Thursday, November 24, 2011

Perlu kuasai bahasa Arab untuk ke Al-Azhar




KAHERAH 8 Okt. - Pelajar Malaysia yang ingin melanjutkan pengajian di 
Universiti Al-Azhar perlu menguasai bahasa Arab ekoran cadangan institusi 
pengajian tinggi tertua dunia itu mengadakan peperiksaan kelayakan masuk 
seperti universiti terkemuka lain, mulai tahun depan.

Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir menjelaskan, 
peperiksaan tersebut akan menguji sejauh mana penguasaan bahasa Arab 
seseorang calon pelajar.

Menurutnya, peperiksaan itu akan diadakan mengikut format peperiksaan 
kelayakan universiti-universiti lain di dunia seperti Ujian Mengajar Bahasa 
Inggeris sebagai Bahasa Asing (TOEFL) di Amerika Syarikat.

"Langkah Al-Azhar ini adalah bagi mengatasi masalah pelajar-pelajar yang 
lemah dalam bahasa Arab sehingga menjejaskan prestasi pembelajaran 
mereka kerana ia adalah bahasa pengantar yang digunakan dalam kuliah.

"Kebelakangan ini ramai pelajar Malaysia yang gagal dalam peperiksaan 
menyebabkan pihak universiti Al-Azhar merasa tidak senang dengan 
perkembangan itu," katanya dalam taklimat kepada 24 orang pelajar 
kumpulan pertama penerima biasiswa Amanah Raya di Dewan Malaysia 
Abbasiah di sini semalam.

Mereka adalah pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 
(SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Mereka akan mengikuti pengajian selama lima tahun di Al-Azhar dengan 
tahun pertama pengajian melibatkan Program Pra Al-Azhar yang memberi 
tumpuan kepada pengukuhan dan penguasaan bahasa Arab sebelum 
meneruskan pengajian peringkat ijazah.

Zainal Abidin berkata, kurikulum khas telah disediakan oleh Al-Azhar untuk 
pelajar Malaysia dan mereka tidak akan belajar dengan pelajar lain sehingga 
tamat pengajian peringkat sarjana muda.

Tambah beliau, pengkhususan akan dipilih oleh pelajar sendiri apabila 
mereka menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama, sarjana dan 
doktor falsafah (Ph.D).

"Kita patut menghantar lebih banyak pelajar cemerlang melanjutkan 
pengajian Islam di sini kerana ia selaras dengan usaha melahirkan lebih 
ramai profesional Islam yang dapat memacu negara ke arah kemajuan 
berlandaskan al-Quran dan Sunnah," kata beliau.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment