Friday, November 25, 2011

Wartawan Arab terjemahkan New Deal For Asia ke bahasa Arab





CAPTION: 
1. FAROUK M. Luqman (kiri) diberi penerangan mengenai majalah keluaran 
Utusan oleh Pengurus Jabatan Pengarang, Roseminah Ahmad sambil 
diperhatikan oleh Syed Hussein Al-Habshee dan Timbalan Ketua Pengarang 
Utusan, Suhaimi Mokhtar (kanan sekali) ketika melawat Jabatan Pengarang 
Utusan, semalam.

KUALA LUMPUR 28 Mac _ Seorang wartawan terkemuka Arab, Farouk M. 
Luqman secara sukarela menterjemahkan buku terbaru Dr. Mahathir 
Mohamad, New Deal For Asia kerana berpendapat banyak pengajaran yang 
boleh ditimba oleh negara-negara Arab.

Penasihat dan Ketua Pengarang Saudi Research and Publishing Company 
(SRPC) di Jeddah itu berkata, New Deal For Asia adalah sebuah buku yang 
berani, jujur dan penuh dengan ilmu.

Menurutnya, buku tersebut juga adalah sebuah karya yang istimewa kerana ia 
bukan sahaja mencatat pengalaman Malaysia dalam menangani krisis 
ekonominya, tetapi juga satu panduan yang boleh diguna pakai oleh mana-
mana negara termasuk Arab.

``Saya mahukan orang Arab membaca buku tersebut dan belajar dari 
pengalaman Malaysia memulihkan ekonominya tanpa bergantung kepada 
pihak lain,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa melawat Jabatan Pengarang Kumpulan 
Utusan di sini hari ini. Beliau diiringi oleh Konsul Jeneral Malaysia di 
Jeddah, Datuk Syed Hussein Al-Habshee.

Farouk berada di Malaysia untuk berjumpa dengan Perdana Menteri 
berhubung usaha beliau menterjemahkan buku New Deal For Asia ke dalam 
bahasa Arab.

Beliau yang mengetuai organisasi surat khabar terbesar di Timur Tengah telah 
selesai menterjemahkan buku tersebut dan menyampaikan senaskhah kepada 
Dr. Mahathir semasa pertemuan mereka pada 24 Mac lalu.

Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri itu, kata Farouk, beliau turut 
mencadangkan Malaysia memperhebatkan promosi pelancongan untuk 
menarik pelawat dari negara-negara Arab khususnya Arab Saudi.

``Malaysia adalah sebuah negara yang cantik dan bersih, malah lebih cantik 
dari beberapa negara Asia yang lain tetapi kurang dipromosikan di Arab 
Saudi,'' katanya.

SRPC yang beribu pejabat di Jeddah mempunyai 22 jenis penerbitan termasuk 
enam akhbar harian yang dikeluarkan dalam empat bahasa di 13 buah negara.

Selain bahasa Arab, SRPC turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Inggeris, 
Urdu dan Malayalam. Ia juga merancang untuk mengeluarkan akhbar dalam 
bahasa Bangladesh dan Tagalog.

Antara penerbitannya ialah akhbar Arab News, Asharq Al-Awsat, Malayalam 
News dan majalah wanita, Siyadaty.

                    (Source : Utusan Malaysia)

Sediakan kakitangan mahir bahasa Arab untuk tarik pelancong





KUALA TERENGGANU 6 Mei _ Ahli-ahli Dewan Perniagaan Melayu 
Malaysia (DPMM) yang terbabit dalam sektor pelancongan diminta 
menyediakan kakitangan mahir bahasa Arab bagi menarik lebih ramai 
pelancong dari Timur Tengah ke negara ini.

Pengerusi Portfolio Pelancongan DPMM, Datuk Raduan Mohd. Taib berkata, 
ramai lepasan aliran agama boleh diambil menyertai sektor ini termasuk 
sebagai pemandu pelancong untuk memberi khidmat yang lebih berkesan.

Katanya, jumlah pelancong dari negara-negara Arab ke negara ini hanya 
sekitar 100,000 orang setahun sedangkan ia mempunyai potensi yang besar 
untuk dikembangkan.

``Kita mempunyai ramai pelajar dan lepasan agama yang berkebolehan 
dalam bahasa Arab. Mereka boleh dilatih dalam sektor pelancongan untuk 
memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang Arab yang tiba.

``Malah saya dimaklumkan Kementerian Kesenian dan Pelancongan 
bersetuju menyediakan peruntukan bagi meningkatkan latihan kepada 
pemandu pelancong,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam meraikan 
wakil portfolio pelancongan DPMM negeri-negeri oleh DPMM Terengganu di 
sini, malam tadi.

``Di Terengganu terdapat banyak sekolah agama yang mengajar bahasa 
Arab. Jika dilatih tentu dapat menarik lebih ramai pelancong Arab kerana kita 
dapat memberikan khidmat pelancongan yang lebih baik,'' katanya.

Beliau turut meminta usahawan bumiputera supaya mengambil kesempatan 
memajukan Tanah Rizab Melayu berikutan kelonggaran syarat bagi 
membolehkan pulau-pulau dan kawasan pantai dibangunkan sebagai pusat 
pelancongan.

``Ini adalah satu peluang kepada usahawan Melayu yang mempunyai tanah 
di pulau-pulau dan tepi pantai untuk dimajukan dengan resort dan 
sebagainya,'' ujar beliau.

Raduan turut menarik perhatian agar pemimpin DPMM menjaga imej 
masing-masing sebagai usahawan dan ahli perniagaan yang berjaya. 

                    (Source : Utusan Malaysia)

Teruskan ART: Bahasa Arab untuk semua bangsa





Saudara Pengarang,

TAHNIAH kepada Astro kerana telah memperkenalkan beberapa saluran baru 
bermula awal tahun ini. Ini menunjukkan bahawa Astro kini melangkah setapak 
lagi dalam usaha untuk meluaskan minda masyarakat, bersesuaian dengan 
matlamat untuk menghibur dan mendidik.

Saya bersetuju dengan saranan Al-Shoubrawi di ruangan ini agar saluran ART 
dan Al-Jazira diteruskan siarannya. Ternyata saranan dan pandangan Lembah 
Keramat adalah berdasarkan kepada pemikiran yang agak cetek dan tidak 
memandang kepada beberapa aspek positif yang lain.

Kita tidak boleh mengukur agama seseorang berdasarkan bahasa dan bangsa. 
Maksud saya di sini, adakah Lembah Keramat berpendapat bahawa semua 
bangsa Arab yang bertutur dalam bahasa Arab itu beragama Islam dan perlu 
mempunyai imej yang menggambarkan keislaman.

Bahasa Arab bukanlah dikhususkan hanya untuk bangsa Arab. Adakah kerana 
Rasul Junjungan kita berbangsa Arab, maka kita mengatakan bahawa bahasa 
al-Quran itu adalah milik bangsa Arab?

Bahasa Arab merupakan bahasa yang universal yang selayaknya dituturkan 
oleh semua bangsa di dunia ini bergantung kepada kemahuan, kehendak dan 
keperluan seseorang individu.

Ingin saya ajukan di sini, adakah Lembah Keramat akan berasa hairan 
sekiranya seseorang yang berbahasa Cina dan bukan beragama Islam dapat 
bertutur bahasa Arab dengan fasih? Adakah kerana beliau seorang Cina dan 
bukan Islam, maka beliau tidak layak bertutur dalam bahasa tersebut? 
Fikirkan.

Bangsa Arab juga adalah manusia biasa, sama juga seperti bangsa-bangsa 
lain di dunia ini yang sememangnya tidak akan terlepas daripada melakukan 
dosa dan diberi peluang berbuat pahala.

Begitu juga dengan kita bangsa Melayu. Adakah semua bangsa Melayu yang 
mengaku Islam mengamalkan cara hidup Islam sepenuhnya? Tidak pernahkah 
kita menonton rancangan-rancangan hiburan tempatan di kaca TV?

Dipelopori

Bukankah rata-rata rancangan hiburan di Malaysia dipelopori oleh bangsa 
Melayu yang beragama Islam? Siapa tidak kenal dengan Siti Nurhaliza artis 
tempatan paling popular. Begitu jugalah dengan artis-artis yang berbangsa 
Arab seperti Amr Diab, Paschalle Maschalani, Amal Hijazi dan ramai lagi yang 
kini sedang menempa nama di persada antarabangsa.

Mereka juga berada dalam bidang yang sama seperti artis-artis kita... Siti, 
Yasin, M. Nasir dan ramai lagi. Mengapa Lembah Keramat menghukum ART 
dan Al-Jazira sahaja?

Saya pasti, sebagai pelanggan Astro, Lembah Keramat tidak akan terlepas 
daripada menonton saluran-saluran lain seperti Astro Ria. Hallmark, MTV, 
HBO, Star Movies, Cinemax dan banyak lagi. Hairan juga, mengapa Lembah 
Keramat tidak menyarankan agar saluran-saluran tersebut turut dihentikan 
segera.

Saya tidak menafikan bahawa setiap saluran televisyen mempunyai kebaikan 
dan keburukan tersendiri. ART dan Al-Jazira juga tidak terkecuali. Dalam 
konteks ini, pemilihan program yang hendak ditonton adalah bergantung 
kepada seseorang individu itu sendiri. Seperti yang dinyatakan oleh Al-
Shoubrawi, ART dan Al-Jazira turut menyajikan program-program bercorak 
pendidikan dan pengetahuan yang berfaedah yang mungkin tidak disajikan 
oleh saluran-saluran televisyen yang lain.

Kita perlu bijak memilih yang mana baik dan yang mana buruk untuk ditonton 
dan dijadikan ikutan. Kita juga perlu memainkan peranan dengan menunjukkan 
jalan kepada generasi muda dan juga anak-anak bagi memilih rancangan-
rancangan positif yang mencerna minda dan dapat menyumbang kepada ilmu 
pengetahuan yang berguna.

Sama ada baik atau buruk imej Islam itu itu bergantung kepada peribadi 
seseorang Muslim. Benar kata Al-Shoubrawi bahawa Lembah Keramat 
janganlah hanya memikirkan kepentingan pihaknya sahaja tanpa mengambil 
kita kepentingan orang lain yang menjadikan ART dan Al-Jazira sebagai 
saluran ilmu.

Saya juga telah mempelajari bahasa Arab selama tujuh tahun ketika di bangku 
sekolah dan telah meninggalkan zaman persekolahan kira-kira enam tahun 
yang lalu. Kerana sayang dan cintakan bahasa al-Quran ini, saya telah 
menyambung pengajian bahasa ini hingga ke peringkat universiti. Bahasa ini 
dituturkan dalam semua aspek merangkumi ekonomi, sosial, politik, pendidikan 
dan hiburan.

Terima kasih kepada Astro kerana telah memberi peluang kepada saya dan 
juga pencinta bahasa Arab yang lain untuk terus menghalusi kesenian dan 
keindahan bahasa ini melalui saluran ART dan Al-Jazira. _ WAN WAFA, Pulau 
Pinang. 

                    (Source : Utusan Malaysia)

Asia Barat minta teks ucapan PM diterjemah ke bahasa Arab




KUALA LUMPUR 6 Feb. _ Beberapa pihak di Asia Barat meminta supaya 
teks ucapan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semasa Forum Ekonomi 
Dunia (WEF) di New York, Amerika Syarikat, 3 Februari lalu diterjemahkan 
ke bahasa Arab.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Hamid 
Othman berkata, mereka juga mahu supaya proses alih bahasa dibuat 
sendiri oleh orang Malaysia bagi memastikan tidak berlaku sebarang 
kesilapan terjemahan.

Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya akan membuat terjemahan itu 
dengan segera untuk diedarkan ke negara-negara Asia Barat dalam bentuk 
risalah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berdialog selama tiga 
jam dengan kakitangan Institut Pengurusan Kesihatan (IPK), di sini hari ini.

Menurut Dr. Abdul Hamid, beberapa syarikat penerbitan di rantau tersebut 
juga telah menyatakan minat untuk menyiarkan teks ucapan Dr. Mahathir 
dalam akhbar dan majalah keluaran mereka.

Ucapan Perdana Menteri bertajuk `Peranan Islam Dalam Negara Moden' 
mendedahkan mengenai masalah besar yang dihadapi oleh kerajaan Islam 
kerana penyelewengan agama oleh ulama politik dan kemunculan kumpulan 
yang menentang pembangunan.

Menurut Dr. Mahathir, ulama politik terbabit telah menyelewengkan agama 
bagi memperoleh kuasa manakala kumpulan menentang pembangunan pula 
cenderung mengisytiharkan jihad secara kekerasan terhadap kerajaan 
Islam.

Mengenai kemungkinan UMNO dan Pas bekerjasama bagi menghadapi 
golongan militan Islam, Abdul Hamid yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO 
berkata, perkara tersebut boleh dilakukan sekiranya parti pembangkang 
berkenaan membuang tabiat mereka yang suka meletakkan pelbagai syarat. 

Perpaduan

Pada awal tahun lalu, pertemuan perpaduan Melayu antara pemimpin 
UMNO dan Pas terpaksa dibatalkan setelah parti pembangkang tersebut 
meletakkan syarat supaya Harakah dibenarkan terbit dua kali seminggu dan 
bayaran royalti minyak disalur terus kepada kerajaan Terengganu.

Abdul Hamid menjelaskan, hubungan tidak mesra antara kedua-dua parti 
juga berpunca daripada sikap pemimpin Pas yang membuat pelbagai 
tuduhan tidak benar terhadap UMNO termasuk kononnya kerajaan menolak 
hukum hudud.

``Kita menerima hudud, tetapi tidak melaksanakan pada masa ini kerana 
bimbang berlaku tunjuk perasaan seperti di Sudan dan Pakistan yang 
dianjurkan oleh beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan 
pelaksanaannya.

``Kita berpendapat, pelaksanaan hukum hudud harus meliputi semua kaum 
kerana adalah tidak adil jika orang Islam sahaja dipotong tangan manakala 
kaum lain hanya dipenjarakan,'' tegasnya.

Sementara itu, semasa majlis dialog dengan kakitangan IPK, Abdul Hamid 
mendedahkan mengenai sikap segelintir kakitangan kerajaan yang masuk 
bekerja lewat selepas rehat tengah hari dengan alasan perlu mengikuti 
kuliah agama di surau.

``Perkara ini berlaku kerana salah faham kakitangan terbabit yang 
berpendapat urusan Islam hanya melibatkan syarahan serta pidato agama 
dan tidak ada kaitan dengan kerja,'' jelasnya.

                    (Source : Utusan Malaysia)