Thursday, November 24, 2011

Bahasa Arab asa spiritual tamadun




HANYA ada satu bahasa di dunia ini yang apabila anda mengucapkan satu
     huruf daripada 28 hurufnya akan mendapat pahala dan dicucuri rahmat.
     Hanya ada satu bahasa di dunia ini jika Allah mahu menghapuskan semua
     bahasa pasti ia akan terselamat. Hanya ada satu bahasa di dunia ini yang
     wajib digunakan setiap hari oleh setiap manusia Muslim tidak kira suku,
     bangsa dan latar belakang.
       Bahasa yang dimaksudkan ialah bahasa Arab. Anda menyebut huruf alif,
     lam dan mim ketika membaca al-Quran al-Karim akan mendapat 10 kebaikan
     bagi setiap satu huruf seperti disabdakan Nabi Muhammad SAW bahawa
     al-Quran diturunkan sebagai kitab peringatan dan akan sentiasa dipelihara
     oleh Allah Yang Maha Kuasa seperti ditegaskan dalam ayatnya yang
     bermaksud: "Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan al-Quran, dan
     sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya." - (Surah al-Hijr: 9) Dan
     setiap Muslim diwajibkan sembahyang lima waktu sehari semalam manakala
     dalam setiap sembahyangnya dia diwajibkan melafazkan perkataan khusus
     dalam bahasa Arab termasuk Surah al-Fatihah.
       Al-Quran adalah `Kalam Allah yang penuh mukjizat diturunkan kepada
     Rasulullah SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril ditulis dalam mushaf,
     diturunkan secara beransuransur, pembacaannya adalah ibadat, bermula
     dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas'.
       Al-Quran dapat digambarkan sebagai sebuah bahasa yang bersifat rabbani.
     Banyak sekali perkataan yang digunakan oleh Allah SWT bagi menjelaskan
     bahawa al-Quran adalah sebuah bahasa. Malah, perkataan `al- Quran' itu
     sendiri yang bermakna `bacaan' disifatkan sebagai bahasa kerana sesuatu
     yang menjadi bahan bacaan pasti mempunyai sistem bahasa agar dapat
     difahami oleh pembacanya. Begitu juga halnya dengan perkataan lain
     seperti al-Kitab, al-Furqan dan al- Zikr.
       Al-Kitab bererti buku, al-Furqan bermakna perbezaan antara hak dengan
     yang batil sementara al-Zikr bermaksud peringatan. Daripada ketiga-tiga
     sinonim itu, nyata sekali bahawa keupayaan dan kekuatan al-Quran
     direalisasikan oleh satu sistem bahasa yang mantap, saintifik lagi
     rasional.
       Pada satu ketika dulu apabila umat Islam menjadi pelopor tamadun dunia,
     kemajuan sains, teknologi dan seni ketika itu menggunakan bahasa Arab.
     Perkara ini tidaklah menghairankan keranaumat Islam ketika itu memahami
     sebenar-benar kefahaman ayat al- Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami
     menurunkannya berupa al-Quran dengan berbahasa Arab agar kamu berfikir".
     - (Surah Yusuf: 2)
       Tamadun Islam memberikan sumbangan yang sangat besar bagi tamadun
     Barat, namun masih banyak yang mengabaikan kenyataan itu. Sejumlah
     kurator seni mengungkapkan hal itu dalam pameran bertajuk 1001
     Inventions: Discover The Muslim Heritage Of Our World pada Mac 2006 yang
     diselenggarakan atas kerjasama British Home Office dan Kementerian
     Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
       Pameran ini menampilkan wajah tamadun Islam dan sumbangannya bagi ilmu
     pengetahuan, teknologi dan seni pada masa abad kegelapan dalam sejarah
     Eropah. Pelbagai inovasi dari tamadun Islam, bermula dari kios dan catur
     hingga kincir angin dan ilmu memecahkan sandi rahsia yang mana semua ilmu
     itu sangat popular dan cenderung dianggap sebagai hasil tamadun Barat,
     padahal asalnya ditemukan oleh ilmuwan dan cendikiawan Muslim.
       Berdasarkan lebih daripada 3,000 kajian kalangan akademik, pameran
     nasional ini menyajikan inovasi Islam dalam kurun waktu 10 dekad `sejarah
     yang hilang' antara abad ke-6 hingga ke-16 mulai dari China hingga
     selatan Sepanyol. Projek pameran tamadun Islam ini diawali di Muzium Ilmu
     Pengetahuan dan Industri Manchester dan disebarkan ke sebilangan besar
     kota di Britain.
       Prof Salim al-Hassani, yang selama lima tahun mengetuai projek kajian
     penyusunan dan pengesahan untuk penyelenggaraan pameran berkenaan
     menyatakan, "Jika anda bertanya pada orang kebanyakan mengenai dari mana
     cerminmata atau kamera atau pen berasal, hanya sebahagian kecil yang
     menjawab dari umat Islam." Beliau yang menguasai ilmu teknik mekanik,
     memanfaatkan manuskrip yang berasal dari abad ke-13 untuk membuat
     rekonstruksi pompa air dan mesin pengangkut jentera berat yang canggih.
       "Teknologi di sebalik ilmu mekanik ini sangat luar biasa canggih untuk
     masa itu dan akhirnya melahirkan mesin yang sampai saat ini masih
     digunakan oleh kereta," katanya.
       Tema utama daripada pameran inovasi tamadun Islam itu bertujuan untuk
     memberitahu kepada orang ramai bahawa pelbagai ilmu dan budaya antara
     tamadun dan pengaruh Islam ditinggalkannya sampai zaman moden ini. Pihak
     penyelenggara pameran, Foundation for Science, Technology and
     Civilisation yang berpangkalan di Manchester berharap pameran berkenaan
     mampu mendorong adanya audit terhadap kurikulum nasional untuk memastikan
     bahawa kurikulum itu mengakui prestasi yang dihasilkan tamadun Islam
     serta meningkatkan pengetahuan yang luas mengenai perpindahan tamadun
     dari abad ke abad.
       Dalam pameran berkenaan, Prof Mark Halstead, seorang pensyarah
     pendidikan moral di Plymouth University menyatakan perlu adanya latihan
     yang lebih baik bagi guru untuk mengajar kurikulum pelajaran mengenai
     sumbangan tamadun Islam. "Islam perlu diberi tempat yang sama dengan
     sejarah kelompok lainnya seperti sejarah Romawi dan Yunani kuno. Ketika
     Eropah hidup dalam abad kegelapan, tamadun Islam berkembang pesat dan
     kemajuan pada tempoh ini lebih relevan dengan perkembangan dunia moden
     sekarang ini dibandingkan dengan pada masa Mesir Kuno dan Aztek," katanya.
       Kemajuan tamadun Islam ketika itu boleh dicapai oleh umat Islam kerana
     umat Islam belum meninggalkan bahasa rabbani mereka. Mereka masih
     mencintai bahasa al-Quran. Mereka masih menghormati bahasa al- Quran. Dan
     mereka masih bangga dan berbesar hati dengan bahasa al-Quran mereka.
       Dalam pendahuluan kertas kerja bertajuk `Bahasa dari Perspektif
     al-Quran' oleh Mustafa Daud dan Munif Zarirrudin Fikri Nordin, kedua-dua
     penulis menyatakan: "Bahasa adalah wahana tamadun. Dalam konteks tamadun
     Islam, wahana terawal yang mengungkapkan segala aspek ketamadunannya
     ialah bahasa Arab atas sifatnya sebagai bahasa al-Quran. Pemilihan bahasa
     Arab sebagai bahasa kitab suci yang terakhir memperlihatkan kekuatan dan
     keupayaannya sebagai bahasa agama yang saintifik, rasional, dan bersifat
     ilmu pengetahuan (Syed Naquib 1972: 37). Pemilihan bahasa Arab perlu juga
     dianggap sebagai simbol kelahiran serta kemantapan bahasa lain yang turut
     menyumbangkan peranan yang besar dan penting ke arah pembinaan dan
     perkembangan tamadun Islam di seluruh pelosok dunia termasuk bahasa
     Melayu di Nusantara.
       Ibnu Khaldun (1331-1406M) menerusi karya agungnya Muqaddimah Ibni
     Khaldun meletakkan syarat bahawa kekuatan tamadun Islam hanya akan dapat
     disaksikan apabila penggunaan bahasa dijadikan sebagai `syiar agama'
     (t.t.: 420) dan dalam konteks ini, bahasa yang dimaksudkan beliau ialah
     bahasa Arab. Kekuatan bahasa itu sekali gus menjadi kekuatan kepada aspek
     lain yang akhirnya menghasilkan pula kekuatan kepada tamadun itu sendiri.
     Itulah yang berlaku kepada tamadun Islam."
       Bahasa Arab sebagai bahasa rabbani mempunyai nilai ibadah di dalamnya
     yang tidak dijumpai dalam bahasa lain. Sedangkan ibadah seperti dikatakan
     almarhum Fathi Yakan, di dalam Islam adalah kemuncak bagi sifat kepatuhan
     dan kerendahan kepada Allah dan ia juga adalah kemuncak betapa ia merasai
     keagungan Tuhan yang disembah. Ia menjadi anak tangga pertatehan di
     antara si hamba dengan Tuhannya. Ibadah ini juga memberi kesan yang
     mendalam di dalam perhubungan manusia dengan makhluk lainnya.
       Begitu juga dengan ibadah dalam rukun Islam seperti sembahyang, puasa,
     zakat dan haji serta amalan lainnya yang dilaksanakan untuk mendapat
     keredaan Ilahi dan dalam mengamalkan syariat-Nya termasuk dalam
     pengertian ibadah.
       Bertitik tolak daripada pengertian inilah Islam menetapkan supaya
     seluruh hidup manusia dipelihara agar menjadi ibadah dan taat kepada
     Allah SWT seperti yang dinyatakan oleh Allah maksudnya: "Dan (ingatlah)
     Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah
     dan beribadat kepada-Ku. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang
     rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka
     memberi makan kepada-Ku. Sesungguhnya Allah Dialah saja Yang Memberi
     rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya, dan Dialah saja) Yang Mempunyai
     Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaan-Nya."
     - (Surah al-Zariyat: 56-58)
       Bahasa sebagai satu sistem komunikasi manusia yang terdiri daripada
     bunyi berstruktur (atau yang bertulis) kepada unit yang lebih besar
     seperti morfem, perkataan, ayat yang dihasilkan oleh organ pertuturan
     untuk membolehkan manusia berinteraksi antara satu sama lain.
       Menurut Syed Naquib dalam Islam, Sejarah dan Kebudayaan Melayu,
     al-Quran telah menerapkan satu sistem nilai atau aksiologi bahasa yang
     tidak terdapat dalam bahasa lain. Sebelum al-Quran diturunkan, bahasa
     Arab Jahiliah adalah bahasa yang lebih suci dan bebas daripada pengaruh
     estetik dan istilah metos, metafizik dan falsafah agama yang tentu
     mengelirukan berbanding dengan bahasa Yunani-Romawi Kuno, bahasa
     Iran-Farsi Kuno, dan bahasa yang digunakan orang di Timur Tengah zaman
     itu dalam rumpun Semitiknya. Inilah satu sebab mengapa bahasa Arab
     dipilih sebagai bahasa al- Quran. Pemilihan ini dijelaskan juga oleh
     AllahSWTdalam ayat yang bermaksud: "Dan jika Kami jadikan al-Quran itu
     suatu bacaan dalam bahasa selain bahasa Arab tentulah mereka mengatakan:
     `Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya?' Apakah (patut al-Quran) dalam
     bahasa asing sedang (rasul adalah orang) Arab? Katakanlah: `Al-Quran itu
     adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang yang beriman'." (Surah
     Fussilat: 44) Wallahu a'lam.
                                   (END) Source : Berita Minggu

No comments:

Post a Comment