping sukar ada senang. 
Dan di samping sukar ada senang. Maknanya ada sukar ada senang, ada 
sukar ada senang. Jadi sama banyaklah.

Untuk menjawab persoalan ini kita sewajibnya melihat kepada teks yang asal 
dalam bahasa Arab. Perkataan sukar disebut sebagai al-usr. Perkataan 
senang pula disebut sebagai yusran. Apakah perbezaannya? Perkataan 
sukar mengandungi imbuhan al manakala perkataan senang tidak ada 
imbuhan al. 

Perkataan yang mengandungi imbuhan al adalah makrifah. Maknanya ia 
tertentu dan khusus. Dalam bahasa Inggeris imbuhan al hampir 
diterjemahkan sebagai the. Perkataan yang tidak mengandungi imbuhan al 
dan berbaris dua adalah nakirah. Maknanya ia umum dan tidak khusus. 
Dalam bahasa Inggeris imbuhan tanpa al dan berbaris dua hampir 
diterjemahkan sebagai a.

Jadi, yang mana banyak? A atau the? Sudah tentulah a yang lebih banyak. 
Sehubungan itu, bolehlah kita faham kenapa satu kesukaran terdapat 
berbagai-bagai kesenangan. 

Sejarah bahasa

Bahasa Arab berasal daripada rumpun bahasa Samiyah yang dinisbahkan 
kepada keturunan Sam anak Nabi Noh. Mereka terbahagi kepada tiga 
golongan. Pertama, golongan Bayidah yang terdiri daripada kabilah Cad, 
Thamad, Tasm, Jadas, Umaym dan Jurhum. 

Golongan kedua pula ialah Caribah yang dinisbahkan kepada Yacrab bin 
Qahtan. Seterusnya pula ialah golongan Mustacribah yang berketurunan 
Nabi Ismail dan mereka menetap di Hijaz pada abad ke-19 sebelum Masihi. 

Bahasa Arab merupakan salah satu daripada tiga bahasa utama yang 
memainkan peranan penting dalam sejarah peradaban manusia. Pengkaji 
sejarah telah menambah dua lagi bahasa menjadikan kesemuanya lima 
bahasa utama yang telah memberi sumbangan besar dalam sejarah 
perkembangan tamadun manusia. Bahasa-bahasa tersebut ialah bahasa 
Cina Kuno, bahasa Sanskrit, bahasa Latin, bahasa Greek dan bahasa Arab. 

Walau bagaimanapun, hanya bahasa Arab yang masih digunakan dan terus 
berkembang sehingga kini. Berdasarkan kenyataan ini bolehlah dikatakan 
bahawa bahasa Arab mempunyai ciri-ciri istimewa yang membolehkan ia 
bertahan. Pengkaji-pengkaji bahasa masih terus berusaha menyelidik 
potensi bahasa tersebut.

Antara ciri-ciri istimewa bahasa Arab ialah ia telah dipilih Allah sebagai 
bahasa rasmi al-Quran yang merupakan pedoman asas untuk kehidupan di 
dunia dan di akhirat. Ini dijelaskan dalam surah Yusuf ayat kedua 
bermaksud: Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa al-Quran dengan 
berbahasa Arab, agar kamu menggunakan akal (untuk memahaminya).

Pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran telah memberikan jaminan 
terhadap keunggulan bahasa itu. Maksudnya, selagi agama Islam atau al-
Quran masih wujud di muka bumi, selagi itulah bahasa Arab akan tetap 
berkembang. Ini dijelaskan dalam surah aI-Hijr ayat sembilan yang 
bermaksud: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Zikr (al-Quran), 
dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.

Pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran merupakan satu 
keistimewaan bagi bahasa tersebut kerana ia dapat mengangkat martabat 
bahasa Arab. Seandainya al-Quran dan hadis bukan dalam bahasa Arab, 
maka bahasa Arab tidak mempunyai keistimewaan dan kemungkinan besar 
sudah hilang ditelan zaman seperti bahasa-bahasa kuno yang lain. 

Oleh kerana pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran dilakukan oleh 
Yang Maha Mengetahui, maka sudah tentu bahasa itu ada kriteria istimewa 
yang tidak terdapat dalam bahasa lain. Sehubungan itu satu kajian 
mendalam tentang ciri-ciri keistimewaan bahasa Arab yang 
membolehkannya menjadi bahasa pilihan al-Quran dan hadis perlu 
dilakukan. 

Antara peranan bahasa Arab yang penting ialah membantu perkembangan 
tamadun peradaban kuno yang lain seperti Yunani, Greek, Parsi dan Hindu. 
Kemudian bahasa Arab tersebar ke Barat pada Zaman Pencerahan 
(Renaissance) melalui pusat kebudayaan Islam seperti di Baghdad (Iraq), 
Kaherah (Mesir), Fes (Maghribi) dan Granada (Sepanyol). 

Zaman keemasan bahasa Arab bermula pada abad ke-4 hingga abad ke-17 . 
Ketika itu ia digunakan sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan teknologi 
antarabangsa. Pada abad tersebut, ekonomi, politik dan ilmu pengetahuan 
bangsa Arab yang beragama Islam paling unggul sehingga disebut sebagai 
pembuka aspirasi kepada semangat zaman moden.

Pengaruh ke atas bahasa lain

PENGARUH dan sumbangan bahasa Arab terhadap bahasa asing 
menakjubkan pengkaji sejarah. Ia bukan hanya memperkayakan 
perbendaharaan kata, struktur atau aliran pemikiran bahkan kadang-kadang 
dapat menggantikan kedudukan bahasa tempatan. 

Semenjak abad ke-4, bahasa Arab telah menjadi bahasa ilmu pengetahuan 
dan bahasa kebudayaan. Pada abad ke-13 hingga abad ke-14, bermula 
penterjemahan karya-karya bahasa Arab ke dalam bahasa Latin. 

Sebenarnya, perkembangan bahasa Arab juga berlaku melalui proses 
pertembungan (akulturasi) budaya Islam dengan budaya Eropah seperti 
ketika berlakunya Perang Salib. Kesannya, bahasa Arab telah dapat 
memperkayakan perbendaharaan kata pelbagai bahasa utama di dunia 
sekarang ini seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis dan bahasa 
Sepanyol. 

Menurut pengkaji bahasa, terdapat kira-kira 2,000 perkataan dalam 
bahasa-bahasa di negara Eropah berasal daripada bahasa Arab. Daripada jumlah 
tersebut terdapat antara 400 hingga 500 perkataan tersebut masih 
digunakan dalam komunikasi harian pada hari ini. 

Satu kajian lain pula berjaya mengumpulkan 400 kata pinjaman Arab yang 
biasa digunakan dalam bahasa Inggeris berdasarkan Random House 
Dictionary of the English Language, Webster's Third New International 
Dictionary dan Shorter Oxford English Dictionary. 

Antara bahasa di benua Eropah yang paling banyak menerima pengaruh 
perbendaharaan kata bahasa Arab ialah bahasa Sepanyol. Ini mungkin 
disebabkan Islam pernah menguasai negara itu selama kira-kira 800 tahun. 

Selain Eropah, perkembangan perbendaharaan kata bahasa Arab terus 
meluas sehingga ke Asia Timur dan kebanyakan negara Afrika. 

Kedatangannya ke kawasan-kawasan tersebut telah mempengaruhi 
perbendaharaan kata bahasa tempatan sehingga ia dapat mengambil alih 
kedudukan bahasa tempatan seperti bahasa Aramit, bahasa Kaldanit, 
bahasa Himyar, bahasa Qibti dan bahasa Suryani di kawasan Asia Barat.

Berdasarkan perbincangan di atas, secara umumnya bahasa Arab adalah 
satu-satunya bahasa terawal manusia yang masih digunakan sehingga 
sekarang. Pengaruhnya terhadap bahasa-bahasa lain adalah besar dan 
dapat dilihat pada perbendaharaan kata yang digunakan dalam bahasa-bahasa 
lain di seluruh dunia. 

Sehubungan itu kita berasa yakin bahawa pengaruh bahasa Arab yang 
mudah meresap dalam pertuturan dan penulisan di kalangan sesebuah 
masyarakat sebagai asas kukuh untuk memudahkan seseorang 
menggunakan perbendaharaan kata bahasa Arab sama ada dalam bentuk 
lisan mahupun tulisan. 

Kolum Belajar Bahasa Arab ini akan disiarkan pada setiap hari Khamis dan 
Jumaat. Siri akan datang: Kedatangan Bahasa Arab ke kepulauan Melayu.

* DR. ABD. RAZAK ABU CHIK ialah guru bahasa Arab di SMK St. Paul, 
Seremban, Negeri Sembilan.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment