Thursday, November 24, 2011

Pengaruh bahasa Arab terhadap bahasa Melayu




KENALI BAHASA AL-QURAN

SIRI 4

SEJARAH hubungan bahasa Arab dengan bahasa Melayu boleh dikatakan 
telah bermula sejak kedatangan agama Islam. Parameswara ialah Sultan 
Melaka yang pertama memeluk agama Islam dan menukar namanya kepada 
Sultan Muhammad Shah. Perkataan 'sultan' untuk gelaran raja adalah 
berasal daripada bahasa Arab. 

Ini bermakna pengaruh bahasa Arab telah mula menyerap masuk ke dalam 
kehidupan raja-raja Melayu pada abad ke-15. Seterusnya masyarakat 
Melayu ketika itu telah mengubah nama-nama anak mereka yang 
kebiasaannya diambil daripada nama bunga, buah-buahan atau benda-
benda di sekeliling mereka dengan menggantikannya kepada nama yang 
berunsur Arab. 

Bahasa Arab mula dikenali di rantau Asia Timur semenjak terjalinnya 
hubungan awal antara Semenanjung Tanah Arab dan Asia Timur pada abad 
ke-4. Sebagai bahasa al-Quran dan al-Hadis, bahasa Arab datang ke 
kepulauan Melayu seiring dengan kedatangan Islam pada abad ke-13. 

Sejak agama Islam mula sampai ke kepulauan Melayu, bahasa Arab telah 
mendapat perhatian. Umumnya bahasa tersebut telah diterima sebagai 
bahasa rujukan utama dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam. 
Pada era permulaan penubuhan sekolah-sekolah pondok dan pembukaan 
sekolah-sekolah Agama-Arab yang berlaku sehingga awal tahun 1970-an, 
bahasa Arab didapati dijadikan unsur penting dalam pembinaan kurikulum di 
sekolah-sekolah berkenaan. 

Walau bagaimanapun, masyarakat awam seolah-olah tidak mengambil berat 
perkembangan yang berlaku dan pihak yang terlibat secara langsung 
dengan pendidikan bahasa Arab beranggapan ia tidak perlu didedahkan 
kepada masyarakat umum. Sikap sedemikian menyebabkan bahasa Arab 
pada era tersebut tidak mendapat perhatian sewajarnya. 

Perkembangan dakwah Islamiah yang mula menyerlah pada awal tahun 
1970-an telah memperkenalkan kepentingan bahasa Arab. Umat Islam di 
Malaysia, khasnya mereka yang mendapat pendidikan di Timur Tengah dan 
di Barat, mula membuat penilaian baru terhadap konsep dan fungsi bahasa 
tersebut. 

Mereka mula memperjuangkan kepentingan dan penggunaan bahasa Arab 
yang bersifat ilmiah dan sebagai salah satu bahasa komunikasi 
antarabangsa menerusi ucapan dan penulisan. Perkembangan ini akhirnya 
mendorong pihak yang bertanggungjawab dalam pendidikan negara 
mengiktiraf bahasa Arab sebagai satu bidang utama yang seharusnya diberi 
perhatian serius dalam sistem pendidikan negara. 

Pedagang

Menurut J. Anthony, kedatangan para pedagang Arab ke Asia Tenggara 
yang berperanan sebagai mubaligh Islam secara evolusi telah menyerapkan 
perkataan-perkataan Arab ke dalam bahasa Melayu seperti perkataan-
perkataan yang terdapat pada hari ini. Pertembungan antara dua bahasa 
dan dua budaya yang berbeza itu telah mencetuskan proses akulturasi. 

Pada kebiasaannya bangsa yang memiliki kebudayaan yang lebih maju 
mempengaruhi bangsa yang memiliki kebudayaan yang sederhana. Bangsa 
yang memiliki kebudayaan yang sederhana dengan rela hati menyesuaikan 
diri dan menerima kebudayaan bangsa yang lebih maju. 

Bahasa Arab melalui tulisan Arab telah mengagungkan bahasa Melayu 
bukan hanya menjadi bahasa kebangsaan Malaysia tetapi juga sebagai 
bahasa utama yang digunakan oleh lebih 250 juta orang di kepulauan 
Melayu terutamanya di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, selatan Thai, 
selatan Filipina, Vietnam, Laos dan Kemboja. 

Peranan bahasa Arab dalam perkembangan bahasa dan kesusasteraan 
terutamanya dalam aspek kebahasaan, perbendaharaan kata, struktur ayat, 
aliran pemikiran, huruf dan kesusasteraan akan terus dikenang. Di samping 
itu, perbendaharaan kata bahasa Arab juga telah termaktub dalam institusi 
terpenting negara seperti Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil, Dewan 
Rakyat, Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Majlis Raja-Raja Melayu. 

Bahasa Melayu yang menggunakan aksara Arab sebagai tulisan rasmi ketika 
itu berjaya meletakkan status bahasa Melayu sebagai 'Lingua Franca'. 
Bahasa Melayu dapat mengeratkan jalan bagi pertumbuhan dan 
perkembangan bahasa dan kesusasteraan di kepulauan Melayu. Selain itu ia 
berhasil menjalin persaudaraan di Nusantara yang akhirnya turut 
berperanan dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air seperti yang 
berlaku di Indonesia pada tahun 1945 dan di Malaysia pada tahun 1957. 

Majoriti umat Islam di Malaysia tetap memerlukan bahasa Arab yang juga 
bahasa al-Quran dan al-Hadis kerana ia adalah rujukan utama dalam semua 
bidang kehidupan seharian selain untuk keperluan ibadah khusus. 
Perkembangan bahasa Arab di negara ini diyakini akan lebih maju 
berdasarkan keadaan masyarakat masa kini yang cenderung ke arah 
keagamaan.

Secara umumnya kedatangan Islam dengan perantaraan bahasa Arab telah 
memainkan peranan penting dalam perkembangan bahasa dan 
kesusasteraan Melayu. Ini kerana bahasa Arab adalah bahasa yang terawal 
diperkenalkan kepada bangsa Melayu secara rasmi berbanding bahasa-
bahasa lain seperti bahasa Portugis, bahasa Belanda, bahasa Inggeris dan 
bahasa Jepun. 

Ini membuktikan bahawa masyarakat Melayu mudah menerima sesuatu 
perbendaharaan kata bahasa lain. Sehubungan itu kita berasa yakin bahawa 
pelajar Melayu dapat menerima kemasukan perbendaharaan kata 
bahasa Arab dengan mudah dalam proses pembelajaran di sekolah 
sekiranya mereka diberi pendedahan tentang kata pinjaman bahasa Melayu 
yang berasal daripada bahasa Arab.

Esok: Praktis bahasa Arab.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment