Thursday, November 24, 2011

Doa bahasa Melayu atau bahasa Arab




AGAMA 

Soal Jawab 

Bersama Kamil Majid 

SOALAN: Permasalahan saya di sini ialah bolehkah seseorang bersolat 
tetapi bacaannya di dalam bahasa Melayu (melalui lidah, bukan bacaan di 
dalam hati). Saya kategorikan soalan saya ini kepada beberapa peringkat 

a) Seseorang bersolat fardu, bacaan wajib seperti fatihah dan lainnya seperti 
biasa namun apabila ada sesuatu doa peribadi, dia membacanya dalam 
bahasa Melayu. Contohnya beliau solat zohor (bersendirian ataupun 
makmum), namun bila sujud kedua rakaat terakhir dipanjangkannya untuk 
berdoa. Contohnya,  Ya Allah berikanlah daku kejayaan di dalam 
peperiksaan SPM dengan mendapat 10A1.  Apakah hukumnya? Batal solat? 
Makruh? Adakah pada pendapat ustaz, Tuhan tak akan mahu atau tak 
akan membenarkan doa dalam bahasa Melayu di dalam solat? 

b) Soalan sama seperti (a),bezanya beliau solat sunat. 

c) Beliau solat sunat, dan bacaan tasbih dibaca dalam bahasa Melayu. 

Contohnya " Maha Suci Engkau Ya Allah, Tuhan Yang Maha Tinggi". Ini 
dilakukan oleh beliau untuk mendapat lebih kesan dan fokus di dalam solat. 

2) Bolehkah kita membincangkan tentang kewajaran doa atau bacaan solat 
di dalam bahasa Melayu. Ini kerana saya berpendapat jika kita membaca 
doa atau bacaan di dalam bahasa Melayu, secara logiknya hubungan kita 
dengan Tuhan akan menjadi lebih berkesan. 

Ini kerana kita sedia maklum yang kita dilahirkan dalam masyarakat Melayu, 
tentunya bukan majoriti mempunyai masa untuk mendalami bahasa Arab 
dengan mahir, sementelahan pula bidang kerja yang berlainan dan ramai 
yang tidak berkebolehan untuk menguasai bahasa. 

Atau adakah kita boleh memaksa semua orang untuk mahir bahasa Arab? 
Saya perhatikan bahasa Inggeris yang digunakan setiap hari pun ramai yang 
tidak mahir. 

Kita juga sedar bahawa al-Quran berbahasa Arab kerana ianya diturunkan 
kepada Nabi yang berbangsa Arab. Sudah tentu Allah boleh menurunkan al-
Quran dalam bahasa lain, namun sudah tentu ini akan menyukarkan bangsa 
Arab untuk menerima hidayah. 

Persoalan ini saya lihat berkait dengan masalah umat Melayu, ataupun 
bangsa-bangsa lain di dunia ini. Ini kerana mukjizat al-Quran adalah mukjizat 
ma'nawiyah, jadi sebarang bacaan yang tidak difahami sudah tentu 
tidak memberi kesan kepada pembacanya. 

Sewaktu membacanya di dalam solat, walaupun seseorang itu faham 
maknanya, namun disebabkan beliau tidak bertutur bahasa Arab,seseorang 
itu tidak dapat fokus dengan baik dan tidak dapat menghayati solat dengan 
baik. 

Contohnya, seseorang yang kurang mahir berbahasa Arab membaca " 
Subhana Rabbi al Azim" , jika beliau membaca " Maha Suci Engkau Ya 
Allah,Tuhan Yang Maha Agung" di dalam solat, seseorang itu akan lebih 
fokus. Ini kerana bukan Arab tidak dapat menghayati makna "Subhana" 
dengan mendalam. Di dalam bahasa Melayu, ianya dapat dihayati dengan 
jelas. 

Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri. Apabila tasbih dibaca dalam 
bahasa Melayu, kita akan lebih focus. 

Bila kesemuanya dalam bahasa Arab, kita ada kecenderungan untuk 
melupakan solat kita dan teringat hal-hal dunia. 

Jawapan yang terperinci daripada Ustaz amat diharapkan supaya umat 
Islam dapat meningkat maju melalui penghayatan solat yang lebih baik. 

Jika boleh, ustaz dapat memberikan juga hujah-hujah akal yang logik selain 
dalil-dalil al-Quran dan sunnah. 

Sekian, terima kasih, semoga usaha ustaz menjawab persoalan saya ini 
diberi ganjran oleh Allah Subhanahu Wa Taala. 

  Ahmad, Taman Universiti, UKM Bangi

JAWAPAN: Terima kasih atas sikap kritikal saudara dan mungkin ramai lagi 
yang berfikiran seperti ini. Cuma, mereka segan untuk bertanya.

Pertamanya, saya ingin menjawab tentang doa secara umum dan doa dalam 
sembahyang secara khusus. Secara umum, doa adalah kekuatan yang 
mendorong. Justeru itu ia mestilah difahami. Doa juga boleh dianggap 
perisai pertahanan daripada rasa kekecewaan. Tetapi sayangnya, ramai 
yang berdoa tidak faham apa yang mereka doakan. Jadi berdoalah banyak-
banyak dengan memahami akan maksudnya.

Berdoa secara umum dapat menyalakan semangat. Ketika kita lemah, kita 
berdoa memohon kepada Tuhan semoga kita dapat bangkit kembali.

Ketika berdoa, manusia menceritakan kelemahan dirinya. Kita mengakui 
akan hukum sebab-musababnya. Kelebihan doa adalah hubungan terus 
dengan Allah tanpa ada orang tengah. Hubungan inilah merupakan 
hubungan secara langsung yang membolehkan kita mencurahkan apa 
sahaja perasaan bagi membuang segala keserabutan di dalam diri.

Doa yang benar-benar difahami akan merubah hidup seseorang menjadi 
lebih kuat berazam, lebih cergas dan lebih jujur.

Jadi doa bukan sekadar kata-kata, tetapi interaksi yang boleh merawat diri 
kerana ia lebih merupakan gambaran perasaan dan jiwa.

Lalu berdoalah dengan apa bahasa pun yang kita fahami kerana Allah 
memahami akan segala bahasa.

Khusus 

Namun doa secara khusus dalam sembahyang merupakan syiar dan syariat 
yang ditentukan. Nabi mengajar agar umatnya bersembahyang seperti 
baginda bersembahyang. Sembahyang nabi menggunakan bahasa Arab 
baku. Orang Arab pun tidak boleh bersembahyang dengan bahasa Arab 
pasar. Itulah keunikan sembahyang sebagai satu uniform yang sama untuk 
semua manusia.

Apa perlunya uniform di sekolah dan di sesetengah kilang industri? Ada 
hikmah dan sebabnya. Barangkali kerana itulah dalam Islam sudah 
menetapkan segala perkara asas. Rukun Iman hanya enam dan Rukun 
Islam hanya ada lima Malah rukun sembahyang pun tidak boleh ditokok 
tambah. Begitulah jua bacaan dalam sembahyang menggunakan media 
berbahasa Arab. Adapun di luar sembahyang, ikutlah bahasa yang anda 
lebih fahami.

Pada pendapat saya, jika dibenarkan sembahyang termasuk doa dalam 
sembahyang dengan bahasa selain daripada Arab, ia akan menjadi tidak 
sekata. Perkataan Tuhan apakah terjemahan daripada Rabb, ilah atau lain-
lain. Justeru itu ia seperti sebuah borang yang sudah diformatkan agar ia 
selaras.

Jadi mahu tak mahu, kita diseru belajar bahasa Arab. Malah Imam Shafi'i 
pernah mengatakan wajib belajar bahasa Arab sekadar untuk faham bacaan 
dalam sembahyang. Sampai bila kita akan terus berdoa tanpa faham? 
Wallahualam.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment