Thursday, November 24, 2011

Pelajar India kuasai bahasa Arab




GOMBAK: Kecederaan tulang belakang yang dialami ketika menjalani latihan
     penyediaan atlit ke Sukan Komanwel 1998 di Sekolah Sukan Bukit Jalil pada
     1997, menyebabkan Shalini a/p Selvarajah terpaksa melupakan hasrat untuk
     mewakili negara dalam acara gimrama.
       Beliau kemudian menerima biasiswa untuk mengikuti persekolahan menengah
     atas di Singapura tetapi sekembali ke tanah air, kelulusan O-Level yang
     dimiliki tidak membolehkannya memasuki institusi pengajian tinggi awam
     (IPTA), kecuali Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
       Walaupun tidak pernah memperoleh sebarang pendedahan asas bahasa Arab,
     anak bongsu daripada tiga beradik ini nekad menerima tawaran UIAM yang
     mensyaratkan dia mengikuti kelas bahasa itu sepanjang tempoh lima tahun
     pengajian dalam bidang perubatan.
       "Ini kerana pada masa sama, kakak dan abang juga sedang mengikuti
     pengajian di universiti. Oleh itu, saya tidak sampai hati untuk
     menambahkan beban ibu bapa dengan memasuki IPT swasta (IPTS).
       "Apabila memasuki Kulliyah Perubatan di UIAM, saya adalah satu-satunya
     pelajar yang mengikuti kelas bahasa Arab pada ketika itu.
       "Berikutan jadual pengajian yang amat padat, saya terpaksa mengikuti
     kelas bahasa Arab pada waktu makan tengah hari setiap hari. Malah pada
     waktu cuti, saya tidak pulang ke kampung di Ipoh demi meneruskan
     pembelajaran itu.
       "Pada awalnya, memang saya berasa amat sukar dan hampir berputus asa.
     Namun, saya menguatkan azam serta terus bekerja keras, lebih-lebih lagi
     apabila melihat pengorbanan ustaz yang begitu komited membantu saya
     menguasai bahasa Arab. Tambahan pula, lulus bahasa Arab adalah antara
     syarat untuk tamat pengajian.
       "Selepas beberapa tahun mendalaminya, ternyata bahasa Arab sungguh
     indah meski pun susah dikuasai dan tidak dinafikan saya sudah jatuh cinta
     pada bahasa ini," katanya ketika ditemui Berita Harian pada Sidang
     Keempat Majlis Konvokesyen Ke-23 UIAM di sini, semalam.
       Kegigihan Shalini, 25, terbukti tidak sia-sia apabila diumumkan
     pemenang anugerah Pelajar Terbaik (Keseluruhan) Kulliyah Perubatan
     sumbangan Kulliyah Perubatan, dan juga Pelajar Terbaik (Akademik) Ijazah
     Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan sumbangan Ain Medicare
     Sdn Bhd. Malah, beliau juga sudah memulakan tugas di Hospital Queen
     Elizabeth, Kota Kinabalu, sejak awal bulan ini.
       Sementara itu, pasangan kembar Aidonna Jun Ayub dan Aidonna Jan 23,
     yang cemerlang dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian)
     masing-masing sudah membina kerjaya sebagai penganalisis di Petronas
     serta penyelidik di Khazanah Nasional Berhad.
       Lebih membanggakan, Aidonna Jun yang lebih tua 20 minit daripada
     Aidonna Jan, menerima tiga pengiktirafan pada majlis konvokesyen kali ini
     iaitu Anugerah Pelajaran Diraja sumbangan Majlis Raja-Raja, Hadiah
     Presiden (Pelajar Cemerlang Dalam Aktiviti Kokurikulum Pada Peringkat
     Antarabangsa) sumbangan UIAM serta Pelajar Terbaik (Keseluruhan) Kulliyah
     Ekonomi dan Sains Pengurusan sumbangan Kuwait Finance House (M) Berhad.
                                   (END)  Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment